fbpx

Penghapusan Etnik di Rohingya Semakin Tenat

Penghapusan Etnik di Rohingya Semakin Tenat

Penghapusan Etnik di Rohingya Semakin Tenat

BANGI, SELANGOR, 29 Nov 2012 — Penderitaan umat Islam Rohingya bagai tiada penghujungnya. Peristiwa pembunuhan dan penyiksaan terakhir oleh puak Rakhine serta pihak berkuasa Myanmar ialah semasa sambutan AidilAdha 1433H, dengan ratusan insan tidak berdosa dibunuh dengan kejam dan ribuan rumah penduduk Islam dimusnahkan.

Namun sehingga kini, tiada penyelesaian yang konkrit dapat dicapai samada daripada pihak kerajaan Myanmar mahupun badan-badan berwajib di peringkat antarabangsa. “Sehingga berita ini ditulis, ratusan ribu umat Islam Rohingya yang dinafikan taraf kerakyatan mereka oleh Myanmar terus menjadi pelarian di negara jiran mahupun di dalam wilayah Arakan sendiri. Tambah malang lagi, ada negara jiran yang tidak menerima kehadiran mereka untuk berlindung dari terus diseksa walaupun seketika,” berkata Dr Baharudin Suri, Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN Malaysia yang telah menyantuni mangsa daripada sempadan Bangladesh-Myanmar.

Isu bantuan kemanusiaan juga masih menjadi agenda yang hangat. Terakhir, badan OIC tidak dibenarkan untuk membuka pejabat operasinya di Arakan dengan alasan ianya dibantah oleh pihak berkuasa agama Buddha, yang dilaporkan secara terang-terangan membunuh jiwa dan membakar kediaman penduduk Muslim, berlawanan sekali dengan ajaran asas Buddha itu sendiri yang menharamkan pembunuhan atau penganiayaan walaupun terhadap binatang dan tumbuh-tubuhan. Di samping itu, pihak berkuasa Myanmar dan kerajaan tempatan masih lagi tidak membenarkan sepenuhnya bantuan NGO-NGO luar negara kepada masyarakat Islam Rohingya yang terhimpit dari segenap penjuru. Sebarang bantuan kemanusiaan yg ingin disampaikan kpd masyarakat Islam Rohingya, diberi syarat ‘wajib’ di agihkan sebahagian kpd puak Rakhine.

HALUAN Malaysia, sebuah NGO Islam berdaftar terus cakna permasalahan umat Islam Rohingya. Di samping terus membuka peluang kepada masyarakat umum menyumbang kepada tabung bantuan Rohingya, HALUAN melalui Biro Misi Kemanusiaan meneruskan kerjasama dengan beberapa NGO kemanusiaan dalam Asia Tenggara (SEAHUM) khususnya dalam menyalurkan bantuan kepada masyarakat Islam Rohingya secara lebih efektif. Sepanjang bulan Oktober tahun ini, beberapa buah NGO gabungan SEAHUM telah memasuki kem-kem pelarian di Wilayah Arakan dan mengenalpasti permasalahan dan keperluan pelarian.

Di antara bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan ketika ini ialah ‘shelter’ atau tempat tinggal, tandas dan bekalan air bersih di kawasan kem pelarian. Ribuan keluarga pelarian Rohingya yang kehilangan tempat tinggal, terpaksa tinggal bersesak-sesak di dalam khemah kanvas yang usang tanpa kemudahan air dan sanitasi yang bersih. Dengan persetujuan oleh kerajaan tempatan dan UNHCR, gabungan SEAHUM telah diberi mandat untuk membina semula penempatan pelarian Rohingya dengan membina tempat kediaman, tandas serta menyediakan bekalan air.

Beberapa unit telah dibina melalui sumbangan salah sebuah NGO gabungan SEAHUM, yang mana setiap unit ‘shelter’ boleh menampung 10 keluarga terdiri daripada lima ke enam orang, lengkap dengan ruang tamu dan dapur untuk setiap keluarga. Kos setiap unit untuk menempatkan 10 keluarga ialah RM15,000 yang diperbuat daripada kayu, anyaman buluh dan zink. Penempatan mereka juga akan dilengkapkan dengan kemudahan tandas yang berharga RM1,000 setiap satu dan bekalan air bersih melalui pembinaan ‘tube-well’ yang berharga RM350 setiap satunya.

Alhamdulillah, dengan adanya ruang dan peluang ini, HALUAN menyeru agar masyarakat Malaysia terus prihatin akan penderitaan saudara-saudara Islam di Rohingya dengan menyalurkan sumbangan untuk mengurangkan penderitaan berpanjangan mereka. Tanpa tempat kediaman yang lebih baik, sanitasi dan air yang bersih, kehidupan mereka di kem pelarian akan terancam dengan pelbagai penyakit yang membahayakan terutamanya terhadap kanak-kanak.

Perancangan SEAHUM seterusnya ialah untuk mendesak agar ASEAN memberikan tekanan ke atas kerajaan Myanmar supaya membuka lebih banyak ruang bantuan kemanusiaan termasuk makanan dan perubatan agar terus sampai kepada pelarian Rohingya serta menggesa Myanmar memberikan semula hak kerakyatan dan pengiktirafan kepada mereka.

Sebarang sumbangan ikhlas untuk terus membantu masyarakat Islam pelarian Rohingya ini bolehlah disalurkan melalui ‘Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN’ di akaun Maybank bernombor 5622 6350 2611.


Laporan Dr Baharudin Suri, Ketua Biro Misi Kemanusiaan