Jihad dan Pengorbanan Bawa Kejayaan Hakiki
BANDAR BARU BANGI, 9 Ogos 2019 — Kejayaan hakiki yang dinikmati oleh para solafus soleh zaman dahulu tidak ternilai harganya kerana mereka telah membayarnya dengan jihad dan pengorbanan yang tiada tolok bandingan.
“Maknanya, kalau Islam telah dapat berdaulat dalam mentamadunkan manusia dengan tercetusnya pengorbanan generasi awal, maka untuk kita generasi ini kembali berdaulat sedemikian haruslah kita meniti semula jambatan pengorbanan dan jihad generasi dahulu,” berkata presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman dalam perutusan khas sempena Aidiladha 1440H.
Katanya, simbolik pengorbanan Nabi Ibrahim AS ialah bulatnya keyakinan dan tekad baginda terhadap janji-janji Allah SWT hingga tiada lagi hijab yang dapat mewas-waskan beliau. Keyakinan inilah yang sudah pudar daripada hati umat Islam kini sehinggakan pengorbanan dan jihad untuk membentengi Islam sudah tiada lagi.
“Kita kena menyuburkan pengorbanan ini yang pokoknya ialah pengorbanan jiwa dan harta benda serta pengorbanan masa, pemikiran, tenaga, kepakaran dan semua bentuk-bentuk pengorbanan yang diperlukan untuk membina kembali daulah Islam yang sudah lama hilang. Tanpa jihad dan pengorbanan, dari segi asbabnya tidak mungkin umat ini akan mampu kembali memerintah dunia,” ujar beliau.
Walau bagaimanapun, dalam konteks Islam, jihad dan pengorbanan itu akan berhasil hanya bila ada pertolongan daripada Allah SWT. Pertolongan itu hanya akan datang dengan ujudnya iman, Islam dan taqwa dalam hati dan sanubari umat ini.
Dr. Abdullah berkata lagi, melaksanakan tanggungjawab dalam agama Islam ini harus ditekuni dan berlaku secara berterusan tidak kira apa rintangannya. Contohnya, semua nabi-nabi terpaksa berdepan dengan jihad dan pengorbanan seperti Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Rasul SAW hingga ada di antara mereka berkorban nyawa dan harta yang begitu besar.
Golongan ini telah disebut oleh Allah SWT dalam Quran dalam surah At-Taubah ayat 111 yang berbunyi
إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.”