fbpx

KKH Berbakti Kepada Yang Terpinggir di Sabah

KKH Berbakti Kepada Yang Terpinggir di Sabah

KKH Berbakti Kepada Yang Terpinggir di Sabah

kkh-01LAHAD DATU, 10 Nov 2013 – Seramai 16 orang ahli Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) telah berbakti di daerah Lahad Datu, Semporna dan Kunak di Sabah dengan menjalankan aktiviti pemeriksaan kesihatan dan rawatan perubatan secara percuma kepada penduduk miskin dan terpinggir di situ.

Projek berkala yang berlangsung dari 1 hingga 5 November itu merupakan sebahagian daripada aktiviti “Program Pembangunan Modal Insan (PPMI)” yang telah dipelopori oleh HALUAN Malaysia sejak 2011. Projek berkenaan mendapat pembiayaan geran seliaan dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Rombongan KKH yang terdiri daripada lapan orang doktor perubatan dan lapan orang paramedik itu diketuai oleh Dr Ahmad Zabidin Zakaria.Mereka telah dibahagikan kepada dua kumpulan yang masing-masing berkhidmat di Pamanhutan,Pulau Tandoan dan Sekolah PPMI Kunak dan juga di Kampung Tegupi Laut, Pulau Bum Bum dan Kampung Kunak 3.

Ketibaan kumpulan ke Kampung Tegupi Laut telah disambut oleh 300 orang kampung yang sudah sedia menunggu di sekolah rakyat PPMI HALUAN di situ. Sekolah sementara yang menempatkan tiga bilik darjah ini amatlah dhaif sekali dengan berlantaikan tanah, beratapkan daun rumbia yang semakin bocor dengan meja dan kerusi yang diperbuat daripada buluh kering yang panjang. Bilik-bilik darjah ini tidak berdinding. “Sekolah ini mirip sekolah yang kami lihat di kem pelarian Somalia di Dadaab, Kenya,” kata Dr Mohd Arba’ai Shawal yang mengetuai pasukan di situ. Beliau pernah menyertai misi kemanusiaan bersama relawan HALUAN di Afrika satu ketika dahulu.

Di sini kumpulan medik KKH telah memberikan rawatan kepada pelbagai lapisan masyarakat, dari kanak-kanak kecil hinggalah orang tua. Para penduduk yang rata-rata dari etnik Bajau Laut dan sebahagian kecil etnik Suluk melahirkan rasa amat berterima kasih kepada HALUAN yang tidak putus-putus membantu mereka dengan menyediakan sistem persekolahan yang unik daripada usia tujuh hingga 17 tahun dan rawatan serta pemeriksaan kesihatan yang agak terancang melalui KKH. Kebanyakan penduduk adalah nelayan miskin dengan pendapatan kasar hanya sekitar RM250 sebulan.

Destinasi berikutnya Dr Mohd Arba’ai bersama kumpulannya adalah Pulau Bum Bum dan Pulau Tandoan. Perjalanan ke Pulau Bum Bum mengambil masa sekitar 20 minit. Mereka terpaksa mengharungi air laut yang semakin surut dan meniti batang kayu yang tidak stabil dan bergoyang untuk sampai ke destinasi. Ia merupakan satu pengalaman yang agak merimaskan tidak pernah melalui cara hidup sebegini.

Satu lagi kumpulan yang diketuai Dr Zabidin mengambil masa yang agak lama untuk sampai ke Pulau Tandoan kerana jaraknya yang lebih jauh. Lebih kurang 150 orang penduduk telahpun menanti kedatangan mereka di situ, majoriti mereka adalah daripada etnik Bajau Laut. KKH telah memberi rawatan kepada sekitar 200 orang pesakit, dari bayi kecil hinggalah orang-orang tua yang kebanyakannya mengidapi sakit kulit berbentuk kudis buta dan jangkitan kulat, dan penyakit batuk dan selsema.

Hari terakhir perkhidmatan kesihatan KKH berakhir di Sekolah PPMI Kunak dan Kampung Kunak 3 yang jaraknya sekitar 100km dari Semporna. Kumpulan pertama telah ditugaskan merawat kanak-kanak yang bersekolah di PPMI Kunak. Sekolah ini adalah sekolah yang terbaik dibandingkan dengan sekolah-sekolah PPMI yang lain. Ia terdiri daripada empat buah kelas, berdinding konkrit dan beratapkan asbestos. Terdapat pentas terbuka dan sebuah surau untuk pelajar belajar solat dan bersolat berjamaah.

Sementara itu, kumpulan kedua yang diketuai oleh Dr Mohd Arba’ai telah ditugaskan untuk merawat sekitar 60 orang penduduk Kampung Kunak 3 yang terletak sekitar 5km dari sekolah PPMI Kunak. Ia merupakan sutu penempatan etnik Bajau Laut, iaitu satu bangsa nomad laut Sulu yang tinggal di dalam bot-bot kecil di gigi air. Mereka belayar di laut lepas mencari rezeki di sekitar perairan Indonesia dan Filipina.

Cikgu Lajulaidi Lajahidi selaku pengurus Sekolah PPMI Kunak tersebut mendedahkan bahawa kedatangan HALUAN ke situ telah banyak merubah anak-anak Bajau Laut dalam aspek disiplin, akhlak dan penampilan diri mereka. “Dahulunya, masyarakat terpinggir ini langsung tidak mengenali apa itu penjagaan kesihatan dan kebersihan diri hinggakan kanak-kanaknya sentiasa berbau busuk walaupun berdiri beberapa meter jauhnya. Dengan berkat gigih guru-guru yang dilantik khas yang rata-ratanya adalah ahli dan relawan HALUAN, akhirnya kanak-kanak di sini telah berubah dengan agak signifikan,” jelas beliau.

Lebih menggembirakan lagi ialah apabila sebahagian besar daripada mereka sudah boleh membaca, menulis, mengira, serta mampu menghafal beberapa surah pendek dan boleh bersolat. Mereka adalah sebahagian daripada 3,000 orang Bajau Laut yang telah diIslamkan pada tahun lepas. Katanya lagi, guru-guru PPMI hanya dibayar elaun yang sangat rendah iaitu sekitar RM300 sebulan namun mereka sangat berdedikasi untuk merealisasikan motto HALUAN iaitu “Berakhlak, Mendidik dan Berbakti”.


Laporan Unit Media
Kelab Kesihatan HALUAN