fbpx

Jom Sertai Forum Ceritakan Islam Kepada Rakan India Malaysia

Jom Sertai Forum Ceritakan Islam Kepada Rakan India Malaysia

Jom Sertai Forum Ceritakan Islam Kepada Rakan India Malaysia

PUTRAJAYA, 28 Nov 2012 — Seramai 300 peserta dijangka akan menyertai suatu forum khas “Jom Cerita Islam Kepada India Malaysia” yang dianjurkan bersama oleh HALUAN Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 23 Disember nanti di auditorium utama Masjid Putra, Putrajaya.

Majlis separuh hari bermula pukul 8.00 pagi tersebut akan mengumpulkan umat Islam Melayu yang berminat untuk memahami selok-belok budaya, tamadun serta resam orang India di Malaysia agar memudahkan mereka menceritakan perihal Islam kepada mereka dalam kaedah tenang, saling menghormati serta berkasih sayang. Pendekatan majlis forum ini akan membolehkan peserta bertanya berkenaan halangan-halangan daripada tersampainya hidayah kepada kaum India dan bagaimana mengikis segala prejudis dalam diri seorang pendakwah yang ingin meyakinkan mereka mengenai kebenaran Islam.

“Matlamat kita adalah untuk mengajak kaum Melayu Muslim untuk menilai dan kritik diri kenapa mereka masih tidak mampu menceritakan kebenaran Islam kepada rakan, jiran, dan teman sekerja dan belajar beragama Hindu selama mana mereka telah berkenalan. Kita boleh makan, minum, bersukan, belajar, bermain, bergurau, berziarah, melancong, berniaga malah bermalam bersama-sama mereka tetapi Islam tetap tidak sampai kepada mereka. Pernahkah kita terfikir kenapa?” tanya Encik Wan Mohd Rafi Wan Husin, Pengurus Majlis Forum berkenaan.

Majlis forum itu akan diuruskan oleh Kelab HALUAN Fitrah (KHF), sebuah unit di bawah Biro Dakwah HALUAN. Wan Rafi yang juga merupakan Naib Pengerusi KHF menegaskan bahawa amat rugilah para peminat dakwah intra-agama sekiranya mereka tidak menyertai majlis forum tersebut. Dua orang panelis jemputan merupakan aktivis dakwah iaitu Encik Bazeer Ahmed dan Encik Mohammad Shariff Ghani, yang kedua-duanya berbangsa India akan terlibat.

“Kita mahu dengar apa salah kita orang Melayu hinggakan dakwah tidak sampai dan mengambil langkah positif untuk membetulkan keadaan ini. Orang India Malaysia adalah masyarakat yang progresif dan maju serta boleh menilai buruk-baik sesuatu. Mereka antara yang terdidik di dalam masyarakat majmuk Malaysia dan seharusnyalah mereka memperolehi perspektif yang jelas berkenaan Islam,” jelasnya lagi kepada mediaHALUAN.

Namun, penyertaan ke majlis forum tersebut hanya boleh dibuat dengan mendaftar secara online. Penyertaan adalah percuma dan disediakan makan-minum. Mereka yang berminat boleh mendaftar diri di http://haluanfitrah.haluan.org.my/.

Menurut Encik Wan Rafi, tempat untuk peserta adalah terhad dan beliau menggesa para peminat dakwah untuk mendaftar awal untuk tidak kecewa. Adalah difahamkan bahawa buku dan bahan-bahan rujukan dakwah intra-agama akan dijual di luar auditorium itu nanti.