
Memperingati 8 Tahun Tragedi Mavi Marmara
Bak kata pepatah – membiarkan kejahatan itu sama dengan membantu kejahatan. Sempena memperingati kejahatan Zionis terhadap masyarakat awam dalam peristiwa serangan ke atas Freedom Flotilla pada 31 Mei 2010 lalu, kita tidak harus sekali-kali melupakan kejahatan Zionis itu.
Peristiwa di awal Subuh di tengah-tengah perairan antarabangsa Mediterranean itu menjadi satu titik hitam dalam sejarah kemanusiaan. Lebih 600 relawan kemanusiaan yang sedang dalam pelayaran membawa 10 ribu tan barangan bantuan kepada mangsa-mangsa kezaliman Zionis di Gaza telah diserang, didera, dicederakan, dibunuh, dipenjara dan dihina oleh rejim Israel.
12 orang relawan Malaysia turut merasai kepahitan peristiwa di atas kapal Mavi Marmara itu. Namun apa yang dialami oleh mereka mungkin tidaklah sama dengan apa yang dilalui oleh 56 orang lagi rakan relawan yang tercedera dan lebih-lebih lagi 10 orang yang terkorban akibat kerakusan tentera Zionis itu.
Semoga dengan menyorot kembali gambar-gambar di bawah, semangat juang kita akan terus mekar untuk membantu saudara kita di Palestin membebaskan bumi wakaf umat Islam itu dan juga Masjid Al-Aqsa, agar kita tetap menyokong mereka berjuang di barisan paling hadapan mempertahan maruah dan kesucian Islam yang dinodai Zionis.
Allah belum megizinkan Mavi Marmara untuk sampai ke Gaza. Dengan kehendak Allah juga, Mavi Marmara akan sampai ke Gaza suatu masa nanti. Sementara menunggu tibanya masa tersebut, bantulah mereka… mereka memerlukan pendidikan, ubat-ubatan, elektrik dan minyak, bahkan makanan dan air bersih untuk diminum. Dan mereka sebenarnya memerlukan kasih-sayang, ukhuwwah kita semua yang seharusnya turut merasai keperitan mereka.
Sebagai permulaan, marilah kita berdoa agar Allah merahmati mereka yang terbunuh dalam serangan tersebut. Kita tidak akan sekali-kali melupakan kesembilan saudara kita yang mati syahid dibunuh oleh Zionis di pagi hari itu. ‘Inna Lillahi wa ‘Inna ‘Ilayhi Raji’un, Allahu Akbar. Mereka adalah:
1. Asy-Syahid Ibrahim Bilgen (Mac 2, 1949 – Mei 31, 2010)

2. Asy-Syahid Ali Haydar Bengi (Sep 11, 1971 – Mei 31, 2010)

3. Asy-Syahid Cevdet Kiliçlar (Mei 5, 1972 – Mei 31, 2010)

4. Asy-Syahid Çetin Topçuoglu (Mei 1, 1956 – May 31, 2010)

5. Asy-Syahid Necdet Yildirim (Ogos 15, 1978 – May 31, 2010)

6. Asy-Syahid Fahri Yaldiz (Okt 20, 1967 – Mei 31, 2010)

7. Asy-Syahid Cengiz Songür (Jun 4, 1963 – Mei 31, 2010)

8. Asy-Syahid Cengiz Akyüz (Mei 10, 1969 – Mei 31, 2010)

9. Asy-Syahid Furkan Dogan (Okt 20, 1991 – Mei 31, 2010)

10. Uğur Süleyman Söylemez (1963 – Mei 24, 2014)

Semoga Allah SWT memberikan mereka darjat tertinggi di Syurga Firdaus, dan semoga Allah memberi kesabaran dan kekuatan kepada seluruh keluarga dan sahabat mereka yang ditinggalkannya. Allahumma Ameen ya Rabbil ‘Alameen. Semoga Allah menggerakkan hati, fikiran, dan kekuatan kita untuk bergerak membela bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa, menghentikan kejahatan Zionis ke atas saudara kita sejak 64 tahun lampau.










































































