fbpx

Ramadhan Bersama Huffaz : Persaudaraan Yang Unik

Ramadhan Bersama Huffaz : Persaudaraan Yang Unik

Ramadhan Bersama Huffaz : Persaudaraan Yang Unik

SUBANG PERDANA, 24 Julai 2012 — Program Ramadhan Bersama Huffaz Palestin, Syria dan Somalia sangat unik sekali. Dianjurkan oleh HALUAN Malaysia melalui Biro HALUAN Palestin dan Biro Misi Kemanusiaan, program ini menemukan para huffaz dari tiga negara berbeza tersebut dengan penuh mahabbah dan kasih sayang sungguhpun mereka tidak pernah bertemu sebelum ini.

“Pada tahun lalu, kita membawa para huffaz terpilih dari Syria dan Palestin. Alhamdulillah tahun ini melalui jalinan usaha Misi Bantuan Kemanusiaan ke Somalia, HALUAN dapat membawa 5 orang huffaz Somalia. Kita dapat lihat satu keindahan persaudaraan Islam yang sangat unik apabila mereka yang tidak pernah kenal sebelum ini dapat bermesra seolah-olah pernah bertemu,” kata Ketua Biro HALUAN Palestin, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan di majlis meraikan ketibaan semua huffaz. Beliau turut mengungkap kembali suasana persaudaraan yang sangat akrab ketika relawan HALUAN menziarahi Palestin pada bulan April lalu, di mana ucapan pertama yang dilafazkan oleh pegawai-pegawai imigresen Gaza berbunyi, “selamat datang ke keluarga kamu, selamat datang ke tanahair kamu.” “Hari ini kami juga merasakan kamu semua sebagai keluarga kami,” ujar beliau kepada semua huffaz. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Presiden HALUAN, Ustaz Mohd Darus Senawi Ali.

Para huffaz ini akan bersama masyarakat Malaysia di seluruh negara melalui program solat terawih di masjid-masjid terpilih. Semoga kehadiran mereka yang mahir dalam ilmu dan kaedah pembacaan al-Quran ini akan dapat membuka lembaran baru untuk kita sentiasa hidup bersama al-Quran. “Di samping itu, kehadiran mereka akan dapat meningkatkan rasa kebersamaan dengan saudara kita yang sedang ditimpa musibah melalui perkongsian pengalaman dan tazkirah yang akan mereka sampaikan,” Dr Syed Muhammad Haleem menyatakan harapan beliau.

“Mereka ini sangat istimewa! Beberapa orang daripada mereka mempunyai kelulusan PhD dalam bidang agama dan al-Quran. Contohnya, Dr Maher Al Munajjid berkelulusan PhD dalam Usul Fiqh dan mempunyai ijazah Qiraat 10 yang mutawattir dari ulama terkenal Sheikh Muhammad Toha Sukkar. Beliau juga merupakan ahli tetap lujnah al-Quran Kementerian Wakaf dan ahli lujnah pengijazahan al-Quran di Syria. Ada beberapa orang lagi huffaz dari Gaza yang setara dengan beliau. Kita juga dapat melihat bagaimana pemuda-pemuda Somalia dapat hidup akrab dengan al-Quran walaupun mereka sentiasa berhadapan dengan kelaparan dan kemiskinan,” jelas Dr Syed Muhammad Haleem lagi.

Suatu yang istimewa dari kalangan mereka adalah kebolehan Imam ‘Ahid Basyeer dengan suara merdunya membaca al-Quran dengan alunan bacaan 62 qari atau imam terkenal di dunia, termasuklah Shuraim, Ghamidi, Abdullah Basfar, Al-Minsyawi, Al-Afasyi, dan tidak ketinggalan juga meniru Al-Hafizh Ismail Haniyah. Ya, suara Perdana Menteri Palestin yang sanad hafalan dan bacaan al-Qurannya tersambung ke Rasulullah SAW.

Nantikan mereka di masjid atau surau berdekatan!

Berikut adalah biodata ringkas sebahagian daripada para huffaz.


Imam Muzhaffar Salman Ahmad Al Nawati merupakan seorang imam di Masjid Al-Abbas, Gaza dan guru sanad Al-Quran dan kursus hukum-hukum Al-Quran di Kementerian Wakaf. Beliau mendapat kebenaran Sanad Qiraat Al-Quran Hafs dari ‘Asim yang bersambung dengan Rasulullah SAW. Ketika ini, Sheikh Muzhaffar adalah guru sanad kepada 18 orang pelajar.

Beliau merupakan Qari Al-Quran di TV Al-Aqsa dan stesen radio tempatan, di mana rakaman video beliau terkenal di YouTube. Beliau juga seorang yang pernah menjadi Pengerusi juri dalam membaca Al-Quran dan ahli juri program Al-Quran di Kementerian Wakaf dan Dewan Al-Quran dan As-Sunnah.

Untuk program Ramadhan Bersama Huffaz ini, beliau akan berada di Pulau Pinang.


Imam Ibrahim Saqr Ismail Al Zaeem tamat menghafal Al-Quran beserta Sanad dan Qiraat pada tahun 1998. Beliau juga memegang Sanad yang bersambung dengan Rasululah SAW pada tahun 1425H bersamaan 2005M. Kemudian, beliau memegang Qiraat Imam Al-Kasaie pada tahun 2002.

