fbpx

Bersatu Untuk Palestin

Bersatu Untuk Palestin

Bersatu Untuk Palestin

Pergolakan, keganasan  dan penindasan yang berlaku di bumi Palestin merupakan satu jenayah yang sangat dahsyat dalam sejarah peradaban manusia moden, malah penyembelihan dan  pembunuhan yang dilakukan dengan penuh kekejaman terus menjadi-jadi, seolah-olah dunia merestui peristiwa ini berlaku di bumi Palestin.


Dalam soal ini, HALUAN berpendirian tegas dan jelas bahawa isu Palestin ini perlu dilihat secara serius dan segala usaha ke arah pembebasan Bumi Palestin perlu disokong dan diperjuangkan oleh semua pihak.

Kepekaan dan keprihatinan umat Islam terhadap isu Palestin merupakan sesuatu yang sangat penting dan ia perlu diselesaikan secara kerjasama semua pihak. Permasalahan Palestin adalah isu bersama ummat Islam dan ia bukanlah isu rakyat Palestin sahaja. Permasalahan yang kini melanda rakyat Palestin adalah permasalahan aqidah dan ia menjadi isu ummat Islam seluruh dunia.

Sejarah Palestin

Palestin merupakan suatu nama yang digunakan untuk wilayah barat daya negara Syam. Ia bersempadan dengan Laut Mediterranean dan terletak di benua Asia. Palestin dianggap titik pertemuan di antara Asia dan Afrika. Bahagian utara Palestin bersempadan dengan Lubnan, manakala Syria di timur laut, Jordan di timur dan Mesir di selatan.
Bumi Palestin juga dianggap sebagai penempatan tertua di dunia. Bandar tertua di dunia ialah Jericho, yang dikatan terbina sejak 8000SM. Sehingga kini Palestin masih dianggap sebagai sebuah bandar yang dipenuhi dengan pelbagai tamadun manusia yang gemilang.

Di dalam rentetan sejarah yang panjang, bumi berdarah Palestin ini menjadi pusat agama dan peradaban terbesar dunia iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Ketiga-tiganya saling mempertahankan kewujudannya di atas tanah suci ini. Inilah tempat bertemunya bangsa-bangsa di satu titik konflik dalam jangka waktu yang sangat panjang. Tapi satu perkara yang pasti, Palestin bukanlah tanah kosong tanpa bangsa (the land without nation,) bukan pula milik Zionis Israel, sebuah bangsa yang tidak memiliki tanah (the nation without land.)

Bagi umat Islam Palestin, ia adalah masalah utama kerana Palestin merupakan tanah waqaf umat Islam. Dan bagi umat Islam seluruh dunia, ia seharusnya tidak menganggap permasalahan ini hanya permasalahan rakyat Palestin atau bangsa Arab sahaja, tetapi ia adalah permasalahan ummat Islam seluruhnya.

Mengapa Palestin Sangat Penting Untuk Umat Islam?

Sebenarnya terdapat beberapa kepentingan Palestin kepada Umat Islam yang perlu diketahui dan difahami oleh kita semua sebagai. Antaranya:

Pertama, terdapatnya Masjid Al-Aqsha yang menjadi Qiblat pertama umat Islam.
Ini adalah penghormatan Islam pada Palestin yang memiliki sejarah panjang tempat para nabi dan tempat turunnya wahyu. Rasulullah SAW. dan para sahabatnya pernah solat menghadap ke arah Al-Masjid Al-Aqsha selama kira-kira 16 bulan. Kemudian Allah SWT, mengubah kiblat umat Islam ke Masjidil Haram. Dan perubahan itu diabadikan Al-Qur’an di dalam surah al-Baqarah ayat 142.

“Maksudnya: Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: ”Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya. Katakanlah: ”Kepunyaan Allah timur dan barat, dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.”
Perpindahan kiblat ini sendiri memiliki banyak hikmah yang dirasakan umat Islam sampai sekarang.

