fbpx

Kewajipan Mendidik Anak Menjadi Hamba Allah

Kewajipan Mendidik Anak Menjadi Hamba Allah

Kewajipan Mendidik Anak Menjadi Hamba Allah

Perkara pertama dan paling utama yang perlu kita sedari di dalam kehidupan kita adalah hakikat bahawa kita dicipta oleh Allah SWT hanyalah untuk menjadi hamba Allah SWT. Kita dicipta oleh Allah SWT untuk mengabdikan diri hanyasanya kepada Allah. Kita dituntut untuk mengkhususkan peribadatan, malah seluruh kehidupan kita hanyasanya kepada Allah SWT.

Dengan menundukkan diri kita dan menyerahkan diri kita sebagai hamba Allah SWT barulah kita menjadi muslim yang sebenarnya. Keputusan untuk menjadi hamba Allah SWT mestilah dilakukan secara sedar dan faham, yakni kita mesti melalui proses pendidikan untuk membina kefahaman dan kesedaran serta keyakinan bahawa sebaik-baik diri seseorang itu ialah apabila dia hidup sebagai hamba kepada Allah SWT dan mengakui dalam kehidupan seharian bahawa Allah SWT adalah satu-satunya Rabb dan Ilah baginya.

Penanaman Tauhid

Proses menerima dan mengakui hanya Allah SWT sahaja Rabb dan Ilah baginya dan merasai kebahagiaan untuk memperhambakan diri kepada Allah mesti melalui prosesnya tersendiri. Proses yang dimaksudkan ini ialah proses untuk memperolehi ilmu mengenai tauhidullah dan menghayati hakikat tauhidullah ini. Tidak ada pilihan lain lagi bagi kita jika benar-benar ingin beriman kepada Allah SWT dengan keimanan yang sahih, melainkan kita wajib melalui proses pendidikan keimanan ini kerana keimanan adalah didasari oleh ilmu bukan sangkaan.

Sekiranya seseorang itu tidak melalui proses pendidikan keimanan untuk memahami tauhidullah dan menanamkan hakikat tauhidullah ini sedalam-dalamnya di lubuk hati, maka dia berada dalam bahaya yang amat serius kerana keimanannya hanya di tahap khabar atau berita-berita semata-mata.

Dr Umar Sulaiman Al-Asyqar dalam menjelaskan berkaitan aqidah telah memetik tulisan Syeikh Imam Hasan Al-Banna:

“Aqidah adalah permasalahan yang dibenarkan oleh jiwa, yang hati menjadi tenang kepadanya, dan menjadi sebuah keyakinan bagi pemiliknya, yang tidak dicampuri oleh keraguan dan tidak dikotori oleh prasangka.” (Iman Kepada Allah, 2008)

Dr Umar Sulaiman (2008) juga menjelaskan:
“Aqidah bukanlah permasalahan yang berhubungan dengan amal perbuatan tetapi ia adalah permasalahan yang bersifat ilmu yang mesti diyakini oleh seorang muslim di dalam hatinya, kerana Allah SWT telah menyampaikan hal itu melalui Kitab-Nya atau wahyu yang Dia sampaikan kepada Rasulullah SAW.”

“Agar dasar-dasar ini menjadi aqidah, maka kita mesti membenarkannya dengan penuh keyakinan tanpa ada keraguan sedikitpun. Kerana bila di dalamnya terdapat keraguan, maka hal itu hanya menjadi andaian belaka dan bukan aqidah (keyakinan).”

Iman pula dijelaskan oleh Dr Umar Sulaiman (2008) sebagai:
“Iman adalah aqidah yang sentiasa bersemayam di dalam hati dan tidak mungkin terpisahkan. Aqidah yang terpendam dalam hati seseorang akan nampak melalui lisannya. Sementara aqidah yang diucapkan melalui lisan itu, akan didukung oleh amal perbuatan yang sesuai dengan aqidah itu.”

Saya membentangkan permasalahan aqidah di atas ini bukanlah bertujuan untuk menulis mengenai aqidah Islam secara terperinci, kerana di luar skop buku ini dan saya tidak kelayakan untuk menulis dalam bidang ini. Persoalan aqidah dan iman ini saya kemukakan kerana pendidikan Islam adalah pendidikan berpaksikan aqidah Islam dan keimanan, khususnya ‘Iman Billah’.

