fbpx

Sekatan Semakin Mencengkam Rakyat Gaza

Sekatan Semakin Mencengkam Rakyat Gaza

Sekatan Semakin Mencengkam Rakyat Gaza

gaza-01Gaza, 9 Nov 2013 -– Sekatan ke atas Gaza berterusan sejak tahun 2007. Sepanjang tempoh tersebut, serangan dan tindakan agresif ketenteraan dari pihak Zionis terus mencengkam kehidupan 1.7juta rakyat Gaza dengan memusnahkan infrastruktur awam dan juga kebun-kebun tanaman yang menjadi sektor pekerjaan utama.

Kini sekatan ke atas Gaza memasuki fasa baharu yang lebih dahsyat. Rakyat Gaza bukan lagi dikepung oleh rejim Zionis semata-mata, bahkan terpaksa berhadapan dengan koalisi negara-negara Arab dan antarabangsa yang bersatu atas nama anti-keganasan. “Sejumlah negara-negara Arab dan dunia antarabangsa turut bertanggung jawab dalam sekatan (ke atas Gaza),” ungkap Dr Yusuf Rizqah dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini. Beliau merupakan seorang penasihat politik kepada Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh.

Menurut kenyataan beliau, pihak pemerintah Palestin di Gaza bekerja keras dengan mengadakan perbincangan dengan pemerintah Mesir dalam rangka meringankan kesan sekatan ke atas penduduk Gaza, terutama dalam soal berkaitan urusan perlintasan di pintu Rafah.

Keadaan di Gaza ketika ini adalah lebih buruk daripada zaman pemerintahan Husni Mubarak, setelah tercetus perubahan di negara-negara Arab, pemusnahan terowong, penutupan pintu masuk dan penghentian program-program kemanusiaan. Akibatnya, keadaan ini membawa kepada krisis bekalan elektrik yang memberi kesan langsung terhadap sektor-sektor perkhidmatan yang kritikal seperti kesihatan dan pendidikan.

“Rakyat Gaza dalam setahun-dua yang lalu mampu mengatasi masalah yang terbesar dalam sekatan ini (penutupan pintu masuk) dengan cara membina terowong-terowong bawah tanah. Kita juga telah dapat memperbaiki urusan perlintasan Rafah ketika pemerintahan Presiden Muhammad Mursi, ditambah pula dengan keluar-masuknya misi-misi bantuan solidariti dari sejumlah negara dan benua untuk menyampaikan sokongan mereka dan menolak sekatan serta mendukung hak bangsa Palestin untuk diberikan perlintasan secara aman.”

Menurut laporan Kementerian Luar Negeri Palestin di Gaza, sepanjang tiga bulan pertama tahun 2013 telah masuk 182 konvoi bantuan yang membawa 4000 relawan dari berbagai negara. Mereka membawa bahan yang diperlukan untuk kelangsungan hidup rakyat Gaza seperti ubat-ubatan, makanan dan bahan binaan. Seramai 100 orang doktor bedah dan doktor pakar turut memasuki Gaza bagi menangani sejumlah pesakit yang menderita di Gaza.

Kenyataan Dr Rizqah menyebut, “Pada pertengahan kedua tahun ini, tidak ada satupun konvoi bantuan dari luar sehinggakan urat nadi kehidupan di Gaza menjadi masalah yang sangat besar kerana pintu masuk ditutup.“

Pejuang kemanusiaan tanpa mengira agama dan bangsa harus terus berusaha menyampaikan solidariti kepada rakyat Gaza dan menghantar konvoi-konvoi bantuan agar sekatan Zionis dan sekutunya ke atas mereka dapat dirobohkan.


Laporan Unit Media, Biro HALUAN Palestin