fbpx

Pekerja Islam Perlu Disiplin Tinggi

Pekerja Islam Perlu Disiplin Tinggi

Pekerja Islam Perlu Disiplin Tinggi

BANDAR BARU BANGI, 30 Nov 2019 — Mereka yang menceburkan diri dalam usaha memulih dan membina masyarakat perlu memiliki disiplin yang tinggi. Dengan berciri sedemikian, mereka akan mampu bertahan menempuhi ujian dan ranjau sepanjang perjalanan sebagai “pekerja Islam.”

Mohd Abduh Zainal Abidin yang merupakan salah seorang daripada generasi pengasas HALUAN, menyeru setiap ahli NGO ini mencurahkan segala yang dimiliki tanpa berbelah bagi. Beliau berkata demikian semasa program bicara santai “Hakikat Penglibatan Dalam Organisasi” pagi tadi bersempena mukadimah kepada Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN Ke-30 yang sedang berlangsung di sini.

“Kita perlu menjadi ahli-ahli yang luar biasa, yang memiliki hubungan hati dengan Allah SWT sehingga mampu menggerakkan pemikiran dan amalan dengan penuh setia, patuh dan taat secara menyeluruh,” nasihat beliau. “Tidak boleh berlaku percanggahan antara iman dan amalan kita.”

Selain daripada berdampingan dengan al-Quran, pekerja Islam juga sangat perlu berfikiran terbuka dan bersedia untuk dididik. Hanya dengan memahami al-Quran dan zikrullah dapat menghilangkan karat-karat jahiliah di hati, kerana Rasulullah SAW pernah mengingatkan bahawa hati manusia boleh berkarat seperti mana besi boleh berkarat jika diabaikan.

Ketika ditanya bagaimana beliau dapat bertahan sekian lama mengharungi ujian sejak dari awal penubuhan HALUAN, Mohd Abduh berkata bahawa semua gerak kerja harus dilakukan secara bersama, bukan berseorangan.

“Kita harus menghayati visi, misi dan nilai teras organisasi, supaya ia dapat memandu kita untuk terus beristikamah dalam menyebarkan syiar Islam,” ujar beliau kepada hadirin.

_

Laporan mediaHALUAN