Proses Tarbiyah Laluan Untuk Menjadi Hamba Allah

Tugas utama Rasulullah SAW dan para rasul yang diutuskan oleh Allah SWT adalah untuk mengajar, membimbing dan membentuk manusia menjadi hamba Allah. Hal ini kerana, sememangnya manusia dicipta hanyasanya untuk menjadi hamba Allah dan bukan sekali-kali menjadi hamba nafsu, hamba harta, hamba negara dan sebagainya.

Hal ini telah ditegaskan oleh Allah SWT dengan jelas lagi nyata dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepadaku..”
(Surah Ad-Dzariyat 52: 56)

Suatu perkara yang amat penting untuk difahami ialah matlamat mentarbiyah anak bukanlah satu yang samar-samar atau kabur. Produk atau natijah yang dihajati dari segala usaha kita dalam mentarbiyah anak telah digariskan oleh Allah SWT di dalam ayat di atas, yaitu menjadi hamba Allah, yang mengabdikan seluruh hidupnya kepada Allah SWT dan hanya kepada Allah SWT semata.

Walaupun matlamat ini jelas, tetapi jalan atau method pembinaan anak sebagai hamba Allah SWT tidaklah difahami oleh ibu bapa melainkan mereka sendiri berusaha untuk memahami proses pembentukan hamba Allah ini dan mereka sendiri telah terlebih dulu melalui proses tarbiyah (pendidikan) ini.

Setiap ibu bapa sebenarnya perlu memiliki ilmu,pengetahuan dan kemahiran keibubapaan mengenai proses tarbiyah ini. Ilmu untuk membentuk anak menjadi hamba Allah yang berakhlak dan boleh berperanan dalam masyarakat. Malangnya, majoriti ibu bapa pada hari ini tidak berusaha untuk melengkapkan diri dengan ilmu, pengetahuan dan kemahiran ini. Mereka hanya mengharapkan sistem pendidikan formal – bermula dari tadika hinggalah institut pengajian tinggi, (jika anak berjaya melangkah ke peringkat itu) untuk mencapai matlamat pembentukan anak mereka.

Matlamat pendidikan yang formal ini terbatas kepada untuk membentuk warga negara yang beretika dan mampu berproduktiviti. Matlamat untuk membentuk hamba Allah SWT, yang benar imannya, sah ibadahnya, terpuji akhlaknya, dan berperanan dalam masyarakat, sebagai yang dikehendaki oleh Allah SWT, tidak ada atau tidak dicatatkan sejelas-jelasnya.

Justeru, tanggungjawab ibu bapa muslim adalah lebih mencabar lagi kerana matlamat mentarbiyah anak sebagaimana yang telah ditentukan oleh Islam adalah lebih luas, lebih mendalam dan lebih khusus lagi.

Penutup – Kepentingan Tarbiyah Islamiyah

Walaupun pengenalan pendidikan anak-anak adalah kasih sayang, yang perlu disemarakkan hingga anak mencapai kedewasaan; begitu juga mendoakan anak, wajib dilakukan hingga kita bertemu dengan Allah SWT, apa yang lebih penting dan lebih utama adalah membawa anak melalui proses pendidikan Islam yang mengambil dari proses pendidikan yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW terhadap para sahabat baginda. Proses ini wajib difahami oleh semua ibu bapa muslim dan wajib dilaksanakan ke atas anak-anak mereka.

Hanya melalui proses pendidikan yang diambil dari Rasulullah SAW sahajalah ibu bapa muslim dapat membentuk anak mereka menjadi hamba Allah, dengan izin Allah SWT. Keyakinan inilah yang harus ada di dalam jiwa ibu bapa yang berhajat untuk menjadikan anak-anak mereka sebagai anak soleh solehah dan menjadi sumber pahala untuk mereka di dunia dan di akhirat.


Tulisan Encik Rosdi Baharom. Beliau berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kekeluargaan dan keibubapaan. Beliau juga adalah Jurulatih Utama Famili Mithali. Boleh layari laman sesawang familimithali.com untuk mengikuti sentuhan penannya berkaitan pendidikan anak-anak.