fbpx

HALUAN P.Pinang Sedia Bantu Korban Oleh ASSAK77

HALUAN P.Pinang Sedia Bantu Korban Oleh ASSAK77

HALUAN P.Pinang Sedia Bantu Korban Oleh ASSAK77

AIR BANUN, GERIK, 8 Ogos 2019 — HALUAN bersetuju membantu Persatuan Alumni Sekolah Menengah Sains Kedah (ASSAK77) untuk melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha yang bakal menjelang pada tahun ini.

Untuk itu, dua mesyuarat berasingan telah dilaksanakan untuk memastikan kejayaan program tersebut. ASSAK77 buat pertama kalinya berhasrat melaksanakan ibadah korban mereka khusus untuk golongan miskin di lokaliti mereka sendiri. Mereka telah memilih Kampung Air Banun, sebuah kampung orangasli terpencil di daerah Tasik Banding dekat sini sebagai tempat berkorban.

Untuk mencapai hasrat tersebut, ASSAK77 telah menghubungi pihak HALUAN yang berpengalaman luas melaksanakan aktiviti korban di dalam dan luar negara. Menurut koordinator program ASSAK77, Encik Syed Ellias Syed Ismail, kelainan aktiviti menyantuni masyarakat oleh ASSAK77 ini membawa paradigma baru bagi alumni lepasan sekolah berusia 46 tahun berkenaan. ASSAK77 merupakan kumpulan perintis sekolah berkenaan sejak tahun 1973.

“Kami pernah santuni golongan kurang upaya seperti cacat penglihatan dan anak-anak maahad tahfiz di kawasan utara sini. Kali ini, kami mengambil keputusan untuk menyantuni terus penduduk asal orangasli di pedalaman pula. Kami dapat maklumat yang mereka ini miskin, terpinggir tetapi mahu maju ke hadapan. Pastinya pengalaman ini tidak dapat kami lupakan kerana ia pertama kali buat kami dan juga kami tidak pernah memasuki kampung pedalaman orangasli,” katanya kepada wartawan HALUAN.

Di pihak HALUAN pula, kesediaan membantu sebagai pasukan sukarelawan sudah menjadi lumrah.

“Apabila kami mendapat pertanyaan daripada ASSAK77, kami berbincang dahulu dan bersetuju membantu walaupun kami sendiri di Pulau Pinang akan mengorbankan empat ekor lembu pada raya kedua. Pada masa yang sama, kami tidak mahu menghampakan hasrat pihak ASSAK77 tersebut, maka kami menawarkan aktiviti korban mereka pada hari raya ketiga. Walaupun kami akan keletihan, tetapi sudah memang lumrah kami untuk membantu selagi berdaya,” berkata Naib YDP 4 HALUAN Pulau Pinang, Encik Shukri Nordin.

Untuk menjayakan projek berkenaan, HALUAN telah membawa wakil-wakil ASSAK77 masuk ke kampung berkenaan untuk mengadakan perbincangan awal dengan Tok Batin serta anak-anak buahnya. Pertemuan yang berlangsung di surau kampung berdekatan, Kampung Sungai Raba, pada 28 Julai lepas itu adalah perancangan untuk mendapatkan persetujuan dan kerjasama daripada pihak kampung dan penggerak dakwah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) di sana.

ASSAK77 telah diwakili oleh Encik Syed Ellias sendiri dan ketua unit Humanitinya, Encik Mazlan Ayob. Turut hadir di pihak HALUAN adalah barisan kepimpinan negeri termasuk Cikgu Subberi Ramli, Encik A. Ghani Md. Taib, dan ketua koordinator projek orangasli HALUAN Pulau Pinang, Dr Ahmad Ikhwan Subberi. JAIP telah diwakili oleh Ustaz Mohd Bahari Latif. Hadir sama adalah Tok Batin Ceknekleg dari Kampung Air Banun berserta Tok Batin Kampung Sungai Raba, Encik Ali Bah Pintu.

Susulan mendapat kataputus daripada mesyuarat berkenaan, HALUAN telah melaksanakan mesyuarat dalamannya sendiri pada 7 Ogos untuk menyusun jentera penggeraknya membantu ASSAK77 menjayakan program korban berkenaan. Mereka telah mengambil keputusan untuk mempersiapkan logistik membawa peralatan lengkap pada malam 12 Ogos dan tidur di kampung berkenaan. Korban akan dilaksanakan seawal 7.30 pagi keesokkannya untuk membolehkan daging disiapkan untuk agihan ke empat buah kampung di samping persediaan memasak nasi dan lauk untuk jamuan dua buah kampung berdekatan.

Kampung-kampung orangasli yang akan menerima daging korban adalah kampung sasaran utama iaitu Kampung Air Banun, disusuli Kampung Sungai Raba, Kampung Kolam dan Kampung Bagan.

__
Laporan Unit mediaHALUAN Pulau Pinang