Program Kesedaran Palestin Menarik Perhatian Warga Unisel
Bestari Jaya, Selangor, 11 Feb 2012 — Permasalahan Palestin terkait secara langsung dengan setiap orang Islam, justeru itu ia harus difahami dengan jelas agar perkara ini diberi perhatian sewajarnya. Kesedaran terhadap hakikat ini telah meletakkan agenda Pameran dan Ceramah Kesedaran Palestin sebagai salah satu acara utama dalam program Karnival Khair Al Ummah Peringkat Universiti Selangor (Unisel) yang berlangsung di kampus Unisel Bestari Jaya.
Program bersempena sambutan Maulidur Rasul itu telah berjalan sejak hari Rabu 8 Februari dan berakhir pada hari ini. Sepanjang tempoh tersebut, HALUAN melalui Biro HALUAN Palestin turut menyumbang tenaga dengan mengadakan pameran bergambar, sesi-sesi ceramah kesedaran Palestin, kutipan dana untuk Palestin dan juga tayangan filem.
Ketua Biro HALUAN Palestin, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan, turut menyampaikan beberapa sesi ceramah untuk program ini. Dalam salah satu ceramah beliau di hadapan lebih 200 orang pelajar dan pegawai Unisel di masjid universiti berkenaan, Dr Syed Muhammad Haleem menekankan tentang kewajipan dan peranan umat Islam dalam menangani permasalahan Palestin. Beliau juga telah menyampaikan beberapa berita perkembangan terkini yang sedang berlaku di Palestin, khususnya di Gaza.
Tayangan filem Tears Of Gaza turut menarik lebih 300 penonton dari kalangan staf dan pelajar Unisel. Filem tersebut telah dapat memberi gambaran yang lebih jelas tentang keperitan hidup rakyat Palestin di Gaza dan kekejaman yang berterusan dilakukan oleh rejim pengganas Zionis Israel.
HALUAN mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada warga Unisel, terutama sekali Pengerusi Pusat Islam Unisel, Ustaz Mohd Saedal Al-Atas bin Abd Ghani, di atas keprihatinan mereka terhadap Palestin. Semuga usaha gigih ini akan diteruskan dengan lebih baik lagi, insyaAllah.