Beliau mendapat tempat ke-8 dalam dalam pertandingan hafazan Al-Quran dan tafsiran yang ditubuhkan oleh Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin pada tahun 2001. Selain itu, beliau mengambil bahagian dalam pertandingan Hafazan Al-Quran yang ditubuhkan oleh Dewan Al-Quran pada tahun 1998 dan mendapat tempat ketiga di peringkat Semenanjung Gaza.

Di peringkat antarabangsa, beliau mewakili Palestin dalam Majlis Tilawah Al-Quran diperingkat antarabangsa yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1421H bersamaan 2000M. Kemudian beliau juga mewakili Palestin dalam pertandingan Hafazan Al-Quran antarabangsa di Republik Arab Mesir pada tahun 1999M. Beliau mewakili Palestin dalam sambutan tahunan Antarabangsa kali Ke-3 dalam Tilawah Al-Quran,Tajwid dan Tafsirannya di Kerajaan Arab Saudi pada tahun 1411H bersamaan 1991M.

Selain dari memiliki Ijazah Sarjana dalam Sejarah Moden dan Semasa dari Universiti Islam Gaza, beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kewartawanan dan media.

Beliau merupakan seorang wartawan di Gaza.

Untuk program Ramadhan Bersama Huffaz ini, beliau akan berada di Kelantan.


Imam Ahmad Jaqmiri Ghassan merupakan salah seorang huffaz yang menjayakan program ini pada tahun lepas. Pemuda Syria ini merupakan graduan Universiti Damsyik dalam Fakulti Pendidikan dengan memegang Ijazah Sanad Al Quran dari Syeikh Abi Hassan al Kurdiy.

Beliau pernah menyertai beberapa pertandingan musabaqah antarabangsa dan menjadi Johan beberapa tahun di Syria. Juga menjadi peserta pertandingan Hafazan dan Tafsir Al Quran Makkah 2011.

Beliau kini menjadi pengajar Bahasa Arab di Masjid Iman Damsyik.

Untuk program Ramadhan Bersama Huffaz ini, beliau akan berada di Selangor.

{youtube}1Zqphr4yrbY{/youtube}


Imam Ahmad Abdirahman Salah merupakan seorang guru di Institute Ali Irfan di Garissa. Beliau berasal dari pekan Dobley, wilayah Somalia yang bersempadan dengan Kenya. Dobley merupakan pusat transit ratusan ribu pelarian Somalia yang terpaksa berhijrah ke sempadan Kenya.

Anak-anak Somalia masih meneruskan pendidikan tradisi melalui sistem dugsi, iaitu sekolah di bawah pokok yang hanya berdindingkan ranting pokok dan beratapkan langit luas. Lazimnya mereka akan bangun awal sebelum Subuh untuk menghafal al-Quran dan hadis dengan bercahayakan bulan atau unggun api. Pengajian diteruskan selepas solat Subuh, di mana para pelajar harus menulis sendiri ayat-ayat al-Quran atau hadis yang perlu dihafal di atas kepingan kayu.

Generasi Ahmad Abdirahman meneruskan sistem pendidikan ini yang mampu memberi ketahanan kepada pelarian Somalia yang diancam oleh pihak luar mengambil kesempatan daripada kesusahan hidup mereka. Beliau memegang diploma dalam jurusan Bahasa Arab.

Untuk program Ramadhan Bersama Huffaz ini, beliau akan berada di Selangor.


Imam Dr Hani Rafiq Hamid Awad adalah seorang pensyarah bidang Al-Quran di Universiti Islam Gaza. Antara lain, beliau merupakan seorang ahli Persatuan Ulama’ Palestin, ahli Pusat dalam Al-Quran dan Dakwah Islam, dan ahli Lembaga dalam Bahagian Al-Quran dan As-Sunnah.

Beliau juga memegang Ijazah Sarjana Muda Syariah Islam dan Ijazah Sarjana Muda Perbandingan Feqah dari Fakulti Syariah dan Undang-undang dari Universiti Islam Gaza.

Untuk program Ramadhan Bersama Huffaz ini, beliau akan berada di Selangor.


Imam Husam Taufiq Muhammad An Naafar merupakan seorang imam dan tutor di Masjid Zayed, Gaza.

Memegang Ijazah Sarjana Muda dalam Usuluddin di Universiti Islam Gaza, beliau tamat menghafal Al-Quran beserta Sanad dan Qiraat pada tahun 2005. Beliau mempunyai kemahiran yang tinggi dalam dalam bidang tilawah dan tajwid, serta sanad.

Untuk program Ramadhan Bersama Huffaz ini, beliau akan berada di Pahang.


Imam ‘Ahid Basyeer dari Gaza, wakil dari Markas Suara-Suara Merdu di Masjid Umari, Kota Gaza.

Suara merdu Imam ‘Ahid membaca potongan surat-surat Al-Quran dengan menirukan gaya bacaan para Qari dan Imam terkenal sedunia. Subhanallaah….

Imam ‘Ahid amat menakjubkan – beliau boleh mengeluarkan suara-suara indah para Qari/Imam satu per satu: Shuraim, Ghamidi, Abdullah Basfar, Al-Minsyawi, Al-Afasyi… yang paling mengejutkan, beliau boleh juga menirukan suara Al-Hafizh Ismail Haniyah. Ya, Perdana Menteri Palestin yang sanad hafalan dan bacaan Al-Qurannya tersambung ke Rasulullah SAW.

Untuk program Ramadhan Bersama Huffaz ini, beliau akan berada di Selangor dan negeri berdekatan.