Kedua, masjid kedua dibina selepas Masjid al-Haram di Makkah.
Allah SWT memuliakan Palestin dengan Al-Masjid Al-Aqsa. Disamping kiblat pertama umat Islam, masjid ini juga merupakan masjid kedua yang terbina di atas mukabumi, dan tempat suci ketiga setelah Makkah dan Madinah.
Rasulullah SAW bersabda, “Kamu tidak boleh mempersiapkan untuk melakukan perjalanan ziarah, kecuali pada tiga masjid; Al-Masjid Al-Haram, Masjid Rasul saw. dan Al-Masjid Al-Aqsa.” (Muttafaqun ‘alaihi)

Ketiga, masjid ketiga suci dan mulia selepas Masjid al-Haram dan Masjid an-Nabawi.
Disamping tempat ini disucikan oleh Allah SWT, tempat ini juga tempat yang diberkati oleh Allah SWT. Keberkatan dari nilai-nilai spiritual kerana para nabi menyampaikan risalah di tempat ini, dan keberkatan material kerana kekayaan alam, kesuburan, dan letaknya yang sangat strategik serta alamnya yang indah.

Rasululullah SAW melaui hadis-hadis baginda banyak menyatakan kelebihan Bumi Palestin, iaitu Baitul Maqdis dan juga Masjid Al-Aqsa.

Dari Abu Darda’ menceritakan Rasulullah telah bersabda, “Solat di Masjid Haram seratus ribu kali solat, solat di Masjidku seribu kali solat dan solat di Baitul Maqdis lima ratus kali.”
(Dikeluarkan Hafidz al Munzir, dari At Tabarani)

Dari Abi Dzar al Ghifari, “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah. Wahai Rasulullah, masjid apa yang pertama diletak (dibangunkan) di bumi? Baginda bersabda: Masjidil Haram. Saya bertanya lagi, kemudian apa? Baginda bersabda : Masjid Aqsa. Saya bertanya. Berapa lama antara keduanya? Baginda bersabda Empat puluh tahun”
(Al Syaikhain)

Maksud sabda Rasulullah SAW,
“Janganlah kamu bersusah payah bermusafir kecuali ke tiga buah masjid: Masjidil Haram dan Masjidku ini dan Masjid al Aqsa”
(Al Syaikhain)

Keempat, tempat berlakunya Mi’raj Nabi Muhammad SAW
Di Masjid Al-Aqsa ini pula Rasulullah SAW melakukan isra’ dan di sini baginda memimpin solat bagi para nabi dan rasul. Ia menggambarkan suatu simbol bahwa Rasulullah SAW adalah pemimpin mereka. Kemudian dari Masjid Al-Aqsha, Rasulullah SAW. melanjutkan perjalanannya menuju Sidratil Muntaha untuk menerina kewajiban yang paling agung, iaitu solat lima waktu. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah peristiwa yang sangat penting dalam sejarah umat Islam.

Kelima, ia merupakan bumi kelahiran para Nabi dan Rasul
Palestin adalah tempat yang bermakna untuk umat Islam kerana di situlah pusat kenabian. Ramai nabi-nabi yang diturunkan dan dilahirkan di Bumi yang penuh barakah Palestin. Palestin adalah bumi para nabi di mana, dimana seramai 50 orang nabi dan rasul  mengajarkan risalah tauhid kepada umatnya. Tidak ada sejengkal tanah di Palestin, kecuali di sana ada nabi yang menyembah kepada Allah dan menyampaikan ajarannya kepada umat. Dari mulai Nabi Ibrahim AS. dan keturunannya Nabi Ishak AS, Ya’qub AS, Yusuf AS dan saudara-saudaranya. Kemudian Nabi Daud AS dan Sulaiman AS. Seterusnya, Nabi Musa AS, Harun AS, Zakariya AS, Yahya AS, dan Isa AS.

Daripada kenyataan dan fakta ini, boleh disimpulkan bahawa bumi Palestin adalah bumi yang mempunyai keistimewaan dan kepentingannya yang tersendiri kepada umat Islam. Ia umpama jantung kepada umat Islam di seluruh dunia. Justeru, tindakan dan tanggungjawab untuk mempertahankan bumi Palestin adalah tanggungjawab seluruh umat Islam dan langkah-langkah ke arah penyelesaian permasalahan ini haruslah dilaksanakan sesegera mungkin.

