fbpx

HALUAN Masuki Syria – Misi Bantuan Musim Sejuk 

HALUAN Masuki Syria – Misi Bantuan Musim Sejuk 

HALUAN Masuki Syria – Misi Bantuan Musim Sejuk 

BANDAR BARU BANGI, 1 Mac 2022 – Bulan ini menyaksikan perubahan cuaca di negara Syria dan negara bersempadan dengannya seperti Turki dan Lubnan. Ribut salji masih melanda beberapa kawasan di negara tersebut. HALUAN hanya mula menggerakkan bantuan musim sejuk untuk pelarian Syria dan Palestin pada bulan Mac ini setelah menyelesaikan bantuan kepada mangsa banjir dalam negara.

Walaupun agak terlewat daripada perancangan asal, namun bantuan musim sejuk masih diperlukan kerana salji lebat sedang membadai sehingga ke hari pasukan bantuan HALUAN tiba di kem-kem pelarian di sana. 

Pasukan bantuan ke Syria telah di ketuai oleh Ustaz Abu Bakr Sidek. Beliau telah mendapat kebenaran daripada pihak kerajaan Turki untuk memasuki Syria melalui pintu sempadan Turki di Ganziatep-Al Bab. Beliau yang mengetuai pasukan bantuan hanya mendapat kebenaran memasuki kawasan selama dua hari sahaja iaitu pada 4-5 Mac. Namun begitu, pasukan bantuan ke Syria ini telah berjaya menyalurkan pek  bantuan kepada 2,400 keluarga dengan bantuan pihak NGO di sana. Mereka terpaksa bekerja keras kerana mengejar masa kebenaran yang sangat pendek.

Pelbagai bentuk bantuan telah disampaikan kepada pelarian di  Syria iaitu arang batu sebagai bahan bakar pemanas dalam khemah,makanan bermasak serta buah-buahan, pakaian dan kasut musim sejuk untuk kanak-kanak.Pasukan ini juga mengagihkan kotak makanan asas dan roti yang mampu menampung kegunaan seminggu untuk satu keluarga, hasil sumbangan derma ikhlas warga Malaysia.

Pasukan bantuan musim sejuk untuk pelarian di sempadan Lubnan-Syria pula di ketuai oleh Encik Mohd Jamil Muda dan dibantu oleh Ustaz Muzzamil Shamsudin. Pasukan ini telah tiba di Beirut pada 9 Mac dan mula bergerak ke kawasan pergunungan sempadan di bandar Arsal, Lubnan pada keesokannya. Mereka berada di sana selama empat hari dan telah menyampaikan bantuan kepada seramai 650 buah keluarga. Pasukan ini terpaksa menempuh pelbagai halangan. Ribut salji yang melanda Arsal menyebabkan pasukan ini terpaksa bekerja dalam keadaan yang sangat mencabar.

Bekalan minyak masak dan gandum juga sukar diperolehi kerana kedua bekalan tersebut diimport oleh negara Lubnan dari negara Ukraine yang sedang dilanda peperangan. Lubnan juga sedang menghadapi masalah bekalan minyak diesel. Minyak diesel adalah bahan bakar utama yang digunakan oleh pelarian Syria untuk memanaskan kediaman khemah mereka. Sebagai menggantikan minyak diesel, pasukan bantuan HALUAN telah membeli kayu api untuk diberikan kepada pelarian tersebut. Setiap keluarga menerima dua  guni kayu api,  setiap guni seberat 40kg. Semua pelarian di Arsal tinggal di dalam khemah yang sudah usang dan sangat nipis. 

Pasukan bantuan ini seterusnya membantu seramai 200 keluarga pelarian Syria lagi yang tinggal di Ketermaya. Pasukan ini juga telah menyantuni 50 anak-anak yatim dan penjaga mereka di Ketermaya dan 140 lagi di Arsal. Setiap keluarga penjaga anak yatim diberikan kotak makanan asas selain anak-anak yatim sendiri diraikan dalam program berasingan.

Sebaik sahaja menyelesaikan misi bantuan kepada pelarian Syria di Lubnan pada 15 Mac, pasukan ini mula membantu pelarian Palestin di kem Ain Hilweh pula.

Anda juga berpeluang berbakti kepada mereka yang bernasib malang ini akibat perang saudara di negara mereka. Anda boleh berinfak melalui kami dan HALUAN akan berusaha menyampaikan sebaik bantuan untuk mereka di sana. Hulurkan derma ikhlas melalui pautan di bawah:-


Laporan Fatin Athirah Abdul Sani