fbpx

Asrama HALUAN Penyayang Terima 27 Penghuni

Asrama HALUAN Penyayang Terima 27 Penghuni

Asrama HALUAN Penyayang Terima 27 Penghuni

ahp-01SHAH ALAM, 14 Jan 2014 – Sesi persekolahan 2014 yang bermula awal bulan ini menyaksikan pendaftaran seramai 27 orang murid di Asrama HALUAN Penyayang (AHP) yang merupakan anak-anak yatim dan miskin dari Selangor, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Sabah. Mereka terdiri daripada 17 lelaki dan 10 perempuan, berumur di antara tujuh ke 17 tahun.

Bersempena hari orientasi penghuni AHP 2014, Biro Kebajikan HALUAN telah membuat lawatan ke AHP yang terletak di Bukit Naga, Seksyen 32 pada 11 Januari lepas. Rombongan diketuai Encik Azhar Idris selaku Ketua Biro Kebajikan HALUAN bersama 13 orang ahli HALUAN yang lain. Mereka telah menyantuni penghuni AHP dengan sarapan pagi bersama, sesi berkenalan dan beramah mesra, sesi bergambar dan diakhiri dengan persembahan oleh anak-anak AHP. Persembahan mereka yang kreatif dan berbakat amat menghiburkan dan mencuit hati.

“HALUAN komited untuk membela dan membangunkan potensi anak-anak AHP ini agar mereka kelak menjadi insan berguna kepada agama dan negara. Usaha-usaha mencari dana dan bantuan untuk AHP akan diteruskan dengan lebih giat lagi. Kita menyeru masyarakat untuk sama-sama menyumbang kepada AHP demi membela golongan anak-anak yatim dan miskin ini di mana ganjaran pahalanya amat besar di sisi Allah,” berkata Azhar di majlis itu.

Tergambar keriangan dan keceriaan di wajah anak-anak AHP, manakala rombongan Biro Kebajikan HALUAN beredar dengan rasa terharu dan puas selepas bersalaman dengan anak-anak tersebut.

Selaras dengan motto HALUAN iaitu ”Berakhlak, Mendidik dan Berbakti”, Biro Kebajikan HALUAN telah menubuhkan AHP pada bulan Januari 2006.

AHP merupakan sebuah pusat aktiviti pendidikan dan penginapan bagi anak-anak yatim dan fakir miskin. Di sini, pihak HALUAN dan pengurusan asrama berusaha menyempurnakan segala keperluan asas, pendidikan, bimbingan dan motivasi serta latihan kepada penghuni di situ agar mereka terbela dan terbina kemantapan sahsiah diri.

Mereka disediakan dengan keperluan asasi seperti makan, minum, penginapan dan bantuan pelajaran; juga dibangunkan potensi diri dalam aspek fizikal, mental, rohani dan emosi melalui pelbagai program dan aktiviti, menurut pengurus pusat berkenaan, Encik Wan Mohd Rafi Wan Husin.

“Objektif jangka panjang kami ialah melahirkan pelajar yang cemerlang akademik, sihat fizikal, beremosi seimbang dan memiliki akhlak soleh musleh. Dari suasana yang tidak terjamin sebagai anak yatim atau fakir miskin sebelumnya, kami akan memupuk anak-anak ini sejak kecil untuk membina keyakinan diri dan mampu bersaing dengan pelajar-pelajar lain. Kami membiayai operasi AHP ini dengan sumbangan masyarakat dan pihak-pihak koporat yang sudi membantu. Sememangnya kos operasi kami sangat tinggi dan tidak termampu untuk HALUAN menanggungnya sendirian tanpa bantuan ikhlas daripada pihak penderma,” katanya.

Bagaimana anda boleh membantu mereka?

Tajaan dermasiswa penghuni asrama sebanyak RM 400.00 seorang untuk sebulan.
Sumbangan wang sumbangan secara tetap bulanan atau tahunan.
Tajaan barangan makanan seperti beras, gula, minyak masak, roti, biskut, bawang, ubi kentang, sos, kicap dan seumpamanya.
Sumbangan keperluan pelajar seperti pakaian seragam sekolah dan badan berunifom, pakaian harian dan ibadah, alatulis, peralatan sukan dan barangan kebersihan diri.
Sumbangan perabot atau peralatan seperti kerusi, meja dan almari.
Sumbangan tenaga, ilmu atau kepakaran seperti pengisian kelas tambahan, motivasi, psikologi, teknik belajar, bernasyid, berkompang, dan sebagainya.
Sumbangan pembiayaan bulanan berbentuk fleet card minyak petrol dan disel untuk dua buah van kepunyaan AHP.
Para dermawan boleh menyumbang terus ke AHP di alamat di atas atau melalui akaun berikut:

Nama Akaun: Tabung Anak Yatim Dan Miskin HALUAN Penyayang
Bank: Bank Islam Malaysia Berhad
No Akaun: 12-038-01-008109-8

Hubungi Asrama HALUAN Penyanyang

Asrama HALUAN Penyayang mengalu-alukan pandangan, cadangan, nasihat, pertanyaan dan juga sumbangan. Anda boleh menghubungi mereka di alamat di atas atau hubungi:

Ketua Biro Kebajikan HALUAN, Azhar Idris (012-6012743)
Penyelaras Pusat Jagaan HALUAN, Abdul Halim Khudri (019-4644357)
Pengerusi AHP, Nasaruddin Abdul Manaf (019-5592042)
Pengurus AHP, Wan Muhammad Rafi (013 6714 502)
Mudir AHP, Abdul Manas (019-3084476)
Setiausaha Kerja AHP, Shahril Ramli (013-3984550)