fbpx

JDK 2013/14 Melabuh Tirai Dengan Gemilang

JDK 2013/14 Melabuh Tirai Dengan Gemilang

JDK 2013/14 Melabuh Tirai Dengan Gemilang

ULU YAM, 4 Jan 2014 – Di kelilingi kehijauan dan kesegaran flora dan fauna, jiwa anak-anak muda yang berkampung di Pusat Latihan Asnaf Zakat (PLAS), Lembaga Zakat Selangor penuh tersentuh apabila Kursus Jatidiri & Kesukarelawanan Remaja (JDK) 2013/14 peringkat Zon Tengah melabuhkan tirai. Begitu juga dengan empat zon yang lain di Terengganu, Johor, Perak dan Sabah juga turut sama membunyikan semboyan akhir.

Majlis penutupan JDK 2013/14 di Selangor telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Razali Shahabudin. Beliau melahirkan rasa bangga dan menyifatkan kerjasama HALUAN, JAKIM dan Kolej Teknologi Darul Naim (KTD) telah berjaya menyemai benih generasi remaja yang dinamik dan mempunyai asas kepimpinan. Ia membuka lanskap minda peserta di kala melangkah kaki di dalam kehidupan nanti. Menurutnya lagi, JAKIM akan terus memberikan sokongan dan bantuan semaksima mungkin dalam setiap usaha pembangunan insan oleh HALUAN yang berteraskan Islam sebagai deen. Di tahun ke lima penganjurannya, JDK dilihat berjaya menjadi ikon kepada para remaja lepasan SPM dalam mempersiapkan diri sebelum ke menara gading.

Mengiringi Dato’ Razali adalah Naib Presiden 2 HALUAN, Sr Mohd Sabbri Md Yuddin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk JDK; Yang Dipertua HALUAN Selangor, Ir Abd Aziz Md Ali merangkap Penasihat JDK Zon Tengah, dan barisan exco HALUAN. Turut hadir di majlis penutupan adalah Pengurus PLAS, Ustaz Hamiruddin Hashim, masyarakat setempat serta para ibubapa peserta. Dato’ Razali turut menyampaikan sijil dan hadiah kepada para peserta.

Sepanjang kursus dari 14 Disember 2013 hingga 4 Januari itu, JDK Zon Tengah menampilkan kelainan apabila peserta telah bertandang ke Pusat Perkembangan Kemahiran (PPK) dan rumah orang-orang tua di Kuala Kubu Bharu. Selain itu, mereka juga berpeluang berbakti dengan mengaplikasikan pemasangan paip dan meraikan warga tua sewaktu mengunjungi lokasi tersebut. Para peserta juga berpeluang berinteraksi dengan masyarakat apabila mengadakan gotong-royong dan mengikuti perkongsian pengalaman Biro HALUAN Palestin di Surau Al Muttaqin, Fasa 1B, Antara Gapi.

Banyak kenangan terpahat di sanubari para remaja JDK sepanjang 21 hari dengan dibimbing oleh fasilitator mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi serta sukarelawan HALUAN secara bergilir-gilir. Berkongsi rasa serta bertukar-tukar pengalaman tentunya memberikan mereka gambaran secara lebih jelas demi mengadaptasikan anjakan paradigma sebagai remaja yang bakal mengharungi kehidupan dewasa. Tidak dapat disembunyikan keterikatan mereka apabila titisan air mata menjadi ganti kata bicara di hari perpisahan. Agar mereka terus menyambung ukhuwah ini walau di mana sahaja mereka berada.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua yang telah menjayakan JDK 2013/14. Semoga usaha yang sedikit ini Allah akan nilaikan sebagai amal yang baik, bekalan untuk ke syurga-Nya nanti. Bagi mereka yang ada adik-adik atau anak yang bakal menduduki SPM pada tahun 2014, jangan lupa menempah tempat lebih awal dengan menelefon Ibu Pejabat HALUAN di talian 03-8926 8892 atau emel info@haluan.org.my.

Laporan Khairul Azman Ahmad Abkari, Biro Penerangan HALUAN