fbpx

190 Sertai Rekreasi Pemuda HALUAN 2012

190 Sertai Rekreasi Pemuda HALUAN 2012

190 Sertai Rekreasi Pemuda HALUAN 2012

TAPAH, 6 Februari – Biro Pemuda HALUAN dan Biro Latihan HALUAN dengan kerjasama Kelab Siswa HALUAN telah menganjurkan Program Rekreasi Pemuda HALUAN 2012 dengan objektif untuk melahirkan pemuda HALUAN yang mempunyai persiapan jiwa, mental dan sahsiah yang mantap agar mampu melaksanakan kerja-kerja mendidik dan berbakti kepada masyarakat.


Rekreasi sepanjang tiga hari yang bermula sejak awal pagi 4 Februari ini telah berlangsung di Agro Recreation Centre, Tapah, Perak. Seramai 190 orang peserta yang terdiri daripada barisan pemuda dan siswa dari seluruh semenanjung Malaysia menyertai program rekreasi kali ini.

Menurut pengarah program, Hj Hasri Ahmad (gambar) yang juga Naib Ketua Biro Pemuda HALUAN, rekreasi ini merupakan salah satu daripada program-program anjuran Biro Pemuda yang bertujuan untuk membangun peribadi yang kuat dan sempurna dari sudut akidah, akhlak, dan jasmani.

“Rekreasi ini juga bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah sesama pemuda HALUAN yang hadir dari seluruh negara,” ujar beliau.

Beliau seterusnya menekankan peri pentingnya pemuda kepada entiti NGO seperti HALUAN.

“Pemuda merupakan juzuk terpenting bagi menjamin kesinambungan perjuangan dalam mencapai aspirasi HALUAN sebagai NGO yang menerajui perubahan melalui pendidikan dan kebajikan,” tegas beliau lagi.

Peserta program disediakan dengan pelbagai aktiviti-aktiviti yang mencabar fizikal peserta di dalam kawasan program yang dikelilingi flora dan fauna yang indah. Pelbagai aktiviti fizikal telah berjaya dilaksanakan oleh semua peserta walaupun berdepan dengan kepenatan, cuaca yang tidak menentu dan pelbagai halangan lain. Selain itu, rekreasi yang dipimpin sendiri oleh Ketua Biro Pemuda HALUAN, Dr Mohd Arba’ai Shawal (gambar) sebagai Kem Komandan juga diisi dengan pengisian ilmu dan juga rohani oleh penceramah yang dibawa dari seluruh negara. Ini adalah untuk memenuhi objektif agar para peserta mampu mendokong keperibadian yang mulia dan sahsiah yang jitu dalam apa jua keadaan.

Ustaz Abdul Rahim Abdul Hamid selaku penasihat Biro Pemuda HALUAN telah menjelaskan di dalam ucapan penutupnya tentang peranan pemuda sebagai pembangun ummah di dalam keadaan dunia sekarang yang sedang mencari-cari kebenaran.

“Persiapan untuk menjadi pemuda yang mampu memimpin ummah perlu dilaksanakan sebaik mungkin supaya tidak berlaku masalah dan kegelinciran pada hari mendatang,” tegas beliau.