fbpx

Pelancaran Buku Tadabbur Al-Baqarah Dekatkan Masyarakat Dengan Quran

Pelancaran Buku Tadabbur Al-Baqarah Dekatkan Masyarakat Dengan Quran

Pelancaran Buku Tadabbur Al-Baqarah Dekatkan Masyarakat Dengan Quran

SHAH ALAM, 18 Jan 2020 — Majlis pelancaran jilid pertama buku Tadabbur Al-Baqarah karangan Ketua Biro Dakwah HALUAN, Ustaz Mohammad Umar Aiman Osman, telah disempurnakan di Maahad Tahfiz Al Aqsa (MTA), di sini pagi semalam.

Buku yang merupakan suntingan dan komentar daripada nota-nota program mingguan “Talks @Tadabbur Surah Al-Baqarah” ini telah dilancarkan oleh Naib Presiden 2 (Kluster Dakwah) HALUAN, Ustaz Salleh Saad. Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh YDP HALUAN Selangor, Encik Hamdan Mokhtar, Pengerusi MTA, Ustaz Daniel Sallehi Abd Hamid, dan beberapa orang pelajar MTA serta ibubapa.

“Talks @Tadabbur Surah Al-Baqarah” yang diadakan secara live pada setiap hari Khamis di Gerbang Informasi HALUAN merupakan satu usaha HALUAN dalam memeriahkan lagi program pengajian al-Quran di kalangan masyarakat melalui kemudahan internet. Penyertaannya dibuka secara percuma kepada semua lapisan masyarakat, sementara siaran langsung dibuat melalui laman Facebook HALUAN.

Pelajar MTA, Syed Muhammad Ahmad Syed Haleem al-Hafiz, 16, memulakan majlis pelancaran dengan melantunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran daripada Surah al-Baqarah.

Dalam ucapan beliau, Ustaz Salleh menjelaskan bahawa Surah Al-Baqarah harus difahami dan diamalkan oleh setiap muslim kerana ia menegaskan tentang kebenaran al-Quran, yang merupakan sumber asas dalam memahami Islam, serta dua perkara besar bagi manusia iaitu tentang kejadian mereka dan hukum-hakam yang mengatur kehidupan seharian. “Justeru sebelum buku ini beredar dalam masyarakat, ahli-ahli HALUAN dan warga MTA harus terlebih dahulu menghadamnya,” ujar beliau.

Majlis turut diserikan dengan ucapan aluan oleh wakil-wakil HALUAN dan MTA. Menurut Hamdan, penerbitan buku ini menjadi salah satu sumbangan HALUAN kepada masyarakat dalam menyampaikan dakwah melalui pelbagai saluran.

Sementara itu, Ustaz Daniel Sallehi berkata bahawa penerbitan buku tersebut adalah sinonim dengan misi MTA untuk melahirkan generasi pencinta dan penghafal al-Quran. Beliau berharap buku ini mendapat barakah dan dimanfaatkan oleh seluruh lapisan masyarakat, kerana ia memudahkan pemahaman ayat-ayat al-Quran tanpa perbincangan yang terlalu ilmiah. “Kita berdoa kerjasama dengan HALUAN ini dapat diteruskan untuk berkhidmat menyampaikan kefahaman Islam kepada masyarakat,” katanya lagi.

Menurut Ustaz Muhammad Umar Aiman yang merupakan seorang guru di MTA, siri lengkap buku Tadabbur al-Baqarah akan diterbitkan dalam tiga jilid. Kata beliau, buku ini dapat membantu pembaca lebih memahami apa yang telah dibincangkan secara online dalam program “Talks @Tadabbur Surah Al-Baqarah” kerana ia melengkapkan lagi apa yang tidak sempat dibincangkan. “InsyaAllah, kita akan menerbitkan jilid seterusnya dalam masa terdekat, dan pembeli jilid pertama ini akan dapat membeli jilid dua dan tiga dengan harga diskaun,” katanya lagi.


Laporan Unit MediaHALUAN