fbpx

Makan Lemak Tidak Menggemukkan?

Makan Lemak Tidak Menggemukkan?

Makan Lemak Tidak Menggemukkan?

SHAH ALAM, 8 Mac 2016 – ‘Eating Fat Does Not Make You Fat’, begitulah tajuk mengejutkan ceramah kesihatan anjuran Unit Riadah Biro Haluanita Cawangan Selangor 6 Mac lepas. Ia bermaksud memakan lemak tidak menggemukkan anda.

Program Ceramah Kesihatan dan Aktiviti Kecergasan itu bertempat di Dewan Serbaguna Sekolah Ibn Khaldun dekat sini. Program terbuka secara percuma untuk wanita, remaja dan kanak-kanak tersebut berhasrat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan pemakanan terhadap kesihatan agar terlaksana tanggungjawab dan ibadah dengan sempurna.

Pendaftaran dimulakan pada pukul 9.00 pagi dengan peserta berpeluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma dikendalikan oleh doktor-doktor berpengalaman daripada Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) diketuai oleh Dr Herlina Mustaffa dari Pusat Bersalin Barakah. Selain pemeriksaan asas dan khidmat nasihat, peserta berumur 35 tahun ke atas juga berpeluang membuat pemeriksaan tahap glukosa secara percuma. Pihak HALUAN juga turut menaja pemberian sirup multivitamin kepada mereka yang mempunyai anak berumur 12 tahun ke bawah.

Majlis dimulakan secara rasmi dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Biro Haluanita Unit Klang, Puan Kalsom Redzuan. Beliau tertarik dengan topik yang dibawa dalam ceramah iaitu ‘Eating Fat Does Not Make You Fat’, kerana beranggapan ianya bertentangan dengan apa yang difahami selama ini, dan inilah yang mendorongnya untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas daripada penceramah, Dr Nor Azian Hasnan. Beliau seorang doktor perubatan yang berpengalaman dan memiliki klinik sendiri di Taman Sri Andalas, Klang.

Menurut beliau topik yang dibawa adalah untuk menjelaskan bahwa persepsi umum mengenai makanan berlemak perlu diperbetulkan. Kepercayaan yang dipegang sejak sekian lama sekarang ini didapati tidak tepat, hasil daripada penemuan kajian yang lebih terkini.

Lemak sebenarnya terdiri daripada lemak baik dan yang tidak baik. Lemak yang baik memang diperlukan dan adalah sangat bagus untuk kesihatan yang antaranya termasuklah kelapa, telur, minyak zaitun dan ikan laut dalam.

Penyebab atau punca kegemukan juga sebenarnya bukanlah dari lemak tetapi daripada makanan yang mengandungi karbohidrat serta gula yang tinggi. Selain daripada pemakanan yang menjadi faktor penting terhadap kesihatan seseorang, faktor lain yang mesti diambil berat adalah perlu banyak minum air, beriadah secara konsisten serta mendapat tidur yang mencukupi.

Selepas ceramah, program dilanjutkan dengan sesi aktiviti kecergasan. Para peserta telah diberi tunjuk ajar cara-cara senaman ringkas oleh Dr Azian dan dengan ‘senamrobik penguin’ yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Dengan kehadiran peserta seramai 55 orang, program ini telah dapat memberi maklumat bermanfaat mengenai pemakanan dan kepentingannya untuk menjaga kesihatan diri. Para peserta juga lebih peka dengan tahap kesihatan masing-masing, di samping dapat berkenalan, menjalin hubungan dan merapatkan lagi ikatan ukhuwah yang sedia ada.

Menurut Setiausaha Program, Puan Sainab Wakkang, peserta telah memberikan respon yang sangat baik kepada topik yang dibentangkan oleh penceramah. Mereka bertanya banyak soalan dan berjanji akan berkongsi ilmu yang diperolehi dengan kumpulan rakan mereka yang lain.


Laporan bersama Siti Rohani Sulaiman, Ketua Unit Riadah Biro Haluanita Selangor & Dr. Nurulhuda Ahmad Sani, Unit Media KKH