fbpx

Latihan Menjadi Insan Bertaqwa

Latihan Menjadi Insan Bertaqwa

Latihan Menjadi Insan Bertaqwa

Perutusan Presiden HALUAN Bersempena Hari Raya Aidilfitri 1440H

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر
الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر
ولله الحمد, الله أكبر

Tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan ALLAH SWT,

Sempena Aidilfitri 1440 Hijrah ini, HALUAN ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh umat Islam di Malaysia terutamanya dan di seluruh dunia amnya. Semoga dengan berlalunya Ramadan dan perlaksanaan ibadah puasa ini, umat Islam di Malaysia dan seluruhnya akan mencapai tingkatan ketaqwaan seperti yang diharapkan oleh ALLAH SWT

Umum memahami bahawa puasa adalah satu latihan yang berbentuk intensif yang telah dianjurkan oleh Islam dengan tujuan melaksanakan ubudiyah kepada ALLAH SWT yang juga disebut sebagai ibadah. Namun, sebenarnya ALLAH SWT telah memerintahkan kepada kita satu bentuk latihan yang menyeluruh dan multidimensional.

Arahan ALLAH SWT di dalam Al-Quran surah Adz- Dzariyat ayat 56 yang bermaksud : “Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia hanyasanya untuk berubudiah kepada-Ku.” Dari ayat ini, dapat kita fahami bahawa ALLAH SWT telah meletakan kepada kita infrastruktur ubudiyah ini bermula daripada syahadah, kemudian dikuti dengan ibadah solat, ibadah puasa, ibadah zakat dan akhir sekali ibadah haji.

Bermula dengan syahadah, manusia sentiasa terikat dengan ALLAH SWT. Begitu juga dengan ibadah solat, manusia sentiasa dilatih oleh ALLAH SWT setiap masa dan ketika dan setiap hari untuk melaksanakan ubudiyah kepada-Nya. Bersama dengan hal ini juga, bersamanya ibadah puasa, ibadah zakat dan ibadah haji.

Semuanya ini adalah latihan yang telah diamanahkan oleh ALLAH SWT dan difardukan ke atas semua orang yang beriman. Latihan yang terperinci ini, adalah medan untuk melaksanakan tanggungjawab ibadah yang lebih besar seperti yang difirmankan oleh ALLAH dalam surah Adz Dzariyat tadi. Oleh sebab itu, apabila kita bertemu dengan bulan Ramadan ini bukan hanya ibadah puasa sahaja yang kita lakukan tetapi seluruh rukun-rukun Islam yang lain.

Kesemua rukun Islam ini ditetapkan dalam pelbagai bentuk dimensi. Ada yang berbentuk setiap saat dan ketika seperti rukun syahadah. Ada yang berbentuk harian seperti ibadah solat. Ada berbentuk bulanan seperti ibadah puasa pada bulan Ramadan. Ada yang berbentuk kebendaan seperti mengeluarkan zakat. Dan ada yang berbentuk universal seperti ibadah haji. Semua ini bertujuan mendidik manusia untuk melakukan tugas dan tanggungjawab ibadah secara terlatih.

Melalui latihan ini, manusia seharusnya mampu melaksanakan seluruh ibadah dalam hidupnya dalam konteks individu, anggota masyarakat dan sebagai kelompok manusia yang bertanggungjawab melaksanakan pemerintahan negara dalam bentuk pelbagai dimensi. Pemerintahan yang mencakupi pelbagai bidang termasuk bidang ekonomi, politik, sosial dan lain-lain. Dan semua perkara ini mampu dilaksanakan manifestasi ibadah seperti yang dikehendaki oleh ALLAH SWT.

Semoga dengan berlakunya ibadah latihan di dalam bulan Ramadan tahun ini, tertingkat ibadah kita untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh ALLAH SWT.

Kita juga mengharapkan agar kita semua diredhai oleh ALLAH SWT dan pengampunan ALLAH SWT seperti yang dikehendaki setelah melalui latihan intensif ini. Atas sebab ini, pada hari ini kita merayakan kejayaan melalui Aidilfitri pada tahun 1440H ini. Hari ini hari kejayaan. Hari ini hari kemenangan buat kita semua.

Sekali lagi, sebagai akhirnya HALUAN mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1440H buat semua. Mudah-mudahan ALLAH SWT menerima seluruh amalan kita semua.

Maaf Zahir dan Batin.

Dr Abdullah Sudin Ab Rahman, Presiden HALUAN | 1 Syawal 1440H