fbpx

Maklumbalas KOBAR Sangat Positif

Maklumbalas KOBAR Sangat Positif

Maklumbalas KOBAR Sangat Positif

BANDAR BARU BANGI, 5 Nov 2012 – Konvensyen Belia Relawan HALUAN (KOBAR) yang julung kali dianjurkan telah berjaya mencapai sasarannya dalam memautkan hati-hati golongan belia dan remaja untuk positif memacukan ummah dengan gerak kerja Islam secara bersepadu dan positif.

Hasil program dua hari itu membayangkan kejayaan besar bilamana borang-borang maklumbalas daripada hampir 1,200 peserta menggambarkan kepuasan mereka dengan konvensyen itu keseluruhannya.

“Alhamdulillah daripada borang maklumbalas yang kami edarkan kepada semua peserta di akhir konvensyen itu, majoriti peserta merasakan bahawa konvensyen belia yang kita anjurkan ini sangat ‘best’, menepati hasrat jiwa-jiwa muda mereka. Ada juga komen-komen serta kritikan membina yang kami terima yang sudah pastinya kami hargai dan akan mengambil tindakan proaktif untuk konvensyen masa depan,” berkata Ketua Biro Pemuda HALUAN, Dr Mohd Arba’ai Shawal.

Tambahnya lagi, laporan terperinci maklumbalas itu akan menyusul untuk dianalisa oleh kepimpinan HALUAN Pusat. “Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peserta yang hadir, kepada semua urusetia pemuda, HALUANSiswa, HALUANITA, ahli-ahli HALUAN dan para penderma amnya yang telah memberikan sokongan tenaga, pembiayaan dan moral mereka,” tambah beliau kepada mediaHALUAN.

Upacara gilang-gemilang yang berlangsung di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) itu diketuai oleh Biro Pemuda HALUAN selaku penganjur utama. Peserta konvensyen turut berkongsi bahang semangat program berkenaan. Menurut Muhamad Ekhquan Noi, 27, program ini sangat baik untuk belia supaya mereka terbuka minda untuk memahami apa matlamat sebenar yang mesti dicapai dalam hari mendatang.

Muhammad Thaqif, 21, berkata konvensyen belia HALUAN ini amat baik untuk melatih para pemuda-pemudi menjadi ‘beacons of hope’ (obor harapan) ummah Islam.

Menurut Mazlin Bakar, 20, dari Kolej Perkembangan Awal Kanak-Kanak (KKPA) beliau bersyukur kerana terpilih untuk menghadiri konvensyen ini. “Program ini mengajar saya untuk menjadi orang yang luar biasa,” tambah beliau lagi.

Muhammad Hafiz Ibrahim, 18, berkata banyak maklumat serta pedoman pembimbing diperolehi daripada program tersebut dan beliau dapat pelajari beberapa perkara baru serta kesedaran mengenai realiti masa kini.

Zuriana Yusri, 24, dari Johor berkata beliau merasa beruntung amat sangat kerana tidak pernah menghadiri program-program seperti ini. “Sebelum ini, saya tidak pernah mengenali Islam yang sebenarnya. Dalam konvensyen ini, dan kepelbagaian penyampai yang tampil di atas pentas, Islam itu terbuka luas di mata hati saya. Saya bersyukur sangat,” katanya lagi.


Laporan Shuib Alrumy, wartawan kadet HALUANSiswa.