Memperingati 8 Tahun Tragedi Mavi Marmara

Memperingati 8 Tahun Tragedi Mavi Marmara

Memperingati 8 Tahun Tragedi Mavi Marmara

Bak kata pepatah – membiarkan kejahatan itu sama dengan membantu kejahatan. Sempena memperingati kejahatan Zionis terhadap masyarakat awam dalam peristiwa serangan ke atas Freedom Flotilla pada 31 Mei 2010 lalu, kita tidak harus sekali-kali melupakan kejahatan Zionis itu.

Peristiwa di awal Subuh di tengah-tengah perairan antarabangsa Mediterranean itu menjadi satu titik hitam dalam sejarah kemanusiaan. Lebih 600 relawan kemanusiaan yang sedang dalam pelayaran membawa 10 ribu tan barangan bantuan kepada mangsa-mangsa kezaliman Zionis di Gaza telah diserang, didera, dicederakan, dibunuh, dipenjara dan dihina oleh rejim Israel.

12 orang relawan Malaysia turut merasai kepahitan peristiwa di atas kapal Mavi Marmara itu. Namun apa yang dialami oleh mereka mungkin tidaklah sama dengan apa yang dilalui oleh 56 orang lagi rakan relawan yang tercedera dan lebih-lebih lagi 10 orang yang terkorban akibat kerakusan tentera Zionis itu.

Semoga dengan menyorot kembali gambar-gambar di bawah, semangat juang kita akan terus mekar untuk membantu saudara kita di Palestin membebaskan bumi wakaf umat Islam itu dan juga Masjid Al-Aqsa, agar kita tetap menyokong mereka berjuang di barisan paling hadapan mempertahan maruah dan kesucian Islam yang dinodai Zionis.

Allah belum megizinkan Mavi Marmara untuk sampai ke Gaza. Dengan kehendak Allah juga, Mavi Marmara akan sampai ke Gaza suatu masa nanti. Sementara menunggu tibanya masa tersebut, bantulah mereka… mereka memerlukan pendidikan, ubat-ubatan, elektrik dan minyak, bahkan makanan dan air bersih untuk diminum. Dan mereka sebenarnya memerlukan kasih-sayang, ukhuwwah kita semua yang seharusnya turut merasai keperitan mereka.

Sebagai permulaan, marilah kita berdoa agar Allah merahmati mereka yang terbunuh dalam serangan tersebut. Kita tidak akan sekali-kali melupakan kesembilan saudara kita yang mati syahid dibunuh oleh Zionis di pagi hari itu. ‘Inna Lillahi wa ‘Inna ‘Ilayhi Raji’un, Allahu Akbar. Mereka adalah:

1. Asy-Syahid Ibrahim Bilgen (Mac 2, 1949 – Mei 31, 2010)

Seorang jurutera, pendakwah dan ahli politik di Turki. Berusia 61 tahun, beliau dikurniakan enam orang anak. Beliau adalah seorang relawan di kapal Mavi Marmara yang ditembak di kening sebelah kanan, di dada sebelah kiri, di punggung dan di pahanya. Pemeriksaan forensik atas jenazahnya menemukan peluru berkaliber besar yang bersarang di otaknya, sebuah peluru yang biasa ditembakkan dari senapang berburu.

2. Asy-Syahid Ali Haydar Bengi (Sep 11, 1971 – Mei 31, 2010)

Ali Heyder Bengi, 39 tahun, berasal dari Diyarbakir dan mempunyai kelulusan dari Fakulti Sastera Arab, Universiti Al-Azhar, Kaherah. Beliau dikurnikan empat orang anak. Ali Heyder ditembak enam kali, termasuk satu di perutnya.

3. Asy-Syahid Cevdet Kiliçlar (Mei 5, 1972 – Mei 31, 2010)

Cevdet Kiliçlar, 38 tahun, adalah merupakan redaksi laman web IHH. Beliau dikurniakan dua orang anak. Dibunuh dengan sebutir peluru yang tepat masuk di antara kedua alis matanya dan memburaikan otaknya, ketika beliau sedang mengambil gambar tentera Zionis yang sedang menyerang.

4. Asy-Syahid Çetin Topçuoglu (Mei 1, 1956 – May 31, 2010)

Çetin Topçuoglu, 54 tahun, merupakan bekas juara Taekwondo yang bekerja sebagai pelatih pasukan kebangsaan Taekwondo Turki. Beliau ditembak tiga kali; sekali di bahagian belakang kepalanya, sekali di paha dan sekali di perutnya. Beliau mati syahid di hadapan mata isterinya yang juga atlet Taekwondo dan relawan di atas kapal Mavi Marmara.

