fbpx

Masjid, Sekolah, HALUAN Santuni Orang Asli

Masjid, Sekolah, HALUAN Santuni Orang Asli

Masjid, Sekolah, HALUAN Santuni Orang Asli

AIR BANUN, GERIK, 3 Nov 2019 — Hampir 80 peserta sekitar Pulau Pinang telah menjayakan program Tautan Kasih di kampung orang asli Air Banun di sini semalam.

Mereka terdiri daripada pasukan 20 orang sukarelawan daripada Masjid At-Taqwa di Taman Bertam Indah Seberang Perai, 45 murid dan guru daripada Sekolah Menengah Agama Ibrah Tanjung Putus serta 10 orang relawan HALUAN Pulau Pinang selaku fasilitator.

Program seharian anjuran bersama HALUAN dan Masjid At-Taqwa itu diisikan dengan sesi motivasi dan pengenalan asas fardhu ain untuk penduduk kampung, sukaneka kanak-kanak dan wanita, persiapan kenduri tengahari serta kesinambungan projek pertanian di kampung berkenaan.

Ceramah motivasi untuk penduduk yang disampaikan oleh Imam Masjid At-Taqwa, Ustaz Rosli Osman telah mencerna minda penduduk kampung untuk berusaha memperbaiki ibadah masing-masing sebagai muslim yang beramal. Aktiviti sukaneka untuk kanak-kanak dan kaum wanita dikelolakan pelajar perempuan daripada Ibrah. Riuh rendah dibuatnya suasana kampung yang pada kebiasaannya sunyi. Di masa yang sama, pelajar lelaki sekolah berkenaan telah menjalankan aktiviti gotong-royong di tapak pertanian dengan aktiviti merumput dan menggembur tanah.

“Pemuda HALUAN Pulau Pinang untuk kesekian kalinya telahpun masuk memotong belukar dan rumput di kawasan tambahan di tapak pertanian ini dua minggu lepas. Kami sekarang berada dalam fasa kedua projek pertanian di Kampung Air Banun dan sedang memperluaskan tapaknya. Kami semakin membuktikan kepada orang kampung bahawa mereka mampu bercucuk tanam tanaman komersil tanpa gangguan lagi daripada gajah mahupun babi hutan yang sentiasa merosakkan tanaman mereka selama ini. Orang asli rajin bekerja, tetapi mereka perlu dibantu untuk menjadi produktif secara sistematik,” berkata penyelaras projek HALUAN di Air Banun, Dr. Ahmad Ikhwan Subberi.

Jamuan tengahari dan sumbangan hamper daripada ahli kariah Masjid At-Taqwa serta kain baju bersama kain pelikat dan telekung sumbangan Masjid Permatang Rambai, Penaga telah diedarkan kepada penduduk-penduduk kampung. Kesemua mereka amat bergembira bersantap kari ayam ubi kentang, ikan kering dan ulam pegaga sambal belacan di samping menerima hadiah daripada masyarakat prihatin Pulau Pinang.

Sebagai penghormatan kepada rombongan dari Pulau Pinang itu, Tok Batin Ceknekleg dan penduduk-penduduk kampung telah sudi mempersembahkan tarian sewang, manakala pelajar-pelajar lelaki SMA Ibrah telah menyampaikan nasyid merdu acapella.

Acara kemuncak pada hari berkenaan adalah sesi pengIslaman sebuah keluarga orang asli seramai tujuh orang. Pengislaman ini disempurnakan oleh Ustaz Rosli, yang juga merupakan Ketua Penolong Pengarah Pendidikan, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang.

__
Laporan Abdul Halim Kudri, HALUAN Pulau Pinang