fbpx

HALUAN Kunjung Hormat ke Jabatan Agama Islam Perak

HALUAN Kunjung Hormat ke Jabatan Agama Islam Perak

HALUAN Kunjung Hormat ke Jabatan Agama Islam Perak

IPOH, PERAK, 23 Jan 2020 – Semangat berdakwah dan menyantuni kelompok masyarakat yang memerlukan perhatian dan bimbingan sentiasa di hati para sukarelawan HALUAN di mana sahaja mereka berada. Jalinan dengan pihak-pihak berwajib terus dilaksanakan demi mencapai tahap kerjasama lestari yang mampan demi masyarakat.

Untuk itu, empat orang kepimpinan HALUAN cawangan Pulau Pinang dan seorang wakil HALUAN Perak telah membuat kunjungan hormat ke Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada 21 Januari lepas. Rombongan yang telah diketuai oleh Encik Abdul Halim Khudri telah disambut oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jabatan tersebut, Ustaz Zakaria Abd Razak serta dan pegawa-pegawai jabatan.

Dalam taklimat kepada ahli rombongan, beliau telah menerangkan fungsi dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh JAIPk dalam hal ehwal urusan Islam di Perak. Menurut beliau, secara keseluruhannya terdapat lebih 250 buah kampung orang asli di seluruh Perak. Masih banyak lagi penduduk kampung yang menganut animisme dan juga Kristianiti.

Untuk tahun 2020, katanya lagi, pihak JAIPk telah mensasarkan untuk melibatkan diri bersama 60 NGO muslim dan bukan muslim dalam aktiviti dakwahnya dan mengalu-alukan penglibatan HALUAN untuk bersama.

“Teras dalam aktiviti dakwah ialah Pendidikan, Kebajikan dan Maklumat. Saya perlu tekankan betapa perlunya kita terlebih dahulu memahami budaya dan pemikiran orang asli sebelum kita boleh menyantuni mereka dengan kaedah yang betul dan berkesan,” jelas Ustaz Zakaria.

Dalam taklimat balas, Abdul Halim telah menyampaikan pengenalan tentang HALUAN dan skop aktiviti-aktivitinya. HALUAN sentiasa membuka ruang untuk bekerjasama dengan semua agensi-agensi kerajaan, swasta mahupun NGO. Di samping itu juga, beliau selaku Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, Projek Pembangunan Orang Asli Air Banun HALUAN telah menerangkan sejarah penglibatan HALUAN dengan projek-projeknya itu sejak lebih tiga tahun lepas hingga kini.

Beliau melahirkan harapan agar pihak JAIPk akan dapat memberi sokongan serta bantuan dalam sama-sama menjaya dan melaksanakan kerja-kerja peningkatan daya hidup mereka, terutama dalam menjadikan mereka penduduk muslim yang mampu beramal dengan ajaran Islam.

Sebelum bersurai pihak JAIPk telah sudi menyampaikan cenderahati kepada ahli-ahli rombongan sementara Encik Abdul Halim yang mewakili HALUAN telah juga menyerahkan cenderahati daripada HALUAN untuk beliau.


Laporan mediaHALUAN Pulau Pinang