fbpx

Langkah Proaktif Kluster Wanita & Pembangunan Keluarga

Langkah Proaktif Kluster Wanita & Pembangunan Keluarga

Langkah Proaktif Kluster Wanita & Pembangunan Keluarga

BANDAR BARU BANGI, 22 Jan 2020 – Kluster Wanita dan Pembangunan Keluarga (WPK) HALUAN secara aktif telah mengorak langkah untuk tahun 2020 ini dengan mengadakan mesyuarat di peringkat pusat demi memperkasakan wanita dan pembangunan keluarga kluster ini terdiri daripada dua biro iaitu Biro HALUANITA dan Biro Pembangunan Keluarga.

Diskusi tahunan yang telah diadakan pada 18 Januari itu melibatkan semua negeri di Malaysia di mana seramai 55 orang perwakilan telah hadir terdiri daripada Urusetia Pusat WPK, Naib Yang Dipertua 3, Ketua Biro HALUANITA dan Ketua Biro Pembangunan Keluarga dari setiap negeri termasuk Sabah.

Ucaptama disampaikan oleh mantan Naib Presiden 4 HALUAN, Puan Alfiah Samingan yang mengupas tentang persiapan individu dalam mengukuhkan institusi keluarga demi kelestarian ummah. Beliau memulakan ucapan dengan membawa contoh daripada Al-Quran tentang metod yang digunakan oleh Rasulullah SAW dalam membentuk generasi terbaik iaitu ta’lim wa at-tarbiyah (mengajar dan mendidik).

“Ia memenuhi tiga perkara asas iaitu akidah, syariah dan akhlak. Aspek- aspek kehidupan yang lain juga seperti politik, sosial, ekonomi dan sebagainya perlulah melalui satu proses taklim wa-tarbiyah yang betul. Hasil daripada mengajar dan mendidik dengan cara yang betul dan mencontohi sirah Rasulullah SAW, umat ini akan dapat mengukuhkan institusi keluarga dan sekaligus dapat membantu melestarikan ummah,” jelas beliau.

Mesyuarat diteruskan dengan pembentangan halatuju Kluster WPK oleh Naib Presiden 6 HALUAN, Dr. Zurina Muda merangkap Ketua Biro HALUANITA yang membentang tentang struktur dan aktiviti tahunan yang akan diadakan pada tahun 2020 ini. Selain itu, Ketua Biro Pembangunan Keluarga, Encik Ibrahim Abd Rahman turut membentangkan perancangan aktiviti tahunan di bawah biro beliau.

Pertemuan ini secara khusus membincangkan agenda pembangunan wanita dan keluarga dalam masyarakat. Sesi pembentangan dan perbincangan menyaksikan penglibatan aktif ramai perwakilan dari seluruh Malaysia sambil membentang perkembangan dan isu semasa dari setiap negeri. Mesyuarat kali ini juga menjadi lebih berkesan apabila perwakilan mengutarakan cadangan untuk perbincangan bersama berkaitan wanita dan keluarga.

Beberapa peserta yang merupakan perwakilan negeri yang ditemu bual berpuas hati dengan mesyuarat kali ini. Perwakilan Sabah, Puan Aidawati Hassan berpuas hati dengan penyampaian para penceramah lebih-lebih lagi dengan pengisian yang menjurus kepada peranan dan tanggungjawab wanita dalam keluarga dan masyarakat.

Naib Yang Dipertua 3 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Puan Norizan Mohamad Noh, berkata pertemuan mesyuarat kali ini memberi panduan untuk mengadakan program yang sesuai dan kaedah untuk menjadikan aktiviti yang bakal dilaksanakan nanti mencapai objektifnya. Selain itu, beliau juga berkata bahawa sinergi antara seniors dan pemudi menjadi lebih jelas dengan pertemuan kali ini.

Di samping itu, kisah-kisah kejayaan atau success stories menjadi salah satu pengisian yang menarik dalam mesyuarat kali ini. Perkongsian Naib Yang DiPertua 3 Negeri Sembilan dan Melaka, Puan Umi Nadzrah Ali Othman memangkin semangat semua perwakilan agar terus proaktif berbakti dan merancang aktiviti yang membina silaturrahim dengan masyarakat dalam mengajak ke arah kebaikan.

Pada tahun 2019, pasukan beliau telah berjaya merancang pelbagai aktiviti dalam menyantuni masyarakat antaranya Program Helwani mingguan, Back to School anak ibu tunggal, Bengkel Pengurusan Stress, Program Pemantapan sahsiah, Street dakwah dan lain-lain di peringkat Negeri Sembilan dan Melaka.

Pertemuan bermakna ini tamat dengan perkongsian oleh Encik Zainulsham Yusof tentang Peranan Wanita dan Keluarga sebagai komponen masyarakat dan negara. Diharap, mesyuarat kali ini dapat memberi banyak input dan menjadi satu momentum positif kepada semua perwakilan untuk dimanfaatkan bersama dalam usaha perancangan, pendidikan, pembentukan dan pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dalam kesemua aspek kehidupan agar beroleh kebaikan di dunia dan akhirat.


Laporan Fitria Ernita Ismail, Biro HALUANITA