fbpx

Lebih Seribu Hadiri Konvensyen Belia HALUAN

Lebih Seribu Hadiri Konvensyen Belia HALUAN

Lebih Seribu Hadiri Konvensyen Belia HALUAN

BANDAR BARU BANGI, 3 Nov 2012 – Konvensyen Belia Relawan HALUAN (KOBAR) yang julung kali dianjurkan telah berjaya mengumpulkan hampir 1,200 orang peserta terdiri daripada pemuda dan pemudi dari seluruh negara.

Upacara gilang-gemilang itu berlangsung selama dua hari mulai hari ini di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dengan Biro Pemuda HALUAN selaku penganjur utama.

Pengarah Program KOBAR , Encik Hasri Ahmad yang juga sebagai Timbalan Ketua Biro Pemuda HALUAN bersyukur kerana sambutan belia dan beliawanis terhadap konvensyen itu telah menjangkaui sasaran asal. “Kami agak teruja bila melihat kepada statistik yang ada pagi ini. Ada yang mengatur rombongan bas dari utara, selatan dan timur untuk tiba di sini. Jelas kerisauan kami mengenai kurangnya minat dan sambutan para belia telah meleset bila semua tempat duduk disediakan sebanyak 1,200 penuh terisi,” jelas beliau tersenyum.

“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada dua penganjur bersama konvensyen ini iaitu Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) dan juga Biro HALUANITA. Tanpa mereka, tidak mungkin kita berjaya mengumpul sebegini ramai orang-orang muda dalam satu dewan,” katanya lagi.

Hasri berkata tujuan program tersebut adalah untuk memperkasakan kesedaran dalam realiti kehidupan belia masa kini. Bahawa tugas dan tanggungjawab mereka adalah berat dan besar kerana belia berperanan utama dalam mencorak susun galur kehidupan umat di masa depan.

“Saya rasa bersyukur kerana komitmen yang ditunjukkan oleh relawan HALUAN amat mengkagumkan kerana mereka sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk menghadiri konvensyen ini. Ramai yang datang dari jauh semata-mata untuk bersama-sama kami. Saya juga menghargai peserta-peserta yang baru kali ini ingin mengenali siapa HALUAN dan memahami bagaimana mereka boleh mendaftar menjadi relawan HALUAN. Kepada mereka saya ingin ucapkan ahlan wasahlan,” katanya kepada mediaHALUAN.

Apa tidaknya. Konvensyen sulung ini menjanjikan seribu pengisian bermakna dengan tajuk seperti Belia dan Perubahan, Menjadi Putera-Puteri Akhirat, Peranan dan Cabaran Belia Masakini, serta Posisi Cinta, di antaranya. Penyampai dan pemidato yang disenaraikan cukup hebat termasuk Prof. Madya Dr Azizan Ahmad, Encik Razali Maarof Dr Engr Solehuddin Shuib, dan juga kaunselor hati Encik Rosdi Baharom.

Bertemakan Belia Pemacu Perubahan, konvensyen ini diharapkan akan berjaya menarik minat serta semangat kesukarelawanan di kalangan belia memandangkan terlalu banyak tugasan kemasyarakatan yang harus dilunaskan oleh HALUAN demi memperbaiki kualiti hidup dan akhlak masyarakat samada yang Muslim atau yang belum Muslim. “Semoga penyampaian para panelis akan dihadamkan oleh peserta dan menaikkan kesedaran bahawa mereka ada kekuatan terselindung yang mampu menjadi pemacu kekuatan Islam,” tambah Encik Hasri lagi.


Laporan oleh Suhaib Alrumy, MediaHALUAN.