fbpx

Kunak Sensitif Sengsara di Palestin

Kunak Sensitif Sengsara di Palestin

Kunak Sensitif Sengsara di Palestin

KUNAK, SABAH 29 Nov 2012 — Masyarakat di Sabah tidak ketinggalan dalam mengikuti perkembangan mutakhir kesengsaraan rakyat Palestin Gaza yang dibunuh dan diserang dengan ganas oleh tentera zionis rejim Israel. Untuk itu, gabungan beberapa buah kelab pemuda di sini telah melaksanakan program Jualan Amal Palestin “Gaza Kami Bersama Mu” sebagai salah satu tindak balas terhadap isu Palestin khususnya serangan lapan hari yang berlaku di Gaza baru-baru ini.

Program tersebut telah dianjurkan oleh gabungan NGO di daerah Kunak, seperti Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) Cawangan Sabah, Kelab Belia KARISMA, dan Usahawan Daerah Kunak. Ianya turut disertai oleh lapan orang usahawan yang menjual pelbagai produk makanan seperti, kerepek, kuih-muih dan minuman berperisa. Di samping itu, program ini juga disertai oleh Pusat Internet 1 Malaysia Daerah Kunak yang memberikan perkhidmatan dalam membaiki komputer, serta rekaan kain rentang dan sebagainya. Sebahagian daripada hasil jualan mereka akan disumbangkan kepada Tabung Palestin HALUAN.

Sesuai dengan tema program iaitu “Gaza Kami Bersama Mu” ianya padat diisikan dengan aktiviti-aktiviti seperti pameran info Palestin, persembahan lagu Palestin, deklamasi sajak, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, jualan lelong barangan terpakai serta Kutipan Kecemasan Palestin.

Program ini juga mendapat perhatian daripada Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Kunak Encik Mohd Hatta Arabi yang bertindak sebagai penasihat. Semasa program ini berlangsung di pasar tamu rabu daerah Kunak, beliau memberikan amanat yang jelas dalam ucapan beliau yang antara lain telah menekankan bahawa matlamat program ini adalah sebagai medan untuk memberi bantuan kepada masyarakat di Palestin khususnya di Gaza.

Program ini akan dilaksanakan selama tiga minggu pada setiap pasar tamu Rabu dan pasar tamu Ahad. Secara keseluruhannya, program “Gaza Kami Bersama Mu” ini disambut baik oleh masyarakat setempat tanpa mengira peringkat umur, fahaman politik, dan agama kerana masing-masing menyedari bahawa isu Palestin adalah isu hak membela kemanusiaan. Semua sumbangan yang diberikan akan disalurkan melalui mekanisma Tabung Palestin HALUAN yang akan diserahkan terus kepada pihak berwajib di Gaza.

Teruskan sumbangan ikhlas anda kepada:

Tabung Palestin HALUAN
BIMB – 14 023 01 003429 2 atau
MAYBANK – 5644 9020 8528.


Laporan oleh Jumat Mat Salleh
Pengerusi Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) Cawangan Sabah