fbpx

Masyarakat Kuantan Rebut Peluang Solat Terawih Bersama Imam Dari Gaza

Masyarakat Kuantan Rebut Peluang Solat Terawih Bersama Imam Dari Gaza

Masyarakat Kuantan Rebut Peluang Solat Terawih Bersama Imam Dari Gaza

KUANTAN, 25 JULAI 2012 — Masjid Saiyidina Othman Al-Affan di sini telah menjadi pembuka tirai Program Ramadhan Besama Huffaz Palestin, Syria dan Somalia bagi negeri Pahang Darul Makmur. Para jemaah memenuhi dewan solat masjid, bahkan ramai yang terpaksa bersolat di kawasan lapang di luar masjid demi menyahut peluang beribadah bersama seorang hafiz yang dibawa khas dari Gaza, Syeikh Husam Taufeq Muhammad An Naffar.

Jelas sekali jemaah yang hadir teruja dengan bacaan al-Quran dan bicara tazkirah yang disampaikan oleh imam muda ini. Apa tidaknya, seorang jemaah separuh umur menghampiri petugas HALUAN Cawangan Pahang dan berkata, “saya sangat kagum dengan bacaan al-Quran dia, saya akan ikut ke mana sahaja imam ini pergi pada malam-malam seterusnya.” Beliau lantas meminta salinan jadual pergerakan imam tersebut di sekitar Kuantan.

Syeikh Husam An Naffar merupakan seorang imam dan tutor di Masjid Syeikh Zayed di Gaza. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Islam Gaza dan mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang tajwid, tilawah dan qiraat Al Quran secara bersanad sejak tahun 2005 lagi.

Menurut Ketua Biro HALUAN Palestin Cawangan Pahang, Tn Hj Bashir Abd Ghani, jadual pergerakan imam sepanjang Ramadhan ini telah dilengkapkan sejak dua minggu lalu. “Kami dapati masyarakat Islam di Kuantan ini sangat teruja dan menanti-nanti untuk bersama tetamu mereka dari Gaza ini bilamana iklan dan hebahan mengenai program ini telah dibuat melalui siaran Radio 3 Pahang, Facebook dan poster sejak awal lagi,” jelas beliau.

Ketika menyampaikan tazkirah, Syeikh Husam An Naffar mengajak para jemaah menghayati tujuan puasa iaitu supaya bertakwa kepada Allah SWT. Beliau turut berkongsi maklumat tentang penderitaan rakyat Palestin, khususnya di Tebing Barat. “Mereka dikenakan sekatan dan pencerobohan yang tiada kesudahannya sejak sekian lama. Mereka tidak ada simen untuk membina rumah, bahkan mereka sukar mendapatkan kain putih untuk mengkafankan jenazah,” kata beliau.

Beliau menyeru agar umat Islam di Malaysia terus membantu perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan Masjid al-Aqsa dan Baitulmaqdis yang telah dijajah dan dikuasai oleh Yahudi sejak sekian lama.

Di akhir pertemuan, Pengerusi dan AJK Masjid merakamkan kenangan manis ini dengan bergambar bersama Syeikh Husam An Naffar. Alhamdulillah para jemaah telah bermurah hati menghulurkan bantuan untuk rakyat Palestin dengan kutipan sebanyak RM 2547.00.

HALUAN Cawangan Pahang mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan di atas sambutan para jemaah dan jawatankuasa di Masjid Saiyidina Othman Al-Affan. “Kami ucapkan ribuan terima kasih kepada semua terutamanya Pengerusi masjid, Cikgu Azmi, dan juga seorang ahli kariah, Dr Hassan, yang telah menjadi penterjemah dengan penguasaan Bahasa Arab yang baik sekali,” kata Tn Hj Bashir.

Semoga setiap doa dan sumbangan ikhlas para jemaah Masjid Saiyidina Othman Al-Affan diterima Allah sebagai amal yang soleh dan dilipat-gandakan ganjarannya sempena Ramadhan yang mulia ini.


Laporan oleh MediaHALUAN Cawangan Pahang.