5. Asy-Syahid Necdet Yildirim (Ogos 15, 1978 – May 31, 2010)

Necdet Yildirim, 31 tahun, adalah seorang pekerja kemanusiaan di IHH. Beliau berasal dari kota Malatya dikurniakan seorang gadis kecil berusia tiga tahun. Ditembak dua kali di pundak kanan dan di punggung kiri.

6. Asy-Syahid Fahri Yaldiz (Okt 20, 1967 – Mei 31, 2010)

Fahri Yildiz, 43 tahun, adalah seorang pegawai bomba di kota Adiyaman. Beliau dikurniakan empat orang anak. Ditembak dengan lima peluru, termasuk satu di dadanya.

7. Asy-Syahid Cengiz Songür (Jun 4, 1963 – Mei 31, 2010)

Cengiz Songür, 47 tahun, berasal dari kota Izmir. Beliau dikurniakan tujuh orang anak. Ditembak sekali di pangkal leher depannya.

8. Asy-Syahid Cengiz Akyüz (Mei 10, 1969 – Mei 31, 2010)

Cengiz Akyüz, 41 tahun, berasal dari kota Iskenderun dan dikurniakan tiga orang anak. Beliau terkena empat tembakan; di belakang kepalanya, wajahnya yang kanan, punggung dan kaki kiri.

9. Asy-Syahid Furkan Dogan (Okt 20, 1991 – Mei 31, 2010)

Furkan Dogan, 19 tahun, adalah rakyat Amerika yang sedang menunggu untuk meneruskan pengajian tinggi di fakulti perubatan di sebuah universiti di Turki. Ayahnya, Ahmet Dogan, adalah seorang profesor di Universiti Erciyes. Berkewarganegaraan Turki dan Amerika, Furkan mempunyai dua orang adik-beradik. Beliau ditembak lima kali; di kepala, punggung dan kaki.

10. Uğur Süleyman Söylemez (1963 – Mei 24, 2014)

Uğur Süleyman Söylemez dilahirkan pada tahun 1963 di Ankara, adalah merupakan freelancer. Selepas beliau dipindahkan ke Turki bersama dua lagi penumpang Mavi Marmara yang cedera, beliau dimasukkan ke Hospital Penyelidikan Ankara Ataturk. Beliau dirawat di ICU selama 8 bulan. Keadaannya tidak bertambah baik dan dia dihantar ke rumah. Dia tinggal dalam keadaan koma selama 4 tahun dan hari ini dia meninggal di rumahnya di Ankara sehingga menjadi salah seorang syahid.

Semoga Allah SWT memberikan mereka darjat tertinggi di Syurga Firdaus, dan semoga Allah memberi kesabaran dan kekuatan kepada seluruh keluarga dan sahabat mereka yang ditinggalkannya. Allahumma Ameen ya Rabbil ‘Alameen. Semoga Allah menggerakkan hati, fikiran, dan kekuatan kita untuk bergerak membela bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa, menghentikan kejahatan Zionis ke atas saudara kita sejak 64 tahun lampau.


