fbpx

Konvensyen Wanita Mendapat Sambutan Penjawat Awam Putrajaya

Konvensyen Wanita Mendapat Sambutan Penjawat Awam Putrajaya

Konvensyen Wanita Mendapat Sambutan Penjawat Awam Putrajaya

PUTRAJAYA, 14 Oktober 2012 – Konvensyen Wanita anjuran Masjid Putra Putrajaya dengan kerjasama HALUAN Malaysia melalui Biro HALUANITA telah berjaya menarik kira-kira 300 orang peserta yang terdiri daripada kaum ibu dan bapa yang majoritinya adalah merupakan penjawat awam pemastautin yang tinggal di sekitar Putarajaya. Upacara yang diadakan buat kali kedua tersebut telah berlangsung di Auditorium Ibnu Sina, Masjid Putra dengan membawa tema “Keluarga Sejahtera.”

Di dalam ucapan aluannya, Imam Besar Masjid Putra iaitu Tuan Haji Abd Manap Hj Mat telah menjelaskan bahawa penganjuran konvensyen ini adalah sebahagian daripada inisiatif pengajian yang ditawarkan secara percuma oleh Masjid Putra dengan kerjasama HALUAN Malaysia kepada masyarakat setempat yang semakin mendapat sambutan.

Sebanyak dua kertas kerja telah dibentangkan dan satu sesi forum telah diadakan sepanjang konvensyen ini.

Kertas kerja bertajuk “Keluarga Sejahtera Idaman Semua” telah disampaikan oleh seorang pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Salasiah Hanim Hamjah, manakala kertas kerja kedua bertajuk “Peranan Suami Isteri/Ibubapa Dalam Sebuah Rumahtangga” telah disampaikan oleh seorang pensyarah kanan dari UKM yang juga merupakan Naib Ketua 1 HALUANITA, Prof. Madya Dr Asmawati Desa.

Sesi forum pula menampilkan seorang pakar motivasi dan pensyarah kanan UKM merangkap Naib Presiden 3 HALUAN Malaysia , Prof. Madya Dr Azizan Ahmad. Beliau diiringi oleh seorang pendakwah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ustazah Sabariah Binti Hj Salleh, dan seorang moderator daripada JAKIM, Ustaz Zafiri Md Daud.

Konvensyen kali ini diakhiri dengan resolusi yang telah dirumuskan oleh Ketua HALUANITA, Puan Alfiah Samingan. Antara lain, resolusi menetapkan bahawa ibubapa perlu sentiasa tingkatkan ilmu seperti ilmu syarak, kemahiran mendidik dan kepimpinan. Turut ditegaskan bahawa kejayaan hakiki adalah apabila keluarga itu selamat daripada azab neraka Allah SWT.

Ternyata program ini telah dapat membekas di hati para peserta, di mana mereka menyatakan bahawa program seumpama ini sememangnya ditunggu-tunggu dan seharusnya dibuat dengan lebih kerap lagi.