Usaha Penyelesaian

Justeru, satu tindakan secara bersepadu dan kolektif daripada umat Islam perlu dilakukan untuk menyelesaikan isu ini. Satu kaedah perlu dilakukan bagi membantu umat Islam di Palestin bukan sahaja untuk penyelesaian jangka pendek seperti bantuan kemanusiaan, bekalan ubat-ubatan dan pembangunan semula penempatan yang musnah, tetapi ia mesti menjangkaui kepada penyelesaian jangka panjang.

Penyelesaian jangka panjang yang dimaksudkan di sini ialah pembinaan kekuatan umat Islam yang seharusnya menjadi nadi kekuatan dalam menghadapi segala kemelut dan ancaman daripada musuh Islam. Umat Islam pada hari ini benar-benar memerlukan kekuatan kerana hanya dengan kekuatan, umah Islam dapat mengharungi segala dugaan dan ancaman-ancaman musuh Islam yang sentiasa merancang untuk melemahkan dan menghancurkan umat Islam.

Kekuatan Utama

Seharusnya difahami dan dihayati, bahawa kekuatan yang paling utama bagi umat Islam ialah kekuatan aqidah dan keimanan kepada Allah SWT. Kekuatan inilah yang menjadi faktor utama kepada pembinaan kekuatan dalam diri umat Islam.

Jika kita melihat kembali kepada sirah para sahabat RA, iaitu generasi awal yang dididik oleh Baginda Rasulullah SAW mereka telah diberi didikan dan asuhan penerapan keyakinan dan pemantapan aqidah secara intensif oleh baginda Rasulullah SAW. Perkara ini bukanlah sesuatu yang dibuat secara kebetulan, tetapi ianya dirancang dan dilaksanakan oleh baginda Rasulullah SAW kepada para sahabat sehinggalah mereka lahir menjadi satu generasi yang hebat dalam sejarah peradaban manusia.

Kejayaan generasi para sahabat yang dibentuk Rasulullah SAW dalam mengejar matlamat hidup duniawi dan ukhrawi bukanlah kerana mereka memiliki  pelbagai  jalan  dan alat kelengkapan yang mencukupi. Rahsia kejayaan  mereka ialah keimanan sejati, kepatuhan maksimum terhadap titah perintah Allah SWT dan cita-cita mendalam untuk mendapat keredhaan  serta pahala  daripada-Nya. Inilah rahsia menyebabkan  mereka  bersedia penuh  menyahut  setiap hajat dan keperluan Islam dari  masa  ke semasa.  Bertitik-tolak kepada kekuatan inilah, setiap usaha mereka mendapat bantuan Allah SWT dalam menghadapi segala cabaran yang mendatang di dalam kehidupan mereka.

Selain daripada itu, antara kekuatan lain yang seharusnya ditekankan oleh umat Islam dalam membangunkan umah ini ialah kekuatan keilmuan dan intelektual. Sejak daripada awal lagi, Islam menyuruh umatnya menguasai ilmu berdasarkan wahyu pertama yang Allah SWT turunkan ke atas Nabi Muhammad SAW :

“ Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah mencipta manusia daripada segumpul darah.”
( Surah al-Alaq ayat 1-2)

Ilmu adalah kekuatan dan dengannya manusia mampu membina tamadun yang gilang-gemilang. Penguasaan ilmu menjadi prasyarat yang penting untuk membangunkan sesuatu bangsa dan membina sebuah ketamadunan yang maju dan diredhai oleh Allah SWT. Hal ini juga ditekankan oleh Baginda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud :
“ Menuntut ilmu adalah suatu perkara yang diwajibkan ke atas setiap muslim.” ( Riwayat Ibnu Majah)

Setiap bangsa berpotensi untuk menjadi suatu bangsa yang maju dan cemerlang. Dan potensi ini hanya terserlah dengan ilmu dan kefahaman yang baik. Semua ini boleh dilaksanakan dengan baik sekiranya proses pendidikan itu menjadi teras kepada pembangunan sesebuah negara, bangsa mahupun agama. Secara umumnya ilmu boleh dibahagikan kepada dua iaitu ilmu syara dan ilmu semasa.  Penguasaan ilmu samada ilmu syara dan ilmu semasa adalah menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam.

