fbpx

Ramadhan Bersama Huffaz : Masyarakat Sg Buloh Prihatian Keperitan Somalia

Ramadhan Bersama Huffaz : Masyarakat Sg Buloh Prihatian Keperitan Somalia

Ramadhan Bersama Huffaz : Masyarakat Sg Buloh Prihatian Keperitan Somalia

SG BULOH, SELANGOR, 26 Julai 2012 – Program Ramadhan Bersama Huffaz Palestin, Syria dan Somalia terus mendapat sambutan masyarakat untuk cakna pahit getir saudara mereka di negara-negara berkenaan. Ahli kariah dan para jemaah Surau Al-Hidayah di sini sangat bertuah kerana menjadi tuan rumah kepada tetamu khas dari Somalia, Sheikh Ahmad ‘Abdirahman Soleh, yang sekaligus menjadi imam solat terawih dan menyampaikan tazkirah.

Dalam tazkirah beliau, Sheikh Ahmad ‘Abdirahman menyarankan para jemaah supaya meningkatkan amalan kebaikan terutama di bulan Ramadhan ini, kerana tidak ada siapa yang pasti bila kehidupannya akan berakhir. Antara lain, beliau juga menyentuh tentang perkembangan terkini umat Islam di Somalia, di mana Kem Pelarian Dadaab kini terpaksa menampung lebih 700,000 orang pelarian yang berhijrah dengan berjalan kaki sejauh ratusan batu demi mendapatkan bantuan makanan dan perubatan.

Menurut beliau lagi, keadaan di Dadaab begitu dhoif sekali sehinggakan tiada tempat untuk anak-anak belajar dan sebahagian daripada khemah dibina dengan hanya berdindingkan ranting kayu dan berlantaikan tanah. “Alhamdulillah, baru-baru ini ada tempat rawatan perubatan yang dibina hasil bantuan umat Islam Turki melalui NGO Insani Yardim Vakfi (IHH.) Sebelum ini ada banyak NGO non-Muslim yang masuk membantu bersama agenda mereka memurtadkan kami yang susah ini, tetapi alhamdulillah masyarakat Somalia masih berpegang kuat kepada agama Islam,” kata beliau.

“Hanya ada dua NGO Islam di Dadaab, iaitu IHH Turki dan HALUAN Malaysia. Jadi saya mewakili masyarakat di sana mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang membantu kami yang sangat memerlukan kasih sayang saudara seakidah,” kata beliau dengan penuh rendah diri. Beliau juga menghargai usaha HALUAN Malaysia menghantar satu rombongan ibadah qurban pada Hari Raya Haji tahun lepas bagi menyempurnakan hajat rakyat Malaysia untuk mengagih daging korban di Kem Pelarian Dadaab. “Masyarakat di kem tersebut sangat gembira kerana mereka sudah lama tidak makan daging,” sambung beliau.

Beliau turut menasihat para jemaah supaya terus membantu saudara lain yang memerlukan. “Sesiapa yang tidak mengambil kisah saudara-saudara Islam yang lain maka mereka bukanlah dari golonganku,” kata beliau merujuk kepada sebuah hadis Rasulullah SAW. Apatah lagi rakyat Somalia yang sekian lama berada dalam kelaparan, sebagaimana seorang rakyat Somalia bertanya kepada Mufti Arab Saudi baru-baru ini, “Tuan Mufti, apakah puasa saya diterima Allah sekiranya saya tidak dapat berbuka dan tidak juga mampu bersahur?”

Sheikh ‘Abdirahman menyeru masyarakat Malaysia tidak jemu bermunajat dan berdoa kepada Allah supaya musibah yang dilalui oleh rakyat Somalia berakhir dengan kebaikan dan kemenangan. “Berdoa di bulan Ramadhan akan lebih dimakbulkan,” nasihat beliau.

Sebagai bukti kasih sayang mereka kepada rakyat Somalia, para jemaah Surau Al-Hidayah telah berjaya mengutip sumbangan ikhlas sebanyak RM2,942.05. Di akhir program, Ketua HALUAN Unit Rawang, Tn Hj Ahmad Fisol Salleh telah menyampaikan cenderahati kepada Timbalan Nazir, Tn Hj Md Morshid bin Ahmad Sahri. Semoga setiap doa dan bantuan para jemaah semua diberikan ganjaran yang berlipat kali ganda oleh Allah SWT.

Para pembaca yang ingin menghulurkan sumbangan sempena bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini bolehlah menyalurkannya melalui akaun-akaun seperti di bawah.

Sumbangan untuk projek bantuan di Palestin:
Nama Akaun: Tabung Palestin HALUAN
No Akaun – BIMB: 14-023-01-003429-2
No Akaun – Maybank: 5644 9020 8528

Bantuan untuk misi kemanusiaan di Syria dan Somalia:
Nama Akaun: Tabung Kebajikan Dan Kemanusiaan HALUAN
No Akaun – Maybank: 5622 6350 2611


Laporan oleh Mus’ab Saari.