fbpx

Menguruskan Pengorbanan Atas Landasan Islam dan Iman

Menguruskan Pengorbanan Atas Landasan Islam dan Iman

Menguruskan Pengorbanan Atas Landasan Islam dan Iman

Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Alhamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala rasulillah…

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِن شَاء اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ } الصافات:102{


“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati aku dari orang-orang yang sabar”. (Ash-Shaffat:102)

Menghayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim bukanlah suatu yang mudah untuk dihadapi. Setelah hijrahnya Nabi Ibrahim dek peristiwa ‘pembakaran’ oleh Namrud, berlaku pula episod pengorbanan seterusnya apabila baginda diperintahkan oleh Allah s.w.t meninggalkan isterinya Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. di padang pasir yang tandus, di Mekah.

Kemudian setelah berlalu beberapa tahun dan setelah diuji dengan perpisahan ketika Nabi Ismail a.s. agak besar dan mampu bekerja bersama-sama ayahnya, datang pula perintah Allah s.w.t. supaya menyembelih anak kesayangannya itu. Ini merupakan kisah yang Allah s.w.t. telah rakamkan di dalam al-Quran yang membawa simbolik dan pengajaran penting kepada kita tentang erti pengorbanan.

Sejarah Pengorbanan Dilakukan Oleh Manusia

Sejarah terdahulu telah merakamkan kisah pengorbanan yang dilakukan oleh manusia. Contohnya ‘Kame Kaze’ yang berkorban mempertaruhkan nyawa untuk kemenangan Negara dan bangsanya. Golongan komunis yang sanggup diseksa dan dibunuh kerana ingin memperjuangkan idealisme mereka. Sejarah tokoh-tokoh terdahulu, yang berusaha memerdekakan Malaysia sehingga diabadikan kenangannya sebagai pahlawan negara dan lain-lain lagi.

Manakala apabila kita meneliti sirah pula, terakam pelbagai kisah bagaimana Rasulullah s.a.w. dan para sahabat sanggup berkorban untuk menyampaikan dan mempertahankan agama Allah s.w.t. yang mulia. Rasulullah s.a.w. sanggup menggadaikan peluang untuk mendapat kuasa dan nama semata-mata berpegang teguh untuk terus berjuang menyampaikan risalah yang agung iaitu Islam walaupun terpaksa tercabar dengan pelbagai ugutan dan serangan. Para sahabat hasil didikan Rasulullah s.a.w. juga turut sanggup membuat pengorbanan hingga ramai yang syahid kerana cintakan risalah dan pembawa risalah yang agung ini.

Contohnya, Mus’ab yang asalnya pemuda yang sentiasa kemas dengan pakaian mewahnya sanggup mengorbankan semua yang ada padanya semata-mata untuk menggabungkan diri dengan Islam dan akhirnya syahid dalam peperangan Uhud dengan hanya meningggalkan kain kasar dan tidak cukup untuk menutup kakinya. Begitu juga  Suhaib Ar-Rumi yang  telah meninggalkan seluruh hartanya kepada kafir Quraish semata-mata untuk berhijrah ke Madinah dan menyahut seruan Allah s.w.t. dan Rasul-Nya. Tidak ketinggalana juga sahabat-sahabat yang dikenali seperti Abu Bakar yang juga  mengorbankan seluruh hartanya dan lain-lain lagi.

Terlalu banyak kisah pengorbanan yang berlaku hinggalah ke hari ini. Semuanya didasari matlamat dan cita-cita bagi menggapai sesuatu yang ingin dituju dan diinginkan.

Hakikat Pengorbanan

Menyebut istilah pengorbanan, ada yang berkorban kerana bangsa dan negara, ada pula kerana agama, tidak ketinggalan juga untuk kepentingan peribadi dan keluarga. Melakukan pengorbanan akan melibatkan pelbagai aspek, iaitu sama ada masa, usia, kebendaan, pangkat, tenaga, fikiran, perasaan dan lain-lain.

Setiap saat, ada sahaja yang dikorbankan untuk mencapai sesuatu tujuan. Sekiranya pengorbanan tidak dilakukan untuk sesuatu yang membawa kepada kebaikan, sudah tentu sama ada masa, kebendaan, pangkat, tenaga, fikiran, perasaan dan lain-lain akan habis terkorban kerana masa akan terus berjalan, usia akan bertambah, tenaga akan habis, fikiran akan terbiar, kebendaan akan sampai waktu luput dan begitu juga dengan yang lain. Maknanya, sekiranya kita tidak langsung terfikir untuk membuat pengorbanan, maka tetap akan ada aspek yang akan terkorban.

