fbpx

KOBAR Memangkin Perubahan Belia

KOBAR Memangkin Perubahan Belia

KOBAR Memangkin Perubahan Belia

BANGI, 3 November 2013 — Hampir 2,000 belia dari seluruh negara telah berkumpul di Dewan Konvensyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) bagi menjayakan Konvensyen Belia Relawan HALUAN (KOBAR) pada tahun ini.

Konvensyen bertema “Belia Bersinergi Pemangkin Perubahan” itu menekankan aspek strategi dalam mengatur langkah dengan lebih kemas, efektif dan produktif secara kolektif untuk membawa arus perubahan Islam kepada masyarakat sedunia.

KOBAR dirasmikan oleh Setiausaha Agung, En. Mohd Ghani Salleh yang mewakili Presiden HALUAN. Beliau menyentuh rahsia kebangkitan jiwa (ruh) bagi membawa perubahan.

Slot pertama bertajuk “Iman dan Ukhuwah Pencetus Perubahan” dikendalikan oleh Ustaz Ahmad Muhtad Yusoff yang mengupas secara terperinci berkaitan hakikat keimanan yang sebenar.

“Hanya iman yang meresap dalam hati dan merasuk jiwa sahaja mampu menggerakkan anggota zahir melakukan ketaatan kepada Allah,” tegas Ustaz Ahmad Muhtad dalam penyampaiannya.

“Iman yang disulami ukhuwah berlandaskan ikatan akidah pula akan melahirkan rasa bahagia pada orang beriman apabila berada bersama saudaranya. Inilah pohon ukhuwah yang disemai dengan benih keimanan dalam hati,” ujar beliau lagi.

En. Mohd Razali Maarof pula membuka mata para peserta akan makna penghijrahan yang menuntut kepada bayaran dan pengorbanan dalam slot kedua bertajuk “Realiti Pemuda dan Hijrah.”

“Hijrah hanya dapat dilakukan oleh mereka yang mempunyai iman yang jitu yang menyelubungi diri mereka,” ujar beliau dalam slot kedua.

KOBAR diteruskan pada sebelah petang dengan Forum Pembangunan Wanita Kontemporari yang menampilkan barisan ahli panel yang terkenal dan cukup berpengalaman dalam menghadapi dunia moden pada hari ini. Prof. Madya Dr. Zulaiha Ali Othman bertindak selaku moderator kepada barisan ahli panel yang terdiri daripada Ustazah Fatimah Syarha Mohd. Noordin, Pn Ezura Nashuha Abdul Hadi dan Dr. Siti Maryam Sh. Ahmad.

Program bersambung pada keesokan harinya usai solat subuh dengan hidangan slot kuliah subuh yang disampaikan oleh Ustaz M. Umar Aiman Osman bertajuk “Ukhuwah dalam Pembinaan Masyarakat.”

Para peserta menjadi lebih berkobar-kobar setelah mendengar seruan En. Rosdi Baharom yang selesa membahasakan dirinya sebagai “Pakcik Rosdi” dalam slot bertajuk “Erti Hidup dalam Berakhlak, Mendidik dan Berbakti.” Satu ungkapan menarik dalam penyampaian Pakcik Rosdi adalah “Bahagia dalam memberi” yang mengajak peserta untuk menyumbang kepada masyarakat.

Forum kedua bertajuk “Belia Bersinergi Pemangkin Perubahan” dipengerusikan oleh En. Ali Irfan Jamalludin yang berkongsi pentas dengan barisan ahli panel yang mewakili tiga generasi yakni En. Mohd Abdoh Zainal Abidin, Prof Madya Dr. Engr Solehuddin Shuib dan Sdr. Abu Ubaidah Sharudin.

KOBAR kali ini unik dan luar biasa dengan kehadiran seorang peserta beragama Kristian Katolik berasal dari Kuching, Sarawak yang melafazkan syahadahnya semasa konvensyen berlangsung dan disaksikan ribuan peserta KOBAR. Alhamdulillah! Tahniah kami ucapkan buat saudari Nur Aisya Darwina Abdullah, 18 tahun.

KOBAR melabuhkan tirai dengan ikrar resolusi dan ucapan perasmian penutup oleh Timbalan Presiden HALUAN, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abu Azam Md Yassin. Moga konvensyen kali ini berjaya memupuk kesedaran para peserta agar mempersiapkan diri untuk terjun ke medan perjuangan dengan mengorbankan kerehatan, tenaga dan kemampuan yang dimiliki bagi merubah realiti hari kearah membentuk persekitaran Islam yang syamil dan kamil.


Laporan oleh Safiah Zulkifli