fbpx

Penyelesaian Melalui Taqwa

Penyelesaian Melalui Taqwa

Penyelesaian Melalui Taqwa

Al-Qur’an menggesa agar bertaqwa

Al-Quranul Karim dengan tasawwur yang menyeluruh tentang alam dan manusia telah memberi gambaran yang jelas kepada kita tentang kaedah yang praktikal dalam mempersiapkan rohani manusia, membentuk keimanan dan mentarbiyah jiwanya.

Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu ‘furqan’ (pembeza) dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahan kamu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.” (al-Anfal:29)

Allah Subhanahuwata’ala berfirman lagi:

“Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, nescaya Allah memberikan dua bahagian daripada rahmat-Nya kepadamu, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-Hadid:28)

Allah Subhanahuwata’ala berfirman seterusnya:

“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka.” (ath-Thalaq:2-3)

Natijah dari taqwa

Apa yang kita dapat simpulkan bahawa taqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala adalah modal kekayaan, inspirasi, sumber cahaya dan kurniaan yang melimpa. Dengan taqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala, seorang mukmin akan dapat membezakan yang mana hak dan yang mana batil. Allah Ta’ala memberikan kurnia kepada orang yang bertaqwa berupa cahaya yang akan menerangi kehidupannya.

Orang yang bertaqwa akan selalu mendapatkan jalan keluar yang mententeramkan batinnya walaubagaimana besar dan rumit masalah yang sedang dihadapi.

Sayyid Qutb Rahimahumullah menyatakan:

“Inilah bekal tersebut (taqwa) dan persiapan untuk perjalanan… bekalan taqwa yang sentiasa menggugah hati dan membuatkan hati selalu peka, waspada, berhati-hati serta selalu di dalam konsentrasi yang penuh… bekal cahaya yang menerangi liku-liku perjalanan sepanjang mata memandang. Orang bertaqwa tidak akan tertipu oleh bayangan yang menghalangi pandangannya yang jelas dan benar… itulah bekalan penghapus segala kesalahan, bekalan yang menjanjikan kedamaian dan ketenteraman, bekalan yang membawa harapan atas kurnia Allah Subhanahuwata’ala; di saat bekalan-bekalan lain sudah sirna dan semua amal tidak lagi berguna…

Itulah hakikat kebenaran, taqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala menumbuhkan furqan di dalam hati. Furqan yang bisa menyingkap jalan kehidupan. Namun hakikat ini – sebagaimana hakikat-hakikat aqidah yang lainnya – hanya dapat difahami oleh mereka yang benar-benar sudah merasakannya. Bagaimanapun indahnya kata-kata yang digunakan untuk melukiskan hakikat ini, tidak akan dapat memberikan gambaran yang sebenarnya kepada yang belum merasakannya.”

Semua permasalahan hidup manusia tetap rumit difikirkan, perjalanan semakin sulit untuk dilalui dan kebatilan tetap bercampur baur dengan al-haq. Segala dalil dan hujah yang dikemukakan untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi manusia tetap tidak dapat mendatangkan kepuasan. Akal dan hati nurani tidak menyahut pelbagai seruan. Perdebatan-perdebatan menjadi sia-sia dan diskusi-diskusi hanya menghabiskan waktu dan tenaga. Ini semua terjadi kerana manusia tidak mengambil taqwa sebagai kaedah penyelesaian.

Sebaliknya, dengan taqwa fikiran menjadi terang, al-haq akan nampak jelas, jalan akan menjadi lurus serta luas, hati merasa tenteram, batin menjadi damai dan kaki berpijak teguh menyusuri perjalanan hidup.

Sesungguhnya fitrah manusia tidak mengingkari al-haq. Namun hawanafsulah yang menghalangi fitrah manusia daripada al-haq. Hawanafsulah yang menghalang penglihatan dan mengaburkan arah tuju.

Hawa nafsu tidak dapat disingkirkan dengan dalil-dalil. Hawanafsu hanya dapat ditewaskan oleh taqwa. Hawanafsu hanya dapat dinyahkan dengan rasa takut kepada Allah Subhanahuwata’ala dan terus-menerus bermuraqabah dengan-Nya, baik dalam keadaan sunyi mahupun terang-terangan. Di sinilah terletaknya furqan yang akan menampakkan kepada manusia jalan hidupnya, membawanya kepada matlamat hidup hakiki dan menghilangkan keraguan.

Hakikat taqwa

Taqwa terhasil daripada iman yang kukuh. Yakni iman yang selalu dipupuk dengan muraqabatullah, takut terhadap murka-Nya serta azab-Nya dan selalu mengharapkan kurnia serta maghrifah-Nya.

Sebagaimana yang ditakrifkan oleh ulama’, taqwa juga bermaksud:

Allah Subhanahuwata’ala tidak melihat kamu berada di dalam larangan-larangan-Nya dan tidak kehilangan kamu di dalam perintah-perintah-Nya.

Sebahagian ulama lain mendefinisikan taqwa dengan:

Mencegah diri daripada azab Allah Subhanahuwata’ala dengan membuat amal soleh dan takut kepada-Nya di kala bersendirian atau di khalayak ramai.

Perhatian Al-Quran terhadap taqwa begitu besar. Perintah dan sokongan agar bertaqwa sangat banyak kita temui dalam ayat-ayat Al-Qur’an, bahkan dalam hampir setiap halaman Al-Quran terdapat kalimah taqwa.

Dalam satu riwayat yang sahih disebutkan bahawa Umar bin Al-Khattab Radhiallahu ‘anhu bertanya kepada Ubai bin Ka’ab tentang taqwa. Ubai Radhiallahu ‘anhu menjawab: “Adakah kamu pernah melalui jalan yang penuh duri?”

Umar menjawab: “Ya,” .
Ubai bertanya lagi: “Apa yang kamu lakukan di saat itu?”
Umar menjawab: “Saya bersiap siaga dan berjalan dengan berhati-hati.”
Ubai berkata: “Itulah taqwa!”

Berdasarkan jawapan Ubai bin Ka’ab di atas pertanyaan Umar bin Khattab tersebut, Sayyid Qutb berkata dalam tafsir “Fi Zilalil Quran” nya:

“Itulah taqwa, kepekaan batin, kelembutan perasaan, rasa takut terus menerus, selalu waspada dan berhati-hati agar tidak sampai terkena duri jalanan… (Yakni) Jalan kehidupan yang bertaburan dengan duri-duri godaan dan syahwat, kerakusan dan angan-angan, kekhuatiran dan keraguan, dan harapan atas segala sesuatu yang tidak akan diperolehi. (Juga) Ketakutan palsu daripada sesuatu yang tidak layak ditakuti.. dan banyak lagi duri-duri yang lainnya.”

Cukuplah kiranya, kita menyatakan bahawa keutamaan dan pengaruh taqwa adalah sumber segala kebaikan dalam masyarakat dan sebagai satu-satunya cara untuk mencegah kerosakan, kejahatan dan perbuatan dosa. Bahkan taqwa merupakan asas utama dalam pembinaan jiwa dan akhlak seseorang dalam rangka berhadapan dengan fenomena kehidupan. Juga, dengan taqwa seseorang itu akan dapat membezakan mana yang baik, mana yang buruk dan akan dapat bersabar di atas segala ujian dan cubaan. Itulah hakikat taqwa.


Rujukan: Tarbiyah Ruhiyah, Dr Abdullah Nasih Ulwan