fbpx

Kanak-kanak HALUAN Rai Orangasli Sungai Gabai

Kanak-kanak HALUAN Rai Orangasli Sungai Gabai

Kanak-kanak HALUAN Rai Orangasli Sungai Gabai

HULU LANGAT, SELANGOR, 30 Mei 2018 – Lebih 60 buah keluarga orangasli di Sungai Gabai dekat sini telah diraikan oleh Pemudi HALUAN Putrajaya dalam sebuah program Anak-anak Cakna Ummah bertemakan Ramadan semalam.

Aktiviti di Perkampungan Islam Orangasli itu dinamakan sebagai ‘Program Ramadan Gift-Pack Anak-Anak Bersama Fakir Miskin’. Seramai 17 orang peserta daripada kalangan anak-anak ahli HALUAN yang berumur antara 3 hingga 10 tahun telah sama-sama menyantuni dan berpeluang untuk menziarahi keluarga orangasli yang majoritinya beragama Islam.

Seawal jam 9.30 pagi, para peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan dibantu oleh Pemuda dan Pemudi HALUAN. Setiap kumpulan membuat agihan dan serahan barangan keperluan asas seperti beras, tepung, kicap, kuih raya, biskut dan barang keperluan lain ke setiap rumah. Selain itu, para peserta cilik ini juga turut meraikan anak-anak orang asli yang seusia dengan mereka dengan menyampaikan sumbangan goodies kepada setiap seorang. Aktiviti ini memberi peluang kepada para peserta untuk berinteraksi dengan lebih dekat kehidupan masyarakat orangasli dan saling berkenal-kenalan dengan mereka.

Antara objektif penganjuran program ini adalah untuk memberikan pendedahan awal kepada para peserta cilik tentang tatacara menyantuni dan mengasihi golongan fakir miskin. Mereka turut diingatkan untuk mendekati penduduk kampung dengan bertanya khabar, bercakap secara sopan santun serta mereka juga turut diajar tentang adab-adab sebagai tetamu. Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk mendidik para peserta cilik bagi menghidupkan sunnah dengan berinfaq kepada golongan yang memerlukan. Mereka juga dibawa turun ke masyarakat untuk melihat sendiri keadaan masyarakat yang serba kekurangan dan memerlukan bantuan dan perhatian. Ini dapat melatih para peserta kecil ini untuk bersyukur atas nikmat yang Allah kurniakan dan membina rasa empati yang tinggi terhadap masyarakat sekeliling sambil berazam untuk menjadi sukarelawan HALUAN suatu hari nanti.

Menurut pengarah program, Puan Mahfuzah Hanisah Mohd Ariff jawatankuasa penganjur program telah melancarkan kutipan untuk sumbangan ramadan gift pack ini secara meluas dan telah mencapai jumlah kutipan yang memberansangkan.

“Kami mensasarkan jumlah kutipan sebanyak RM3,750 dan alhamdulillah jumlah kutipan yang berjaya dikumpul mencecah RM5,600. Pemudi HALUAN Putrajaya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua para penyumbang yang memberikan kepercayaan penuh kepada kami. Sumbangan anda alhamdulillah telah selamat kami sampaikan kepada para penduduk kampung. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga ingin saya rakamkan kepada Pemuda HALUAN Putrajaya yang banyak membantu menjayakan dan melancarkan program ini. Saya benar-benar berharap agar objektif program ini tercapai dengan jayanya. Kami berusaha menyediakan platform untuk anak-anak supaya mereka boleh turun ke medan amal walaupun usia masih kecil. Mudah-mudahan anak-anak ini dapat membina jatidiri yang mantap, berjiwa besar dan membentuk sifat kepimpinan,” ujar Puan Mahfuzah Hanisah.

Salah seorang AJK program, Puan Siti Shafiqah Mahyiddin berpendapat program yang dianjurkan itu sangat bagus kerana mendedahkan anak-anak sebagai pemberi sumbangan. Ini dapat meningkatkan kesedaran dan kepekaan mereka terhadap golongan fakir miskin selain dapat membina syu’ur untuk memberi dan berkongsi sesama kanak-kanak.

Berikut komen beberapa orang peserta cilik yang telah mengikuti program berkenaan:

“Seronok sangat dapat ikuti program ni sebab dapat lihat kehidupan orang yang lebih susah dan dapat bantu mereka. Kanak-kanak itu semua gembira bila Umar bagi goodies kepada mereka.” (Umar Al-fateh, 9 tahun)

“Saya merasa gembira kerana dapat membuatkan kawan-kawan di sana turut merasa gembira. Saya turut merasa tersentuh apabila melihat kawan-kawan memakai pakaian yang usang dan tidak berkasut. Saya berazam ingin berkongsi pakaian dan permainan yang ada dengan kawan-kawan di sana jika berpeluang untuk ke sana lagi.” (Nur Hannah Insyirah, 6 tahun).

Ucapan penutup dan penyampaian cenderahati disampaikan oleh Ketua Biro Pemuda HALUAN, Encik Hasri Ahmad kepada ketua kampung, Encik Alis. Beliau berharap agar program-program seperti itu dapat dianjurkan lagi serta kerjasama dan jalinan ukhuwah antara NGO HALUAN dan penduduk kampung dapat diteruskan. Majlis seterusnya diteruskan dengan penganugerahan lencana “Saya Cinta Ummah” kepada para peserta sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada mereka yang telah berjaya melaksanakan tugasan mereka dengan baik.


Laporan Shah Aznie Ariffin Kashinath, Timbalan Pengarah Program, Ramadan Gift Pack Anak-anak Bersama Fakir Miskin 2018


Amar Yassir (bertopi) salah seorang peserta membantu mengagihkan beras
Kanak-kanak orangasli yang gembira menerima goodies dari peserta cilik
Peserta cilik bergambar setelah selesai memberi barang sumbangan kepada salah seorang penduduk orang asli

 

Salah seorang peserta cilik, Hannah Insyirah (kanan) memberikan goodies kepada kanak-kanak orang asli
Peserta cilik selesai bertaaruf dan mengagihkan barangan sumbangan kepada salah seorang penduduk orangasli