fbpx

Keibubapaan Adalah Suatu Tanggungjawab Yang Besar

Keibubapaan Adalah Suatu Tanggungjawab Yang Besar

Keibubapaan Adalah Suatu Tanggungjawab Yang Besar

Salah satu anugerah Allah SWT yang sangat berharga kepada setiap pasangan suami isteri adalah anak. Semua ibu bapa muslim yang dikurniakan anak oleh Allah SWT berhajatkan agar anaknya menjadi anak yang soleh, anak yang mempunyai hubungan yang rapat dengan Allah SWT, yang menta’ati-Nya dan memiliki akhlak terpuji.

Anak yang soleh yang bukan saja kukuh hubungannya dengan Allah SWT tetapi mempunyai ilmu serta kepakaran yang boleh memberikan sumbangan yang bermakna kepada masyarakat Islam. Anak yang soleh sebagaimana yang disebutkan di atas sebenarnya adalah natijah atau produk, yang tidak mungkin dapat dilahirkan kecuali anak tersebut dibawa melalui proses tarbiyah (pendidikan).

Hakikat perlunya proses tarbiyah ini mungkin tidak disedari oleh para ibu bapa walaupun natijah anak soleh ini sememangnya dihajati. Jika disedaripun ramai dari mereka yang tidak memahami bagaimana hendak melaksanakan proses tarbiyah ini.

Majoriti ibu bapa pada hari ini, hanya menumpukan keperluan fizikal dan mental anaknya saja tanpa memikirkan bagaimana untuk membentuk anak-anak yang bernilai agar mampu menjadi hamba Allah. Bahkan, aspek mental yang difokuskan itu ada juga lompongan yang diabaikan tanpa sedar.

Anak yang ditarbiyah dengan sebaiknya sehingga menjadi anak soleh akan menjadi ‘sumber pahala yang berterusan’, walaupun kedua ibu bapa telah lama meninggalkan dunia ini. Ini telah diungkapkan oleh Dr Muhammad Abdul Bari (2002) mengenai kekesalan seorang ayah yang disegani oleh masyarakatnya apabila sang ayah meluahkan isi hatinya kepada beliau bahawa anak gadisnya telah melarikan diri bersama seorang pemuda bukan muslim dan hidup bersama tanpa hubungan pernikahan yang sah.

Sang ayah telah berkata:

“I don’t blame anyone except myself. I was her biological father, but what did I give her except physical nourishment? I myself was ignorant; if only I had been a bit farsighted then!”

Terjemahannya:

“Saya tidak menyalahkan sesiapapun melainkan menyalahkan diri saya sendiri. Saya adalah ayah kandungnya, tetapi apa yang telah saya berikan kepadanya melainkan makanan fizikal (jasadi) saja. Saya adalah seorang yang jahil (tentang tanggungjawab yang sebenarnya sebagai seorang ayah); alangkah baiknya jika saya lebih berpandangan jauh!”

Dewasa ini, luahan seperti di atas seringkali kita dengari. Ya, masalah sosial dan keruntuhan akhlak sebegini sangat menyedihkan serta menghancurkan hati ayah ibu tetapi jika dilihat ke belakang, sebelum anak tersebut menjadi remaja, apakah proses yang telah dilalui oleh anak untuk membentuk dirinya menjadi hamba Allah?

Sedarkah kita bahawa sebelum anak kita menjadi ‘liar’ majoriti anak kita adalah anak ‘terbiar!’

Dr Muhammad Abdul Bari (2002) juga menjelaskan bahawa tanggungjawab keibubapaan merupakan satu tanggungjawab yang besar dan sangat penting, dengan menulis:

“Parenting is an enormous job. It demands emotional, psychological and spiritual maturity. It combines the job of parent, teacher, mentor and spiritual guide. Providing the child with decent food, clothing and shelter is the minimum. Parenting is much more than that. It is a life process and, as such a learning one for parents as well.”

Terjemahannya:

“Keibubapaan adalah satu tugas yang sangat besar. Ia menuntut kematangan emosi, psikologi dan ruhani. Ia (keibubapaan) menggabungkan tugas sebagai ibu atau bapa, guru, mentor dan pembimbing ruhaniyah. Menyediakan anak dengan makanan, pakaian dan tempat tinggal yang wajar, adalah perlaksanaan tanggungjawab yang minimum. Tanggungjawab (keibubapaan) ini jauh lebih besar dari itu. Ia adalah proses kehidupan dan proses pembelajaran juga bagi ibu dan bapa.”

Anak Perlu Dididik Menjadi Hamba Allah SWT

Tugas utama Rasulullah SAW dan para rasul diutuskan oleh Allah SWT adalah untuk mengajar, membimbing dan membentuk manusia menjadi hamba Allah, kerana sememangnya manusia dicipta hanyasanya untuk menjadi hamba Allah dan bukan sekali-kali menjadi hamba nafsu, hamba harta, hamba negara dan sebagainya.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.”

( Ad-Dzariyat: ayat 56)

Matlamat mentarbiyah anak bukanlah satu yang samar-samar atau kabur. Produk atau natijah yang dihajati dari segala usaha kita dalam mentarbiyah anak telah digariskan oleh Allah SWT di dalam ayat di atas, yaitu menjadi hamba Allah, yang mengabdikan seluruh hidupnya kepada Allah SWT dan hanya kepada Allah SWT sahaja.

Walaupun matlamat ini jelas, tetapi jalan atau kaedah pembinaan anak sabagai hamba Allah SWT tidaklah difahami oleh ibu bapa melainkan mereka sendiri berusaha untuk memahami proses pembentukan hamba Allah ini dan mereka sendiri telah terlebih dulu melalui proses tarbiyah ini.

Setiap ibu bapa sebenarnya perlu memiliki ilmu dan kemahiran keibubapaan mengenai proses tarbiyah ini, untuk membentuk anak menjadi hamba Allah yang berakhlak dan sekali gus boleh berperanan dalam masyarakat.

Penutup – Sedarkah Kita Akan Hakikat Ini?

Malangnya, majoriti ibu bapa pada hari ini tidak berusaha untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang sewajarnya. Mereka hanya mengharapkan sistem pendidikan rasmi – bermula dari tadika hinggalah institut pengajian tinggi, (jika anak berjaya melangkah ke peringkat itu) untuk mencapai matlamat pembentukan anak-anak mereka. Matlamat pendidikan yang rasmi ini terbatas kepada untuk membentuk warga negara yang beretika dan mampu berproduktiviti.

Matlamat untuk membentuk dan membangunkan jiwa sebagai seorang hamba Allah yang benar imannya, sah ibadahnya, terpuji akhlaknya, dan berperanan dalam masyarakat, sebagai yang dikehendaki oleh Allah SWT, tidak ada atau tidak dicatatkan sejelas-jelasnya. Justeru, tanggungjawab ibu bapa muslim adalah lebih mencabar lagi kerana matlamat mentarbiyah anak sebagaimana yang telah ditentukan oleh Islam adalah lebih luas, lebih mendalam dan lebih khusus lagi.

Artikel tulisan Encik Rosdi Baharom. Boleh ikuti penulisan beliau di ruangan Tarbiyatuna di laman sesawang kekeluargaan FamiliMithali.Com