fbpx

Kem Smart Tahfiz Lahirkan Huffaz Pintar

Kem Smart Tahfiz Lahirkan Huffaz Pintar

Kem Smart Tahfiz Lahirkan Huffaz Pintar

PERMATANG PAUH, 2 Dis 2012 – Seramai 50 orang peserta selesai menjayakan Kem Smart Tahfiz Imitiaz yang berlangsung selama 10 hari di Sekolah Menengah Agama Ibrah (SMA Ibrah), Kampung Tanjung Putus di sini semalam.

Pengarah Program yang juga Pengerusi PIBG SMA Ibrah, Rozaini Kassim berkata tujuan kem ini adalah untuk memupuk tabiat cintakan al-Quran dan meningkatkan motivasi serta memupuk kefahaman Islam yang benar pada anak-anak.

“Saya berharap semua peserta dapat mengamalkan Islam yang syumul di dalam kehidupan seharian mereka,” katanya lagi.

Muhammad Muqri Irfan, 12, berkata beliau berpuas hati dapat menambah ayat-ayat al-Quran yang dihafal dan juga dapat berjumpa rakan yang baru.

“Saya merasakan kesemua rakan-rakan umpama keluarga dan tidak ingin berpisah dengan mereka semua,” katanya kepada wartawan mediaHALUAN.

Nur Syakirah Abdullah, 13, teruja dan gembira dapat berkenalan dengan ramai kawan baru serta dapat mempelajari kaedah menghafal al-Quran secara praktik.

“Saya berharap program ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan saya mahu mengaplikasikan kaedah hafazan yang telah dipelajari,” katanya lagi.

Menarik kali ini ialah penyertaan dari Perlis dan Kedah. Bahkan terdapat juga beberapa orang peserta dari Indonesia mengikuti Kem Smart Tahfiz kali ini.

Supriyanto, 36, dari Banteng, Indonesia dan sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Kedoktoran di Pusat IPv6 Termaju Negara, Universiti Sains Malaysia, menghantar salah seorang anak beliau, Maryam, 11, sebagai peserta

“Maryam sangat senang (gembira) mengikuti kem ini dan mahu agar ia diteruskan lagi,” kata Supriyanto berkenaan reaksi anak beliau terhadap kem yang disertainya buat kali pertama.

Selain belajar ilmu-ilmu berkaitan hafalan al-Quran secara praktik, para perserta turut melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti seperti perlawanan futsal, pertandingan tulisan khat, nasyid dan qasidah serta dilatih untuk membiasakan diri berada di hadapan pentas.

Kem yang diadakan setiap kali cuti hujung tahun persekolahan ini merupakan kali ketiga dianjurkan oleh HALUAN Malaysia cawangan Pulau Pinang sejak tahun 2010. Kem kali ini merupakan kerjasama dengan PIBG SMA Ibrah. SMA Ibrah merupakan sekolah angkat HALUAN Malaysia di Pulau Pinang.


Laporan oleh Suhaib Alrumy, MediaHALUAN