fbpx

Myanmar Henti Usaha Bantuan OIC di Arakan

Myanmar Henti Usaha Bantuan OIC di Arakan

Myanmar Henti Usaha Bantuan OIC di Arakan

RAKHINE, MYANMAR, 15 Oktober 2012 — Pejabat Presiden Thein Sein mengumumkan bahawa kerajaan Myanmar tidak akan membenarkan perwakilan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berada di negara itu bagi tujuan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Rohingya yang menjadi mangsa pertempuran kaum sejak empat bulan lalu.

Menurut laporan agensi berita World Bulletin, adalah tidak jelas samada pengumuman mendadak itu dikaitkan dengan tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh sami Buddha ataupun ianya telah dirancang lebih awal lagi.

Beribu-ribu sami Buddha berarak di bandar-bandar besar di Myanmar untuk membantah usaha badan dunia Islam terbesar itu membantu umat Islam Rohingya. Mereka mengecam rancangan OIC untuk menubuhkan sebuah pejabat perhubungan di barat laut wilayah Rakhine (dahulunya disebut Arakan) di mana keganasan meletus pada bulan Jun lalu.

Hanya beberapa jam selepas berita tunjuk perasaan oleh sami-sami itu tersebar, pejabat Presiden Thein Sein mengumumkan ia tidak akan membenarkan perwakilan OIC berada di Myanmar. Sedangkan sebelum ini kerajaan Myanmar telah membenarkan OIC membuka sebuah pejabat sementara di Sittwe.

Isu perkauman menjadi suatu perkara yang genting di Myanmar sehinggakan lebih 800,000 penduduknya yang berbangsa Rohingya hidup dalam keadaan hina dan tidak diterima sebagai warganegara. Tidak kurang juga bilangan keluarga Rohingya yang cuba melarikan diri ke negara jiran Bangladesh dengan menggunakan bot-bot usang. Malangnya negara tersebut juga enggan membantu malahan dihalau oleh pasukan keselamatan.

Bangsa Rohingya yang biasanya digelar sebagai “Benggali” ini dituduh sebagai pendatang haram di Myanmar. “OIC adalah hanya untuk Benggali, bukan untuk kami,” kata sami Pyin Nyar Nanda pada salah satu perhimpunan.

Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Human Rights Watch pada bulan Ogos lalu, mereka mendakwa telah menemui bukti “penganiayaan dan diskriminasi yang ditaja oleh pemerintah” terhadap masyarakat Rohingya.

Penindasan melampau ini juga telah menjadi isu panas politik terhadap pemenang Hadiah Nobel dan ahli parlimen Aung San Suu Kyi. Beliau telah berhadapan dengan kritikan antarabangsa kerana gagal bersuara mempertahankan hak masyarakat Rohingya sebagai sebahagian daripada komuniti Burma.

Masyarakat Buddha Rakhine serta pemerintah Myanmar tidak pernah menerima masyarakat Rohingya walaupun mereka turut sama memperjuangkan kemerdekaan daripada British pada tahun 1940. Bahkan masyarakat Rohingya telah bertapak di bumi Arakan sejak empat kurun dan turut memiliki raja-raja beragama Islam sebagai pemerintah di wilayah tersebut. Sayangnya mereka hanya dilihat sebagai ‘kaum pendatang’ dari keturunan Benggali yang dibawa masuk oleh British untuk dijadikan buruh kasar.

Sejak 1962, khususnya di bawah pemerintahan junta tentera, Rohingya berhadapan dengan penyisihan, tidak diberi hak dan kebebasan serta tidak dilayan dengan adil sehinggakan identiti mereka di dalam buku sejarah telah dipadamkan. Dalam masa hampir 4 dekad 1.5 juta penduduk Rohingya telah dipaksa melarikan diri dari tanah air mereka dan mereka yang tetap tinggal di negara ini terus menghitung hari, hidup di dalam kesengsaraan, ketakutan dan kekecewaan.