fbpx

Zionis Punca Bumi Palestin Bergolak

Zionis Punca Bumi Palestin Bergolak

PENDERITAAN rakyat Palestin bermula sejak Zionis menyerang Palestin pada 1948. Sebelum kehadiran Zionis di Jerusalem, penduduk Muslim, Kristian dan Yahudi hidup dengan aman. Sejarah menunjukkan bahawa sikap beberapa pemimpin Arab yang terlalu berkiblatkan barat memberi peluang yang besar kepada Zionis untuk menunjukkan taring mereka. Tambahan pula penubuhan negara Israel pada 1948 adalah hasil kerjasama negara barat dan Zionis. Masyarakat Zionis dibela oleh kuasa barat sejak selepas Perang Dunia Kedua terutama Amerika Syarikat (AS).

Penghijrahan berpuluh ribu orang Yahudi dari negara barat dan pelosok Arab ke Jerusalem begitu pantas setelah Zionis bertapak di Palestin. Orang Yahudi dari Rusia adalah jumlah yang paling ramai berhijrah ke Palestin. Sejak itu, penduduk Palestin terpaksa menghadapi pelbagai kerenah dan kekejaman Israel yang dibantu oleh negara-negara barat sejak berpuluh tahun lamanya. Zionis terlalu angkuh membunuh umat Islam di Palestin kerana kewujudan negara tersebut mendapat restu dan perlindungan dari negara-negara barat. Peristiwa penyembelihan orang awam lebih daripada 300 orang oleh tentera Israel di kem pelarian di Shubra dan Shatila pada September 1982 sudah cukup memperlihatkan betapa kejamnya Zionis terhadap umat Islam. Mereka menjadi lebih angkuh dan kejam kerana para pemimpin negara Arab kaku apabila membahaskan hak dan kedudukan penduduk Palestin kerana kaki dan tangan mereka diikat dan mata mereka ditutup akibat amaran daripada kuasa besar yang sering dilontarkan kepada mereka. Bagi memperkukuhkan kedudukan Israel, AS menekan negara-negara Arab dengan pelbagai amaran. Tekanan terhadap negara Arab yang ditunjukkan oleh AS pada peringkat awal selepas Perang Dunia Kedua adalah menentang setiap aspek berkaitan dengan perseteruan terhadap Israel termasuk ketenteraan, perluasan ketenteraan, pembelian senjata, memboikot ekonomi, mengambil penasihat ketenteraan Rusia yang cuba mengecualikan Israel daripada forum antarabangsa, menyediakan perlindungan kepada pejuang Islam menentang Israel, menolak rundingan serta menolak sebarang sikap dan tindak tanduk yang dianggap sebagai tidak bersahabat dengan Israel. Pembunuhan rakyat Palestin merupakan satu gertakan sinis rejim Zionis terhadap pemimpin Arab yang sentiasa sujud di kaki kuasa besar yang merupakan penaung kepada kedaulatan mereka. Masyarakat Palestin tidak akan terbela jika umat Islam tidak bekerjasama dengan masyarakat dunia menentang kekejaman Israel. Pertumpahan darah di tanah Palestin bukan merupakan simbol peperangan agama tetapi berhubung kait dengan penghapusan kaum dan perluasan wilayah Israel. Negara-negara Arab seperti Mesir tidak boleh diharapkan untuk membela rakyat Palestin kerana negara itu juga menghadapi pelbagai masalah dalaman dan luaran. Para pemimpin negara Arab lebih menumpukan perhatian kepada pergolakan politik dalaman di mana rakyat bangun memberontak apabila mereka melaksanakan dasar negara berteraskan kepada pemahaman ideologi yang bertentangan dengan akidah Islam terutamanya ideologi sosialis seperti Iraq (ketika Saddam Hussin), Syria (semasa Hafiz al-Asad), dan Mesir (ketika pemerintahan Jamal Abdel Nasir). Pergolakan politik dan kemiskinan merupakan permasalahan negara-negara Arab yang merupakan jiran Palestin. Berlandaskan kepada suasana begini, rakyat Palestin semakin terhimpit apabila Zionis menunjukkan taring mereka. Ketidakstabilan politik, ekonomi dan sosial menyebabkan para pemimpin Arab