KLIA Sepang – bermulanya perjalanan 8 relawan Malaysia ke Istanbul untuk bergabung dengan ratusan aktivis kemanusiaan antarabangsa dengan matlamat untuk meruntuhkan embargo haram Zionis ke atas Gaza sekaligus membuka mata masyarakat dunia tentang penderitaan di Gaza.
Setelah berjaya melancarkan beberapa konvoi bantuan sebelum ini, Istanbul kini menantikan satu lagi saat bersejarah.
Relawan Malaysia bergabung di bawah NGO utama Turki – Insani Yardim Vakfi.
Kapal Mavi Marmara bakal memimpin flotila 8 buah kapal belayar ke Gaza. Akhirnya hanya 6 buah kapal berjaya meneruskan pelayaran.
Mavi Marmara membawa aktivis kemanusiaan dari pelbagai agama, bangsa dan kemahiran. Semua penumpang dan barangan yang dibawa telah diperiksa berkali-kali oleh pihak ketiga, termasuk International Committee of the Red Cross (ICRC,) bahawa tidak ada sebarang bentuk senjata atau barang larangan yang dibawa.
Relawan Malaysia meninjau Mavi Marmara dan berkenalan dengan relawan serta petugas dari Turki.
Orang ramai mendoakan kejayaan misi ini, kebebasan saudara mereka di Gaza dari embargo dan kejahatan Zionis.
Hari yang dinanti-nantikan di bandaraya Istanbul – majlis pelancaran pelayaran Mavi Marmara.
Anak-anak kecil dan warga tua turut serta dalam peristiwa bersejarah ini..
Muara Laut Marmara bagai merayakan satu pesta, di mana rakyat Istanbul turun meraikan pelayaran Mavi Marmara.
Para pemimpin flotilla dan tokoh kemanusiaan membebaskan burung merpati… melambangkan misi kemanusiaan dan perdamaian yang ingin membebaskan manusia dari kezaliman.
Mavi Marmara menjadi simbol perjuangan kemanusiaan mutakhir.
Masyarakat Turki terkenal dengan semangat juang yang tinggi dan tersusun dalam membantu rakyat Palestin.
Mavi Marmara meninggalkan Istanbul menuju ke selatan Turki sebelum dinaiki para penumpang di Pelabuhan Antalya.
Kepez Arena di Antalya menjadi titik pertemuan para aktivis dari suluruh dunia.
Pertemuan para aktivis di Antalya semakin hangat dengan ancaman-ancaman Zionis untuk menghalang usaha kemanusiaan ini.
Para aktivis berikrar untuk terus menuju ke Gaza walaupun mendapat ancaman dan usaha-usaha sabotaj dari Zionis.
Para aktivis bersiap sedia untuk menaiki Mavi Marmara yang sedang berlabuh di Antalya, menuju ke perairan antarabangsa Mediterranean.
Mavi Marmara belayar ke Mediterranean dan akan menunggu kapal-kapal lain berdekatan perairan Cyprus.
Para relawan Malaysia dan Indonesia bersemangat tinggi dan berkongsi apa jua kemudahan dan maklumat demi mencapai matlamat yang sama.
Pelayaran ini mendapat perhatian media utama ke seluruh dunia. Turki dan beberapa negara Arab mengadakan lintas langsung sepanjang pelayaran Mavi Marmara. Media merupakan satu-satunya senjata yang ada pada Mavi Marmara, di mana lebih 50 agensi media antarabangsa turut berada di atas kapal itu.
Mavi Marmara mengeratkan satu bangsa dengan yang lain, satu agama dengan yang lain, sehingga semuanya menjadi satu keluarga yang saling hormat-menghormati.
Mavi Marmara ibarat sebuah institusi yang bergerak – di situlah berjalannya majlis-majlis ilmu, solat tahajjud, kelas belajar hadis dan al-Quran dan juga persembahan kebudayaan.
Para relawan Malaysia dan Indonesia mengambil kesempatan meraih ilmu dan pengalaman dari ulamak-ulamak yang turut belayar, antaranya Sheikh Raed Salah.
Para relawan sanggup meninggalkan kemewahan dan kesenangan, tidur hanya di atas lantai laluan dan berbumbungkan langit gelap dalam kesejukan bayu Mediterranean.
Tidak jauh dari perairan Cyprus, kapal-kapal berkumpul bagi meneruskan pelayaran bersama. Challenger I merupakan sebuah kapal dari Eropah yang mengibarkan bendera Amerika. Sebuah lagi kapal dari organisasi yang sama, Challenger II, tidak dapat meneruskan pelayaran akibat kerosakan yang disyaki angkara sabotaj.
Inilah kapal kargo “Gazze” yang membawa barangan bantuan IHH Turki.
Sebuah lagi kapal kargo, Eleftheri Mesogios, dari Greece.
Sfendoni, sebuah lagi kapal penumpang dari Eropah.
Akhirnya enam buah kapal meneruskan pelayaran menuju ke Gaza.
Semua aktivis, termasuk kumpulan relawan wanita ini, optimis untuk sampai ke Gaza walaupun ada kemungkinan di sekat di tengah pelayaran.
Dua aktivis dari Australia, Maryam Luqman dan Jerry Campbell (kanan) turut menyertai misi keamanan ini. Ketika pelayaran, Jerry Campbell sedang hamil.
