fbpx

Kepulangan Aktivis LL4G Malaysia Disambut Dengan Penuh Kesyukuran

Kepulangan Aktivis LL4G Malaysia Disambut Dengan Penuh Kesyukuran

Kepulangan Aktivis LL4G Malaysia Disambut Dengan Penuh Kesyukuran

Shah Alam, 6 Jun – Pengurusan Krisis Lifeline For Gaza telah mengadakan sambutan para relawan yang diadakan di Dewan Merbau, SS 17 pada jam 12.00 tengahari.


Upacara ini adalah anjuran CMT-LL4G bagi meraikan kepulangan para relawan yang menyertai konvoi Freedom Flotilla yang telah diserang oleh pihak Zionis Israel pada 31 Mei yang lalu.

Upacara ini telah dipengerusikan oleh setiausaha CMT-LL4G iaitu Saudara Solehudin Shuib,pemangku Ketua Biro HALUAN Palestin. Dalam ucapan pembukaannya beliau telah menyatakan tujuan majlis ini dilakukan adalah untuk menyambut para relawan dan majlis kesyukuran untuk menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT. Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan aluan-aluan oleh Pengerusi CMT-LL4G iaitu Zulkifli Nani yang juga merangkap Naib Presiden Muslim Care. Beliau, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dan memberi sokongan kepada kumpulan CMT-LL4G sepanjang tempoh serangan bermula kepada relawan LL4G sehingga ke sana kepulangan mereka ke tanah air. Menurut beliau, inilah tanda kesatuan rakyat Malaysia dalam menyokong isu Palestin.

Turut hadir dalam majlis tersebut kalangan pimpinan NGO yang lain antaranya, Setiausaha JIM, Nahar Mohd Noor, Pengerusi PACE, PM Dr. Mohd Hafizi Mohd Nor, Hj Mohd Sabri Md Yudin, Naib Presiden 2 HALUAN dan Dr. Hj Azizan Ahmad, Naib Presiden 3 HALUAN. Majlis turut disertai para wartawan dari pelbagai media.

Sejurus kemudian, majlis diteruskan dengan perkongsian pengalaman oleh Ketua Misi LL4G, Tuan Haji Noorazman Shamsudin. Dalam perkongsiannya, beliau menyatakan perasaan kesyukuran atas pembebasan ini, namun perjuangan untuk membebaskan dan menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin akan diteruskan. Lebih kurang 45 minit, beliau berkongsi cerita kepada para hadirin yang hadir dan harapan beliau agar usaha untuk membantu Palestin tidak berhenti setakat ini sahaja.

Kemudian, Majlis diteruskan dengan penyampaian sedikit sumbangan dan cenderahati daripada kumpulan CMT-LL4G kepada semua relawan. Upacara ini disampaikan oleh Presiden Haluan Malaysia, Dr Abdullah Sudin Abd Rahman kepada para relawan. Seterusnya ucapan penutup majlis telah disempurnakan oleh Dr Abdullah Sudin sekitar 15 minit. Beliau, mengingatkan bahawa untuk meraih kemuliaan disisi Allah SWT, seorang hamba Allah SWT harus melaksanakan pengorbanan. Dan inilah aspek yang sangat penting dalam diri seorang muslim. Pengorbanan itu akan meliputi harta, wang ringgit, tenaga, masa hatta kepada nyawa sekali pun. Beliau telah mengucapkan syabas dan tahniah kepada relawan kerana keberanian mereka dalam usaha untuk membantu rakyat Palestin. Kemudian majlis diakhir dengan bacaan doa oleh salah seorang wakil daripada Muslim Care.

Para relawan dan hadirin menikmati jamuan tengahari yang telah disediakan oleh pihak penganjur.