tunduk kepada kuasa barat. Perkara ini dijelaskan oleh Presiden Anwar Sadat dalam bukunya, In Search of Identity: An Autobiograph, New York: Harper and Row Publisher, 1977. Beliau menyatakan, “Legasi ekonomi yang ditinggalkan oleh Presiden Jamal Abdel Nasir kepada saya adalah dalam bentuk yang terlalu miskin daripada keadaan politik. Negara-negara yang bebas dan merdeka lebih menumpukan perhatian kepada ekonomi daripada slogan politik. Kami telah melakukan satu kebodohan meniru bentuk ideologi sosialis Rusia walaupun kami kekurangan kebolehan teknikal dan modal. Pada tahun 1970, kami hanya bergantung kepada sumber yang kami ada, tidak ada sebarang bantuan asing sama ada Rusia, AS, Eropah Barat atau Arab. Kesemua bantuan yang kami dapat dari dunia luar kami salah gunakan. Ekonomi kami telah hancur akibat daripada Peperangan Yaman, pelaksanaan sosialis Marxist dan kekalahan dalam peperangan dengan Israel pada 1967. Apabila saya memegang kuasa dalam masa dua tahun dari 1970, ekonomi Mesir mungkin menjunam kepada kosong. Saya bertanya Dr.Hasan Abbas Zaki mengenai keadaan ekonomi. Beliau berkata bahawa perbendaharaan adalah kosong dan kita hampir bankrap”. Berdasarkan kedudukan ekonomi begini maka Mesir terpaksa tunduk kepada AS untuk mendapat bantuan dalam pelbagai bentuk subsidi sehingga akur dengan setiap perjanjian yang dimeterai oleh kuasa besar tersebut. Anwar Sadat menyatakan bahawa lima hari sebelum Peperangan Oktober 1973 (Peperangan dengan Israel untuk membebaskan Sinai dari Israel), beliau meminta Majlis Keselamatan Negara menghadapi realiti bahawa ekonomi Mesir telah jatuh kepada ke tahap bawah daripada kosong. Bagi menjamin kedudukan ekonomi, Anwar Sadat terpaksa mendapat bantuan dari negara barat. Mesir bergantung sepenuhnya kepada bantuan AS dan Britian dari sudut ekonomi dan keselamatan negara. AS menyediakan bantuan purata tahunan melebihi AS$2 bilion dalam ekonomi dan ketenteraan sejak 1979. Pada tahun 2008 Bantuan Kewangan Ekonomi dikurangkan kepada AS$400 juta setahun. Tindakan pengurangan itu juga dilakukan kepada Israel. Mesir merupakan negara yang mendapat bantuan kewangan terbesar dari AS. Berdasarkan hubungan ekonomi dan keselamatan maka Mesir terpaksa mengikut telunjuk AS. Hasil daripada kerjasama Mesir dan AS pada 1974-1975, Anwar Sadat telah mengadakan perjanjian secara tidak rasmi dengan AS dan mengadakan lawatan ke Juresalem pada 1977, menandatangani Perjanjian Camp David secara rahsia, dan seterusnya menandatangani Perjanjian Keamanan Mesir-Israel yang mana memberi keuntungan yang besar kepada Israel walaupun mendapat tentangan hebat dari dunia Islam. Mesir tidak akan membuka sempadannya bagi bantuan kemanusiaan jika AS tidak membenarkan mereka melakukannya. Oleh itu, umat Islam perlu bekerjasama dengan masyarakat dunia mempertahankan konsep kemanusiaan secara global. Dalam era globalisasi, pergerakan dan tindakan manusia tidak dibatasi oleh bangsa, agama dan budaya. Jika Zionis ingin menunjukkan taringnya dengan membunuh rakyat Palestin dan aktivis bantuan kemanusiaan, maka mereka akan disisihkan masyarakat dunia. Justeru, umat Islam perlu mempertahankan konsep universaliti dalam setiap aspek kehidupan supaya perjuangan rakyat Palestin dibela atas dasar kemanusiaan sejagat. Ini adalah satu cara terbaik  untuk menghentikan pengaliran darah dan kemusnahan rumah suci penganut agama samawi yang dilakukan oleh Zionis. Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN, Penulis ialah pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sumber: Utusanonline