fbpx

Jom Bergabung Untuk Bina Laluan Ke Syurga

Jom Bergabung Untuk Bina Laluan Ke Syurga

Jom Bergabung Untuk Bina Laluan Ke Syurga

BANDAR BARU BANGI, 30 Nov 2019 — Setiap orang harus membawa visi yang jelas dalam mengharungi kehidupannya, demi cita-cita mencari rahmat Allah SWT dan mendapatkan syurga di akhirat kelak. Profesion terbaik dalam tujuan tersebut adalah mendidik serta memudahkan kehidupan orang lain.

Demikian saranan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacob dalam ucapan beliau ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN Ke-30 (MTP30) di sini, hari ini. “Kita mestilah ada visi hidup yang jelas, iaitu untuk masuk syurga selepas meninggal dunia kelak,” kata beliau. “Untuk itu, kita mesti buka laluan ke syurga dengan bekerjasama dan membina sinergi dalam mendidik dan membantu masyarakat. Jom sama-sama bergabung untuk kita tentukan haluan ummah!”

MTP30 yang bertemakan “Islam, Kepimpinan dan Cabaran” itu berlangsung selama tiga hari sejak semalam. Seramai 600 perwakilan, pemerhati serta jemputan daripada agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan turut hadir menyerikan majlis tersebut. Antara yang hadir termasuklah wakil-wakil daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pertubuhan IKRAM Malaysia, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Cakna Umat Malaysia (PACU), Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), Universiti Islam As-Syafiyyah Indonesia, Rabitah Ulamak Ahli Sunnah, dan juga Palestinian Cultural Organization (PCOM).

Menurut Dr. Hussamuddin, kita harus kembali kepada fokus utama dalam mendidik masyarakat dengan menggerakkan usaha memberi mereka kefahaman yang betul terhadap ajaran al-Quran. “Pastikan semua anak-anak memahami al-Quran demi menyelamatkan masyarakat,” tegas beliau. Beliau berpendapat bahawa kelemahan umat Islam hari ini adalah berpunca daripada kelemahan iman, sehingga mereka ketinggalan dalam semua aspek.

Dalam majlis yang sama Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman, mengajak semua pihak bekerjasama dan bergandingan menyumbang kemahiran masing-masing untuk kembalikan Islam ke tempatnya yang tinggi dan mulia. “Semua pihak, terutamanya media, harus menggunakan kepakaran masing-masing dalam usaha yang murni ini,” kata beliau.

Majlis perasmian tersebut dimeriahkan dengan acara pelancaran buku “30 Tahun Dalam Dakapan Tarbiah” hasil karangan bersama beberapa orang dari generasi awal penubuhan HALUAN.

_

Laporan mediaHALUAN