fbpx

“Wira sebenarnya bukan kami, Andalah Wira Itu” – Ketua Misi LL4G

“Wira sebenarnya bukan kami, Andalah Wira Itu” – Ketua Misi LL4G

“Wira sebenarnya bukan kami, Andalah Wira Itu” – Ketua Misi LL4G

SEPANG ,6 Jun- Kepulangan 12 sukarelawan Lifeline4Gaza disambut dengan meriah sebaik sahaja mereka tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.


Sambutan terhadap wira negara ini disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhuyidin Yassin dan turut bersama ialah para ahli keluarga relawan, sahabat handai dan badan-badan bukan kerajaan. Turut bersama dalam majlis sambutan ini, ialah kepimpinan HALUAN Malaysia yang diketuai oleh Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman, Presiden HALUAN Malaysia.

Perasaan gembira, sedih dan terharu jelas terbayang pada wajah sukarelawan yang tiba di tanah air. Mereka yang menunggu sempat bersalaman, dan mengucapkan ucapan tahniah kepada semua ahli sukarelawan LL4G.

“Kami tidak sangka dapat keluar dari Israel seawal ini. Kami rasa kami akan duduk di sana dalam sebulan, dua bulan atau mungkin setahun dua tahun lagi.

“Kami tahu Kedutaan Malaysia tidak akan masuk kerana tidak ada hubungan diplomatik (dengan Israel),” kata ketua misi Lifeline 4 Gaza (LL4G), Noorazman Mohd. Samsuddin.

Berkongsi pengalaman ketika ditahan tentera Israel pada sidang akhbar di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba di tanah air awal pagi ini, kesemua 12 sukarelawan itu memanjatkan syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Jordan yang berusaha membawa mereka keluar dari Israel secepat mungkin.

Tuan Haji Noorazman dan sebelas lagi sukarelawan Malaysia berada dalam kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza ketika diserang tentera Israel pada Isnin lepas, tiba di tanah air kira-kira pukul 5.40 pagi ini.

“Wira sebenarnya bukan kami. Wira yang sebenar adalah mereka yang berdoa, bersolat hajat dan berusaha untuk keluarkan kami. Kamulah sebenarnya wira-wira itu,” kata ketua biro Palestin Haluan Malaysia itu.

Mereka yang diraikan itu ialah ketua misi sukarelawan, Noorazman Mohd. Samsuddin diikuti Dr. Mohd. Arbai’e Syawal, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al-Haddad, Al-Hami Husain Suhaimi, dan Mohd. Nizam Mohd Awang. Kesemua mereka ini merupakan sukarelawan dari HALUANPalestin. Tujuh lagi sukarelawan ialah Hasanuddin Mohd. Yunus (Aqsa Syarif), Jamuliddin Elias;(Yayasan Amal) Dr. Selamat Aliman (JIM); Abdul Halim Mohd. Redzuan; (Muslim Care) Mustafa Mansur (MAPIM); Ashwad Ismail (wartawan Astro Awani) dan Shamsul Kamal Latif (jurukamera Astro Awani).

Pada jam 8.15 pagi para sukarelawan bergerak menuju kediaman peribadi Perdana Menteri Malaysia untuk bertemu dengan perdana menteri dan bersarapan di sana.

Kemudian, aktivis dan ahli keluarga bergerak menuju ke Dewan Merbau Seksyen 17, Shah Alam bagi bersama-sama menghadiri majlis Sambutan dan Sidang Media anjuran Pasukan Pengurusan Krisis (CMT)-LL4G yang bermula pada jam 12.00 tengahari

Di sebelah malam pula, para aktivis dijemput menghadiri sesi perkongsian pengalaman bersama 12 sukarelawan yang diadakan secara siaran langsung dari studio angkasapuri, RTM. Dalam sesi yang diadakan pada jam 10 malam ini secara langsung di RTM 1, para sukarelawan telah berkongsi pengalaman mereka sepanjang berada di dalam kapal Mavi Marmara dan juga berada dalam tahanan Israel. Perkongsian selama sejam 15 minit, memberi gambaran secara jelas akan tindakan kekejaman Israel dan ia membuktikan bahawa Zionis Israel akan melakukan apa sahaja untuk menghalalkan tindakan zalim mereka terhadap penduduk Palestin.