Ilmu yang dimiliki perlu diamalkan sehingga melahirkan kemahiran yang tinggi dalam sesuatu bidang. Kepakaran sebeginilah yang diperlukan oleh umat Islam dalam berhadapan dengan dunia globalisasi tanpa sempadan ini.

Aspek lain yang perlu dilihat secara serius juga adalah aspek kekuatan ketenteraan. Islam menuntut umatnya mempersiapkan diri dengan segala ilmu dan teknologi yang perlu ketika menghadapi musuh dan persiapan ini termasuk dalam tuntutan ilmu semasa yang disebutkan sebelum ini. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan apa saja kekuatan yang kamu sanggup dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh.”
( Surah al-Anfal ayat 60)

Dalam proses mempersiapkan diri terutamanya dalam bidang ketenteraan ini, umat Islam diizinkan menimba ilmu dan kemahiran daripada golongan yang bukan Islam, tidak kira sama ada dari timur atau barat, selagi mana ianya tidak bercanggah dengan dasar-dasar Islam.

Nabi Muhammad SAW bersabda : “ Hikmah ( Kebijaksanaan) adalah suatu barangan yang hilang daripada orang yang bijaksana. Di mana sahaja dia menemuinya, dialah yang lebih berhak memilikinya.”
( Riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi)

Dalam Usul 20, Imam Hasan Al-Banna berkata: “Islam membebaskan akal, mendorong supaya menganalisis dan mengamati kejadian alam sekeliling. Islam mengangkat tinggi kedudukan ilmu dan ahli-ahli ilmu serta mengalu-alukan sesuatu yang baik dan bermanfaat. Hikmat (atau ilmu pengetahuan) adalah sesuatu yang hilang daripada tangan orang mukmin. Di mana sahaja beliau mendapatinya, beliaulah yang lebih berhak memilikinya.”

Dan satu perkara yang juga perlu dilihat sebagai agenda kekuatan umat Islam adalah kekuatan perpaduan. Perpaduan adalah rahmat, perpecahan adalah bala. Dalam Sejarah, Nabi Muhammad telah menunjukan contoh kepentingan perpaduan apabilan mempersaudarakan sahabat Muhajirin dan Ansar. Perpaduan inilah melahirkan kekuatan sinergi yang luar biasa sehingga berjaya menggegarkan empayar Rom dan Parsi.

Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 102 sehingga 103 yang bermaksud :

“ Wahai mereka yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam. Berpegang teguhlah kamu pada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai.”

Perpaduan menjadi lebih penting semasa umat sedang berdepan dengan musuh. Berhubung dengan ini, dalam Surah al-Anfal ayat 45 sehingga 46, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“ Wahai mereka yang beriman apabila kamu bertembung dengan pasukan musuh berteguh hatilah kamu dan sebutlah nama Allah sebanyak-banyaknya semoga kamu berjaya. Dan taatlah Allah dan RasulNya dan kanganlah kamu berbantah-bantah kerana ia menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatan dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama dengan mereka yang sabar.”

Penutup

Dalam konteks permasalahan Palestin ini, marilah berganding bahu untuk membebaskan bumi Palestin. HALUAN Malaysia berpandangan  bahawa seluruh umat Islam sama ada individu mahupun kumpulan-kumpulan, persatuan-persatuan mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO) perlu bersatu-padu, bekerjasama dan bantu-membantu dalam menggembleng tenaga untuk menyelesaikan isu ini. Perhimpunan Perdana Palestin yang diadakan baru-baru ini yang melibatkan pelbagai NGO memperlihatkan hubungan kerjasama yang erat dan ini memberi suatu gambaran yang positif kepada agenda perpaduan ummah. Marilah sama-sama kita bersatu padu untuk membina kekuatan ke arah masa depan Islam yang gemilang.

—————————-


Dr Abdullah Sudin Bin Abd Rahman
Presiden HALUAN Malaysia