fbpx

Tragedi Nahas Pesawat Malaysia Airlines MH370

Tragedi Nahas Pesawat Malaysia Airlines MH370

Tragedi Nahas Pesawat Malaysia Airlines MH370

BANDAR BARU BANGI, 9 Mac 2014 – Tragedi nahas Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang didakwa hilang daripada radar menara kawalan setelah berlepas kurang sejam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China pada 8 Mac telah menggemparkan rakyat Malaysia serta seluruh dunia. Banyak spekulasi, desas-desus dan berita-berita hangat yang tersebar memperkatakan isu ini terutama di media sosial saat ini.

Apatah lagi, pesawat milik syarikat Penerbangan Malaysia ini membawa seramai 239 orang penumpang dari 14 negara termasuk 38 rakyat Malaysia bersama 12 anak kapal dan dua bayi menimbulkan pertanyaan kepada kita semua berkaitan soal keselamatan dan nasib para penumpang dan krew yang terlibat yang belum diketahui secara rasmi sehingga berita ini ditulis.

HALUAN ingin menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada semua mangsa dan keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi ini. Tragedi ini merupakan satu bentuk musibah dan ujian daripada Allah SWT kepada kita semua sebagai rakyat Malaysia dan khususnya kepada mangsa serta keluarga mangsa. Dalam menghadapi musibah ini, marilah kita berdoa untuk yang terbaik, bersedia untuk sebarang musibah (let us pray for the best, be prepared for the worst).

Marilah kita menadah tangan berdoa kepada Allah SWT untuk kesejahteraan dan keselamatan kepada semua penumpang yang terlibat serta mengharapkan suatu kebaikan daripada musibah yang sedang dialami ini.

Sebagai rakyat Malaysia yang terkenal dengan sifat keprihatinan, suka bantu-membantu dan kaya dengan semangat khidmat kemanusiaan, ayuhlah sama-sama kita bersatu hati dalam menghadapi musibah sebegini dan memberikan sokongan moral kepada seluruh ahli keluarga mangsa agar terus tabah serta bersabar sambil menanti perkembangan terkini nahas ini dari semasa ke semasa.

Marilah kita pohon dengan penuh insaf dan kerendahan hati kepada Allah SWT agar Dia memberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan kepada seluruh ahli keluarga penumpang MH370 yang sedang berada dalam kesedihan dan trauma.

Dalam hal ini, kita tidak wajar untuk menuding jari dan menyalahkan pihak-pihak tertentu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung tetapi kita suburkanlah kepekaan kita dengan memberikan bantuan, pertolongan dan sumbangan yang termampu sebagai bukti semangat kemanusiaan sejagat.

Kita mengharapkan terzahirnya hikmah dan kebaikan daripada peristiwa yang berlaku ini sebagai satu pengajaran dan didikan daripada Allah SWT untuk kita semua. Mudah-mudahan tragedi yang berlaku ini akan mengembalikan kita semua kepada perhambaan kepada Allah SWT seperti yang difirmankan dalam Al-Quran yang bermaksud :

“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali. Mereka itulah yang memperoleh ampunan dan rahmat daripada Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah Al-Baqarah 2 : 155-157)

Allah SWT yang Maha Bijaksana lagi Maha Kuasa dalam setiap aturan dan ketentuan-Nya. Dia sajalah yang mengetahui hikmah di sebalik semua perkara yang berlaku di muka bumi ini.

Berakhlak, Mendidik Dan Berbakti

Dr Abdullah Sudin Ab Rahman
Presiden HALUAN