fbpx

Korban Untuk Orangasli di Desa Kemandul

Korban Untuk Orangasli di Desa Kemandul

Korban Untuk Orangasli di Desa Kemandul

KELANG, 14 Ogos 2019 — Ibadah korban HALUAN cawangan Selangor telah dilaksanakan di Desa Kemandul dekat sini dengan HALUAN menyumbang seekor daripada tujuh ekor lembu. Program ini adalah program tahunan HALUAN Selangor yang bekerjasama dengan pelbagai agensi dalam meraikan masyarakat orang asli di sini.

Korban Perdana Desa Kemandul tersebut dijayakan dengan lembu-lembu sumbangan Jabatan Kemajuan Orang Asli sebanyak dua ekor, diikuti seekor setiap satu oleh Bank Ar-Rajhi, Kerajaan Negeri Selangor, Ahli Parlimen Kuala Langat, HALUAN cawangan Selangor dan keluarga Haji Borhan.

Acara ini turut disertai oleh ahli qariah Masjid Jenjarom, wakil-wakil daripada penyumbang dan Kumpulan Bikers Jenjarom. Antara yang hadir adalah Pegawai Tadbir PAID Kuala Langat, Ustaz Ramli Sidom, Wakil JAIS dan pengerusi Masjid Jenjarom, Ustaz Rafie Hashim, wakil Pejabat Ahli Parlimen Kuala Langat, Encik Abu Bakar Abdullah dan pegawai JAIS di Desa Kemandul, Ustaz Arif Abdullah.

HALUAN cawangan Selangor turut membawa beberapa orang pelajar daripada sekolah angkatnya, Sekolah Menengah Ibn Khaldun, untuk meraikan anak-anak orang asli di sepanjang program itu berlangsung.

Naib Pengerusi HALUAN Selangor, Encik Hamdan Mokhtar, berkata bahawa program tersebut memberikan pendedahan yang penting kepada ahli HALUAN untuk mendekati masyarakat dan memberi khidmat kepada mereka yang memerlukan. Beliau menambah, HALUAN cawangan Selangor akan terus komited untuk terlibat dalam program sebegini di masa akan datang.

___
Laporan Amirul Anuar Azman, Setiausaha Kerja HALUAN Cawangan Selangor.