fbpx

Amal Jama’ie Dalam Mendidik dan Berbakti Sempena Gotong Royong Perdana HALUAN

Amal Jama’ie Dalam Mendidik dan Berbakti Sempena Gotong Royong Perdana HALUAN

Amal Jama’ie Dalam Mendidik dan Berbakti Sempena Gotong Royong Perdana HALUAN

Maha Suci Allah dan segalanya pujian hanya layak bagi Allah s.w.t. yang tidak henti-henti mencurahkan Rahmat dan Hidayah-Nya serta masih memberikan kita nikmat kehidupan dalam Islam dan Iman, berpeluang menghayati, memahami dan beramal Islam kerana Allah s.w.t. Selawat dan salam ke atas sumber teladan kita Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarganya, sahabat, tabi’in, tabi’ at-tabi’in, serta seluruh umat Islam.


Firman Allah s.w.t.:

“Dan Katakanlah (Wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”. (At-Taubah: 105)

Beramal merupakan suatu ibadah selagi bermatlamatkan kebaikan, kebajikan dan untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. dan kemuliaan Islam. Tambah pula sekiranya yang mendorong setiap amalan atau kerja itu adalah pendorong yang kuat, gagah, istiqamah dan menjamin keiltiza¬man iaitu dorongan iman, yang datang dari lubuk hati yang yakin kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya pendorong ini lebih bersih, suci dan dirasai nikmatnya oleh orang-orang mukmin kerana hakikat imanlah yang mendorong orang mukmin melakukan perintah-perintah Allah s.w.t.

Dari sudut syara’ tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam adalah tanggungjawab ke atas fardi (individu) sepertimana kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab-tanggungjawab syariat yang lain. Ganjaran pahala diberikan kepada individu yang melaksanakannya.

Firman Allah s.w.t.:

“Jika kamu berbuat baik (berarti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, Maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri”. (Al-Israa’: 7).

Namun seorang individu sahaja tidak mungkin dapat memikul tanggungjawab amal Islami bagi membangunkan cara hidup Islam yang syumul dan merupakan suatu tugas yang besar. Beramal secara bersama dan berkumpulan, tersusun dan bersistematik bagi mencapai suatu matlamat adalah lebih kuat dan berkat. Ini dinamakan sebagai amal jama’ie atau istilah umum yang biasa digunakan adalah gotong-royong. Manakala perlaksanakan amal atau kerja sememangnya lebih mudah dengan wujudnya institusi. Contohnya ibadah solat dapat dilaksanakan dengan wujudnya institusi masjid. Begitu juga dengan ibadah zakat dan haji yang mudah dilaksanakan dengan wujudnya institusi yang berkaitan.

Bertepatan dengan ini, suatu model yang boleh kita ambil ialah aktiviti Gotong-Royong Perdana Haluan-KTD di Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) yang mana  KTD telah berperanan sebagai medan dan institusi bagi melaksanakan amal jama’ie yang telah dilakukan pada 7 November 2009, iaitu hari Sabtu. Perlaksanaan melalui institusi ini dapat dikawal dengan adanya ‘Lima Nilai Teras KTD’ yang berfungsi untuk merealisasikan objektif KTD dan dilaksanakan bersama oleh kakitangan KTD, pelajar dan ahli Haluan dari pelbagai negeri di Malaysia. Nilai teras yang dimaksudkan ialah:

1. Keimanan dan Ketakwaan Sebagai Tunjang
2. Akauntabiliti dan Integriti Dalam Melaksanakan Tugas
3. Sentiasa Proaktif Kreatif dan Inovatif Dalam Menghadapi Segala Cabaran dan Peluang
4. Kebersamaan dan Kesanggupan Berkorban
5. Keperihatinan dan Keutamaan Kepada Pelanggan

Program amal jama’ie ini menjadi platform bagi NGO seperti Haluan Malaysia untuk mengambil peluang bekerja atau beramal bukan untuk meraih ganjaran atau upah di dunia, sebaliknya untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. Ini juga bertujuan bagi mendidik seluruh kakitangan KTD, pelajar dan ahli Haluan bagi menjayakan misi dan visi KTD di samping merealisasikan moto KTD iaitu Profesional, Beretika dan Berketerampilan. Selain itu program ini menjadi medan bagi melahirkan individu yang dapat bekerjasama, lengkap-melengkapi, bertanggungjawab, amanah, bersungguh-sungguh dan menjalin ikatan silaturahim sesama muslim.      

Firman Allah s.w.t.:

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah …”
(Al-Maidah:2)

 Sebagai salah seorang entiti dalam masyarakat terutamanya muslim, amalan ini seharusnya dilakukan dan diteruskan bagi menyahut saranan Allah s.w.t. iaitu bertolong-menolong dalam mengerjakan kebaikan dan bukanlah kepada perkara kerosakan iaitu dosa dan pelanggaran. Selain itu, Allah s.w.t. berfirman yang berbunyi:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar, merekalah orang-orang yang beruntung”. (Ali Imran:104)

Menghayati ayat Allah s.w.t. ini, maka melaksanakan amal jama’ie ini merupakan suatu peluang  merebut untuk menjadi orang-orang yang beruntung untuk melaksanakan apa yang Allah s.w.t. suruh dan meninggalkan apa yang Allah s.w.t. larang secara bersama-sama (amal jama’ie). Maksud ma’ruf iaitu segala perbuatan yang mendekatkan kita kepada Allah s.w.t. sedangkan munkar ialah segala perbuatan yang menjauhkan kita daripada-Nya. Caranya adalah dengan berusaha memperbaiki diri, mengajak orang lain kepada kebaikan dan melakukannya secara kolektif iaitu berkumpulan seperti yang dinyatakan dalam Surah Ali Imran ayat 104 tadi.

Manakala kaedah perlaksanaan menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar secara kolektif yang mengikut sunnah ialah dengan mewujudkan institusi di samping melakukan secara berkelompok, kerjasama, bergilir-gilir dan melengkapi atau istilah yang biasa digunakan ialah gotong-royong. Di samping itu dalam melaksanakan tindakan dan amalan yang dirancang, maka mestilah dipastikan agar setiap perkara itu dibolehkan di sisi Syara’ (berlandaskan al-Quran dan sunnah). Seterusnya niat kita juga mestilah ikhlas kerana Allah s.w.t. semata-mata, supaya terhindar daripada sifat-sifat syirik atau riya’.

Bagi memastikan keberkesanan ini, lakukanlah secara besungguh-sungguh iaitu berkerja keras, serius dan gigih. Kesungguhan itu akan lahir apabila kita memahami matlamat kita iaitu mencari keredhaan Allah s.w.t. dalam setiap amalan dan pekerjan yang ingin kita lakukan. Pengurusan yang kemas, pembahagian tugas yang baik dan penentuan bidang tugas yang jelas sangat perlu dalam melaksanakan amal jama’ie ini. Di samping itu juga juga perlunya kepada ketua atau pemimpin dan pekerja di samping cara perhubungan yang berkesan dan efisien antara kepimpinan dan perajurit/pekerja dalam memastikan kelancaran suatu amal yang dilakukan bagi mencapai matlamat yang diimpikan.

Al-Imam asy-Syahid Hassan al-Banna pernah menyatakan:

“…Dan kekuatan yang ada merupakan satu jalan yang terjamin.  Alangkah cantik dan indahnya kekuatan bergandingan bahu dengan kebenaran.  Kekuatan tanpa kebenaran akan hancur dan begitu juga kebenaran tanpa kekuatan juga akan hancur.”


Wallahua’lam.

Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman
Presiden HALUAN Malaysia