Contohnya ‘mat rempit’ atau penagih dadah yang tanpa disedari, masa, nyawa, tenaga yang ada dikorbankan untuk kenikmatan dan kehebatan yang ingin dirasai yang hakikatnya bersifat sementara dan akhirnya segalanya akan terkorban sia-sia. Lain pula dengan orang yang berkorban untuk kepentingan organisasi, peribadi, keluarga, isteri, anak-anak, masyarakat, Negara, bangsa dan agama.  Semua ini melibatkan unsur pengorbanan tetapi berbeza dari sudut sasaran, aspek dan matlamat yang ingin dicapai.

Di dalam Islam pula, aspek pengorbanan ini merupakan unsur penting dalam melakukan amal. Tiada amal tanpa pengorbanan. Dikhususkan pula, pengorbanan yang dimaksudkan adalah mengorbankan sesuatu yang disukai untuk melakukan amal. Contohnya kerehatan, kesenangan dan kelapangan yang melibatkan aspek masa, usia, kebendaan, pangkat, tenaga, fikiran, perasaan dan lain-lain.

Manurut Khurram Murad, Sacrifice – The Making Of A Muslim:

“Sacrifice, as we have seen, simply means to give up things which we love and hold dear, which in our eyes have some value for us. We may possess them now or hope and aspire to have them in future. The things may be tangible and concrete or intangible and abstract. Important among concrete things are time, money, worldly possessions, physical abilities, life. Important abstract things may include our ties of love and affection, especially familial, likes and dislikes, preferences and prejudices, views and opinions, desires and aspirations, pleasures and comforts, status and roles, or merely our ego.”

Menguruskan Pengorbanan Yang Ingin Dihasilkan

Setelah kita mengetahui bahawa bagi mencapai sesuatu matlamat itu tidak lari dari unsur pengorbanan, maka seharusnya kita meneliti kesucian matlamat dan apakah yang mendasari sesuatu matlamat itu supaya kita tidak mensia-siakan pengorbanan yang dilakukan selain untuk mencapai sesuatu yang lebih berharga dari yang lebih berharga. Secara terusnya mudah kita katakan di sini adalah, apakah niat yang mendorong akan sesuatu pengorbanan itu dilakukan?

عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب رضي الله عنه ، قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : ( إنما الأعمال بالنيّات ، وإنما لكل امريء مانوى ، فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله ، فهجرته إلى الله ورسوله ، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها ، أو امرأة ينكحها ، فهجرته إلى ما هاجر إليه ) . رواه البخاري و مسلم في صحيحهما

Daripada Umar BIn Alkhattab r.a berkata : Aku telah mendengar Rasullullah s.a.w bersabda, “Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang di niatkan. Maka barang siapa hijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Pengorbanan seharusnya diurus oleh kepentingan Islam dan Iman bukannya kepentingan lain. Atas dasar inilah Rasulullah s.a.w., para sahabat, tabien, tabi’ tabien, para ulama dan tokoh Islam bertungkus lumus menyampaikannya menyebabkan risalah Islam yang kita sedang nikmati ini sampai kepada kita. Tanpa pengorbanan, risalah Islam tidak berjalan. Tanpa dasar Iman maka setiap pengorbanan yang dilakukan tidak akan dinilai oleh Allah s.w.t. hatta perjalanan risalah ini juga tidak mampu diteruskan.


قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ }التوبة : 24{

“ Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka)” (At-Taubah:24)

إِنَّ اللّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْداً عَلَيْهِ حَقّاً فِي التَّوْرَاةِ وَالإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللّهِ فَاسْتَبْشِرُواْ بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ }التوبة : 111{

“ Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” (At-Taubah:111)


Atas dasar Islam dan Iman jugalah pelbagai aspek dikorbankan demi pembangunan peribadi, keluarga, isteri dan anak-anak, masyarakat dan Negara untuk mendapat kesejahteraan dan keredhaan Allah s.w.t. Ini kerana, matlamat yang ingin dicapai oleh dasar Islam dan Iman adalah matlamat akhirat dan yang lebih kekal. Hakikat kewujudannya walaupun tidak dapat digambarkan, namun kebenarannya lebih pasti dan wajib diyakini.

Maka, setelah kita memahami hakikat pengorbanan, menjadikan contoh generasi awal dalam melakukan pengorbanan dan mengenalpasti apakah dasar dan matlamat yang seharusnya digariskan dalam menguruskan pengorbanan, seharusnya kita tidak berlengah lagi. Sikap pengorbanan yang hakiki perlulah dibangunkan agar nikmat yang kita miliki yang banyak sekali Allah s.w.t. kurniakan tidak kita abaikan dan persiakan demi mendapat sesuatu yang lebih berharga dan bernilai.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda bermaksud:
“Dua nikmat agung yang diabaikan kebanyakan orang ialah kesihatan dan masa lapang.” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Tirmidzi dan Ibn Majah)

Semoga kita tidak terus kerugian dan terus berada dalam jalan hidayah yang Allah s.w.t. kurniakan.

Wallahua’lam.