fbpx

KMK Perlis Padat Dengan Aktiviti

KMK Perlis Padat Dengan Aktiviti

KMK Perlis Padat Dengan Aktiviti

KANGAR, 28 Nov 2012 — Kem Minda Kreatif (KMK) negeri Perlis yang berunsurkan motivasi dan kepimpinan berlandaskan Islam telah dianjurkan oleh Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) Cawangan Kedah pada 25-27 November di Semarak Resort, Batu Pahat, Perlis.

Kem ini yang mensasarkan para pelajar dari seluruh negeri Perlis berusia di antara 12 hingga 16 tahun telah disertai oleh 105 orang peserta iaitu 63 lelaki dan 42 perempuan. KMK Perlis telah dirasmikan oleh Dr Zakaria Abdul Wahab, seorang Pensyarah Universiti Malaysia Perlis. KMK kali ini diketuai oleh Muhammad Hanan Khairul Anuar sebagai Pengarah Program dan Muhammad Hazmin Zolkapli sebagai Komandan Kem.

Bermatlamatkan mendidik peserta dengan kefahaman dan kesedaran Islam dan membina kecintaan kepada Allah dan Rasul, KMK Perlis 2012 kali ini telah menggabungkan aktiviti indoor dan outdoor dengan modul-modul berbentuk simulasi yang menarik dan mudah difahami oleh para peserta. Selain daripada itu, KMK Perlis juga berhasrat untuk membina jati diri remaja dan memberi motivasi ke arah pengurusan diri yang baik. Justeru, jadual yang padat dan peraturan kem yang jelas diberikan kepada para peserta untuk mendidik mereka dengan pengurusan diri dan masa yang efisyen. Barang amanah dan denda tarbawi juga dikenakan bagi melatih para peserta akan kepentingan menjaga perkara yang wajib seperti solat, sikap bertanggungjawab dan amanah dan sebagainya.

Tirai KMK Perlis bermula dengan majlis perasmian dan diikuti dengan slot pengenalan bersama Komandan Kem dan barisan fasilitator. Para peserta diperkenalkan dengan kod keselamatan, kod arahan dan kod wisel yang akan digunakan sepanjang kem. Slot seterusnya terus meriah dengan sessi ‘ice breaking’ dan ‘team building’ yang dijalankan secara berasingan untuk pelajar lelaki dan perempuan. Antara aktiviti yang dijalankan untuk memecahkan rasa kekok dalam kalangan peserta ialah ‘3, 2, 1 Pecah, Jet Identiti, Inpulse dan Menjejak Penjaga Kalung manakala aktiviti yang dilaksanakan bagi memupuk semangat kerjasama dalam kumpulan pula ialah Kau Kerusiku, Human Web, Caterpillar, Si buta Berjalan-jalan dan yang paling menarik perhatian ialah The Music Cup.

Para peserta lelaki kemudiannya meneruskan aktiviti slot KMK Versus 1 dengan permainan Dodge Ball manakala peserta perempuan pula menghadiri slot Melakar Memori. Setelah selesai dengan pelbagai aktiviti yang menguji minda dan ketangkasan fizikal peserta, slot pengisian rohani pula disajikan buat hati nurani para peserta menerusi slot KMK Wahbah 1 dengan tajuknya ‘Siapa Aku’ yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Muhtad Yusuff.

Keesokkannya, peserta perempuan melakukan regangan pagi dengan permainan ala bola jaring yang menggunakan belon air bercampur tepung yang diberi nama ‘Naughty Ball’. Selepas sarapan pagi, semua peserta berkumpul untuk taklimat KMK Rush dan KMK Super Chef Grill yang berlangsung serentak dengan perbezaan peserta mengikut jantina.

Semangat peserta perempuan dalam menyelesaikan setiap tugasan wajar dipuji kerana kesabaran dan kesungguhan mereka merentas denai dan jalan di Batu Pahat mencari check point. Check point paling menarik ialah di check point inovasi apabila peserta perlu mencari bahan-bahan untuk membina sesuatu yang dapat menampung berat sekotak air di dalam air selama dua minit. Kemudian setiap ahli kumpulan perlu bersatu untuk mencari petanda ke check point seterusnya dengan menyelam di dalam air mencari belon yang mengandungi maklumat yang diperlukan.

KMK Super Chef Grill pula merupakan pertandingan memasak yang telah diubahsuai dan dimasukkan unsur ‘Amazing Race’ apabila peserta perlu menyelesaikan tugasan di check point tanpa fasilitator mengikut kepantasan masing-masing sebelum mendapat bahan dan peralatan untuk memasak. Peserta diminta untuk memanggang ayam dan mencipta resepi sos pencicah yang terbaik dalam sejarah KMK Perlis. Para peserta kelihatan teruja untuk menghasilkan ayam panggang yang paling sedap walaupun ramai dalam kalangan mereka yang tidak pernah masuk ke dapur sebelum ini. Ternyata hasil masakan yang dihasilkan tidak mengecewakan.

Setelah berpenat lelah di siang hari, slot malam diisi dengan aktiviti minda menerusi slot KMK Versus 2 iaitu debat antara kumpulan dengan tajuk ‘Krisis Identiti Remaja : Tanggungjawab Siapa?’. Sidang pleno yang dipengerusikan oleh Fasilitator Danial Afiq Adnan berjaya mencungkil perasaan dan pendapat peserta berkaitan dengan isu yang dibangkitkan. Dewan hangat dengan keriuhan peserta menegakkan hujah masing-masing.

Hari ketiga berlalu begitu pantas dengan pelbagai program menarik. Slot KMK Wahbah II disampaikan oleh Cikgu Azmi Bahari dengan tajuknya Siapa Aku. Sessi ini sarat dengan perkongsian dan motivasi untuk merubah diri ke arah yang lebih baik. Slot Mini KMK Versus dijalankan setelah peserta selesai sarapan pagi . Slot ini menguji kerjasama dan kreativiti peserta menerusi permainan ‘Ulat Lompat’, ‘Stand Up’ dan ‘ The Newspaper Bridge’.

Majlis Perasmian Penutup diceriakan dengan tayangan video sepanjang kem, persembahan ‘The Music Clap’ dan penyampaian sijil serta hadiah kepada para peserta dan kemudianya dirasmikan oleh Cikgu Mohamad Adi Ismail.

Pelbagai reaksi positif diterima daripada para peserta menerusi borang soal selidik. Menurut salah seorang peserta, Muhammad Akmal Firdaus dari Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, “Walaupun didenda kerana tidak menunaikan solat Subuh, kem ini merupakan kem yang terbaik yang pernah saya sertai dan saya akan menyertai kem ini pada masa akan datang”.

“Kem ini telah meninggalkan kesan terbaik kepada anak-anak saya yang sebelum ini enggan hadir ke kem ini. Saya berharap agar program susulan dapat dilaksanakan sebagai penerusan kepada jambatan hati yang telah terbina antara anak saya dengan para fasilitator”, kata Puan Aini Ab Rahim.


Laporan oleh Nawal Abd Kadir