fbpx

KKH Berjaya Lamar Golongan Muda

KKH Berjaya Lamar Golongan Muda

KKH Berjaya Lamar Golongan Muda

Putrajaya, Feb 12, 2012  –  Usaha gigih barisan kepimpinan Kelab Kesihatan HALUAN Malaysia (KKH) menambat hati golongan muda kampus sejak lima tahun lalu melalui penyertaan program serta didik-ajar anjurannya semakin menampakkan hasil yang positif.


Di akhir Daurah Kebangsaan KKH 2012 di sini, ramai golongan muda telah berani tampil membentangkan resolusi-resolusi mereka, sesetengahnya tidak pernah terlintas di pundak barisan kepimpinan KKH yang semakin mencecah usia separuh abad. Suntikan positif ini membayangkan masa depan yang sangat gemilang buat KKH yang sentiasa mementingkan dakwah dan pendidikan Islam yang mantap lagi menyeluruh dalam mempersiapkan barisan pemuda perubatan dan kesihatan yang mapan bila berdepan dengan masyarakat.

Pelajar perubatan tahun akhir, Encik Hudzaifah Nordin dari Universiti Sains Islam Malaysia menggariskan tiga perkara pokok yang mesti diberikan perhatian oleh KKH dalam mengharungi cabaran menyediakan seramai mungkin golongan profesional Muslim kalangan pengamal perubatan dan kesihatan iaitu jelas matlamat, yakin serta proaktif.

Kejelasan tentang profesyen dan halatuju yang sentiasa berkait rapat dengan konsep ubudiyah kepada Allah SWT sepanjang masa akan memastikan bahawa setiap anggota pengamal tidak tersasar atau dihantui sogokan duniawi, katanya. Keyakinan pula perlu dipupuk serta diulang-ulang agar semua ahli terasa bahang perjuangan menegakkan ilmu masing-masing sebagai wasilah ibadah di samping jelas tentang matlamat hidup yang sama iaitu mencapai keredhaan Allah SWT. Sikap proaktif yang konsisten akan membolehkan KKH bergerak dengan pantas serta efisyen dengan penglibatan gandingan ramai pemuda-pemudi serta seniors yang berpengalaman, masing-masing memberikan input yang positif kepada aktiviti kelab. Penambahan ahli kelab juga harus diberikan perhatian yang serius, tambah beliau.

Ashraf Ilman Zulbahari dari universiti yang sama dalam membentangkan resolusi kumpulannya berkata bidang pembelajaran perubatan dan kesihatan amat meruntun masa setiap individu yang terlibat kerana sifatnya memang begitu dengan masa terluang yang amat terhad. Justeru pelajar mahupun pengamal harus bijak menyusun program-program yang efektif agar dapat dimanfaatkan ruang masa yang terhad itu dengan pengisian,  perkongsian dan aktiviti-aktiviti yang bermakna lagi menarik.

Ini termasuklah berziarah, khidmat masyarakat serta pemusatan penempatan luar kampus yang strategik untuk membolehkan perkongsian sumber di kalangan ahli siswa dan siswi yang lebih berkesan, kata beliau yang berada di tahun satu bidang perubatan.

Pegawai  perubatan muda Dr Farzaana Adam berpendapat KKH harus memulakan sesi kaunseling untuk kelompok masyarakat awam dengan mengujudkan focused groups serta support groups agar mesej kesihatan dan gaya hidup sihat serta bermaruah dapat disampaikan oleh KKH dengan lebih berkesan. Di samping memberikan rawatan kesihatan dan pemeriksaan percuma, kumpulannya  berpendapat para pengamal perubatan serta kesihatan mempunyai peluang yang sangat cerah dalam membentuk sikap dan minda masyarakat agar menghindari perbuatan maksiat yang akhirnya mungkin akan menjebakkan  mereka di kemudian hari dengan terjadinya penyakit-penyakit yang tidak diingini. Ini akan merugikan negara.

Gerakan ini boleh dilaksanakan dengan biro-biro HALUAN yang lain di samping bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung, masjid dan sebagainya. KKH harus menerajui usaha pengislahan masyarakat ini untuk memastikan keberkatan kepada umat Islam melalui pengamalan hidup yang sihat jasmani dan rohani.

Daurah ini dianjurkan bersama oleh KKH dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui kerjasama pihak pengurusan Masjid Putra, Putrajaya.