fbpx

JDK Ke-5 Terpahat di Hati Remaja

JDK Ke-5 Terpahat di Hati Remaja

JDK Ke-5 Terpahat di Hati Remaja

jdk-01-01BANDAR BARU BANGI, 14 Dis 2013 – Kursus Jatidiri Dan Kesukarelawanan Remaja atau JDK anjuran HALUAN Malaysia kini di tahun kelima penganjurannya dan semakin mendapat tempat di hati para belia pra-universiti.

Kursus kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kolej Teknologi DarulNaim (KTD) ini semakin popular di kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam mempersiapkan jatidiri dan memperkasakan kerohanian seiring dengan cabaran di awal alam kedewasaan mereka.

Kursus JDK kali ini berlangsung serentak di empat zon iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Selatan dan Zon Timur. Manakala JDK bagi zon Sabah telah berlangsung lebih awal. Sambil menyifatkan JDK kali ini adalah yang terbesar dan membuktikan keprihatinan masyarakat Islam yang semakin inginkan pendidikan atau sentuhan tarbawi semaksimum mungkin untuk anak-anak mereka, Pengerusi Jawatankuasa Induk JDK 2013/2014, Sr Hj Mohd Sabbri Md Yuddin menyatakan bahawa usaha pendidikan dan pembinaan jati diri anak-anak atau generasi remaja ini adalah tanggungjawab bersama semua pihak yang menghargai remaja negara. Menyedari hakikat ini, HALUAN, JAKIM dan KTD sedaya-upaya menyusun program yang bermanfaat ini agar peserta mampu berjiwa segar serta berdaya saing dari segi akhlak dan jatidiri mereka semasa menjejak kaki ke menara gading. Kesedaran ini tentunya hadir daripada para ibubapa yang kasihkan anak-anak dan inginkan yang terbaik untuk mereka.

Kursus JDK kali ini yang berlangsung dari 14 Disember 2013 hingga 4 Januari 2014 menyediakan lapan modul menarik untuk para remaja iaitu:

Modul Orientasi (2 hari),
Modul Anjakan Paradigma (5 hari),
Modul Kemahiran Insan & Profesional (3 hari),
Modul KTD (1 hari),
Modul Kemahiran Kepimpinan Kemasyarakatan (3 hari),
Modul Khidmat Masyarakat (3 hari),
Modul Kemahiran Asas Kewanitaan (4 hari), dan
Modul Kecergasan Fizikal Dan Rekreasi (3 hari).
Pelbagai kepakaran di dalam HALUAN telah digembleng bagi menyediakan modul yang komprehensif dan sarat dengan sentuhan tarbawi, dijayakan oleh para sukarelawan HALUAN dari seluruh tanahair. Di samping itu, para pengamal perubatan dari Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) juga bertugas 24 jam secara bergilir-gilir di semua lokasi bagi memastikan kelancaran kursus tahunan ini.

Harapan penganjur adalah agar anak-anak remaja yang menyertai JDK kali ini dapat menyerap semaksimum mungkin ilmu serta kemahiran yang penting selama 21 hari bagi mempersiapkan diri mereka di dimensi kehidupan yang pelbagai kemudian hari.


Laporan MediaHALUAN