fbpx

Tips Berdakwah Kepada Yang Belum Islam

Tips Berdakwah Kepada Yang Belum Islam

Tips Berdakwah Kepada Yang Belum Islam

zakir-01KUALA LUMPUR, 8 Nov 2013 – Dakwah kepada golongan belum-Islam memerlukan teknik-teknik terkini untuk memastikan maklumat dakwah itu sampai tepat kepada sasarannya. Kandungan dakwah, walau bagaimana baik sekali pun, tidak akan menepati sasaran jika teknik dakwah itu sendiri pincang.

Menurut pendakwah rentas-agama antarabangsa terkenal, Dr Zakir Naik, pendakwah itu sendiri kena tampak berani, ceria, jelas, cukup ilmu dan bersedia mendengar dan menerima pandangan orang lain. Di samping itu, beliau perlu mempelajari kemahiran penyampaian agar tubuh badan beliau berserentak memberikan dakwah, bukan hanya gerak bibirnya.

“Hanya 7% bahan yang dihamburkan akan sampai ke kotak minda hadirin. Manakala 93% lagi pencerapan ilmu itu akan datang daripada usaha penceramah untuk memperbaiki teknik penyampaiannya agar menarik dan memikat penonton,” jelas beliau dalam ceramah sejam kepada himpunan pendakwah di Konvensyen Pendakwah Negara 2013 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Katanya, ramai penceramah adalah hebat tetapi mereka boleh menjadi lebih hebat dengan mempelajari teknik bahasa badan yang melibatkan mata, tangan, tubuh, pergerakan dan pakaian yang mereka peragakan. “Amat berbeza jika saya berceramah di belakang rostrum berbanding di depan sini. Di belakang rostrum, separuh badan saya gagal berdakwah kerana penonton tidak dapat melihat ekspresi saya yang akan membantu meyakinkan mereka dengan hujjah yang saya cuba sampaikan,” tambah beliau.

Dr Zakir berkata berdakwah adalah suatu rahmat – mulakan dahulu, selainnya Allah akan membantu kita. Bila diminta berucap mengenai Islam, tidak dapat tidak seorang penceramah akan terpaksa membuat penyelidikan ke atas tajuk yang diberi. Jangan gusar jika kita tidak dapat menjawab kerana akan ada ketikanya nanti kita akan mendapat jawapan yang sesuai. Namun persediaan awal diperlukan.

“Anda perlu tahu siapa yang bakal jadi hadirin yang mendengar; ia akan memudahkan anda nanti. Dari situ, anda boleh tanggapi apa persoalan yang akan mereka bangkitkan. Tidak kira mereka itu Kristian, Hindu, Buddhist atau atheist. Akan ada soalan-soalan lazim yang akan ditanya oleh mereka secara umum tentang Islam, dan akan ada soalan khusus yang akan datang daripada aliran agama mereka sendiri. 95% persoalan ini sudah saya bukukan – daripada terorisme, penindasan wanita Islam hinggalah memakan khinzir. Di samping itu, akan ada soalan-soalan baru yang seorang pendakwah rentas-agama kena selidiki untuk memberikan jawapan terbaik di peluang lain di masa depan,” jelas beliau yang merupakan penerima Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan 1435H/2013M yang dianugerahkan oleh DYMM Yang DiPertuan Agong baru-baru ini.

Katanya amat penting seorang pendakwah boleh memberikan hujjah daripada kitab agama sipenanya soalan itu sendiri kerana tidak mungkin dia akan boleh menerima dalil-dalil daripada Al-Quran dan hadith di peringkat permulaan. Katanya lagi ramai pendakwah gagal dan enggan melakukan sedemikian seolah-olah ini akan melemahkan iman mereka hingga boleh membawa kepada kekufuran.

“Di sebaliknya, memahamkan mereka kepada bahan kitab mereka mengenai isu yang mereka bangkitkan dan selepas itu barulah memberi ulasan Islam akan lebih membolehkan mereka menerima perspektif Islam dalam banyak hal. Cuba carikan titik persamaan dengan mereka; elakkan bertegang urat dan tunjukkan bahawa ada unsur-unsur kesamaan di dalam sesuatu isu yang masih boleh kita perbincangkan. Contohnya, ada tertulis di dalam kitab Bible dan Hindu bahawa tuhan itu satu. Adakah mereka memahaminya?,” beliau berkata.

Dr Zakir sebagai seorang pendakwah rentas-agama berpengalaman sering terus bertanya kepada orang yang belum Islam, “apakah dia tentang Islam yang membuat anda tidak selesa?”. Dengan pertanyaan tulus ikhlas begitu, lebih mudah dan cepat untuk beliau rungkaikan kerunsingan dan kesangsian mereka berbanding menghamburkan fakta-fakta yang sebahagian besarnya tidak boleh mereka terima.

Seorang doktor perubatan terlatih, Dr. Zakir Naik, 45 tahun dari India adalah penceramah terkenal antarabangsa dalam ilmu perbandingan antara agama. Beliau juga adalah murid kepada pendakwah terkenal, Almarhum Syeikh Ahmad Deedat dari Afrika Selatan. Kelab HALUAN Fitrah selaku tetamu JAKIM diwakili oleh lapan orang peserta di konvensyen tersebut.


Laporan Unit Media
Kelab HALUAN Fitrah