Walaupun terdapat isyarat-isyarat kehadiran kapal dan pesawat asing, pelayaran flotilla ini berjalan lancar sehinggalah para relawan Muslim mula mengerjakan solat Subuh, menjelang jam 4:30 pagi.
Tentera Zionis tiba-tiba muncul dari kegelapan dengan menaiki puluhan buah bot zodiac, mengejar Mavi Marmara.
Para aktivis menggunakan apa sahaja peralatan yang ada di atas kapal, termasuklah dengan memancutkan air dari pili kapal, untuk menghalang tentera Zionis dari menaiki Mavi Marmara.
Tentera Zionis mula menembak bom asap dan pemedih mata.
Bot-bot Zodiac terus mengejar Mavi Marmara dan pasukan komando laut Zionis cuba untuk memanjat naik ke atas.
Tentera Zionis masih mencuba untuk menaiki kapal.
Suasana di atas kapal menjadi kecoh apabila tentera Zionis mula melepaskan tembakan dan bom (grenad).
Peristiwa serangan itu berjaya disiarkan secara langsung ke beberapa talian satelit di Eropah dan negara Arab.
Tentera Zionis terus mencuba, dan Mavi Mara masih mampu bertahan dan terus belayar ke tengah perairan antarabangsa.
Bullent Yildirim (memegang mikrofon) mengadakan lintas langsung mendesak supaya Zionis menghentikan serangan.
Tentera Zionis terus menyerang dari kanan…
… dan kiri Mavi Marmara.
Tentera Zionis terus menembak, tetapi gagal menaiki Mavi Marmara sehinggalah…
… mereka menurunkan komando ke atas kapal dengan menggunakan helikopter.
Tiga orang komando yang turun telah berjaya ditangkap oleh para aktivis. Seterusnya, tentera Zionis melepaskan tembakan dari helikopter menyebabkan bermulanya tragedi pembunuhan.
Aktivis masih cuba mempertahankan diri, tetapi diarahkan diarahkan tidak lagi melawan apabila berlaku banyak kecederaan dan kematian, dan tentera laut sudah mula menaiki Mavi Marmara.
Pembunuhan kejam secara sengaja, sehinggakan Furkan di tembak mukanya dari jarak 45cm, dengan jumlah 5 tembakan di badannya.
Tentera Zionis terus mengganas walaupun para aktivis tidak lagi melawan. Tembakan menggila tentera Zionis menggunakan peluru hidup menyebab ramai yang tercedera dan terkorban.
Para aktivis bersiap sedia menghadapi tentera Zionis yang cuba masuk ke dalam kabin.
Kekurangan balang oksigen dan ubat menyukarkan para doktor untuk merawat mangsa yang cedera parah.
Para aktivis diam tidak melawan tentera Zionis yang sudah membanjiri Mavi Marmara.
Misi untuk membunuh… senarai nama dangambar mereka yang hendak dibunuh oleh tentera Zionis yang dirampas dari komando yang ditawan.
Relawan tetap bekerja keras membantu mereka yang tercedera walaupun menyedari tentera Zionis kini sudahpun memasuki kapal.
Mavi Marmara tidak ubah seperti sebuah hospital di tempat peperangan.
Darah tumpah di sana-sini.
Sememangnya Mavi Marmara tidak bersedia untuk berhadapan sengan serangan brutal sedmikian rupa.
Suria, seorang relawan dari Indonesia dalam keadaan cemas akibat tembakan di sebelah kanan dadanya.
Serangan ganas dan kecederaan yang banyak menyebabkan rawatan tidak dapat diberikan dengan sempurna. tentera Zionis enggan membawa kebanyakan mereka yang tercedera ke hospital.
Seorang lagi aktivis yang terkorban akibat tidak dapat diberikan rawatan sebaiknya.
Doktor terpaksa menggunakan apa sahaja yang ada untuk membantu mangsa.
Doktor dan aktivis cuba menahan dari yang keluar dari dada Suria, seorang relawan Indonesia. Alhamdulillah beliau selamat, walaupun terpaksa tinggal di sebuah hospital Zionis untuk beberapa minggu.
Cevdet Kılıçlar tidak memerlukan rawatan, kerana Zionis menembak mati di tempat kejadian.
Para aktivis cuba membantu dan menyelamatkan rakan seperjuangan.
Relawan ditembak menggunakan peluru hidup di bahagian anggota penting, termasuk dada dan kepala.
Ramai relawan yang ditembak di dada.
Fajar menyinsing, dan kapal-kapal perang Zionis mula menghampiri Mavi Marmara.
Gerombolan tentera Zionis menaiki Mavi Marmara.
Para aktivis keletihan dan ramai yang tercedera, tetapi mereka tetap tenang dengan apa yang telah berlaku.
Mavi Marmara bertukar menjadi sebuah tempat rawatan kecemasan bergerak.
Ramai yang tercedera parah dibiarkan Zionis berada di dalam kapal.
9 orang terkorban akibat kerakusan Zionis.
Semoga Allah merahmati mereka yang terkorban, juga para keluarga dan sahabat mereka.
Mavi Marmara dirampas oleh Zionis Yahudi dan dipaksa berlabuh di Ashdod, di mana semua aktivis kemudiannya dipenjara di Beer Sheba.

 

Please follow and like us:
error