fbpx

HALUAN Fitrah Dedahkan Bahaya Syiah

HALUAN Fitrah Dedahkan Bahaya Syiah

HALUAN Fitrah Dedahkan Bahaya Syiah

khf-01KUALA TERENGGANU, 24 Dis 2013 – Serangan bahaya daripada aliran kefahaman Syiah menjadi antara topik menarik dalam kursus tiga minggu Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja (JDK) 2013 di sini apabila Kelab HALUAN Fitrah (HALUAN Fitrah) mengambil peranannya selama sehari setengah mulai 23 Disember.

Kem JDK Zon Timur ini merupakan kem yang pertama dilawati oleh pasukan lima orang penceramah perbandingan agama yang dilatih oleh kelab ini dalam menyampaikan kesedaran dan kaedah berdakwah kepada golongan yang belum Islam. Selain memahamkan peserta kursus berkenaan anutan-anutan besar di Malaysia seperti Buddhisme dan aliran kepercayaan Cina, Hinduisme, Kristianiti, dan kepercayaan orangasli, HALUAN Fitrah telah merombak silibusnya tahun ini dengan memasukkan beberapa tajuk baru.

Ini termasuklah bahaya dakyah Syiah, membentengi diri daripada serangan hedonism, atheism, Islam liberal, pluralism, dan sebagainya.

“Dalam topik Bahaya Dakyah Syiah ini, peserta didedahkan kepada doktrin songsang Syiah yang jelas bertentangan dengan akidah Islam. Selepas itu mereka didedahkan pula kepada jenisannya serta bagaimana menghidu gerakan Syiah apabila mereka mula masuk ke kampus nanti serta cara mendakwah kepada mereka yang telah terjebak ke kancah yang sesat itu,” berkata Ketua Zon HALUAN Fitrah bagi JDK Zon Timur, Cikgu Khairuddin Hamzah. Beliau juga adalah pakar berkenaan dakwah orangasli dan telah mengIslamkan berpuluh-puluh orangasli di Selangor.

Penceramah lain yang sama menggalas tugas membantu HALUAN Fitrah di JDK Zon Timur adalah sepasang doktor perubatan iaitu Dr Basir Towil dan isterinya Dr Nor Azian Hasnan, Encik Zulkarnaen Maksum dan Encik Manzur El Hassan Abdul Aziz. Mereka dibantu pula oleh sukarelawan HALUAN dari Terengganu, Kelantan dan Pahang yang mengambil giliran mengurus dan memantau kursus berkenaan yang sangat menarik dengan pelbagai aktiviti di dalam seminar dan di pusat rekreasi remaja.

Menurut Dr Basir, peserta dan fasilitator yang pertama kali mengikuti sesi latihan HALUAN Fitrah ini teruja dengan bahan-bahan yang disampaikan, terutama sekali apabila mereka dapat membelek kitab Bible buat pertama kalinya. Sesi penerangan mengenai Kristianiti, misalnya, memerlukan mereka untuk mampu mengenalpasti isi kandungan kitab itu serta mendakwah balas kepada golongan misionari dan pengikut Kristian. Ilmu ini akan sangat berguna apabila mereka memasuki universiti nanti dan semasa bekerja.

Seramai 27 peserta lelaki dan 28 peserta perempuan yang menyertai kursus tersebut amat bergembira dengan slot HALUAN Fitrah berkenaan, kerana inilah peluang sulung mereka didedahkan kepada aktiviti dakwah rentas-agama, berkata Dr Nor Azian yang juga merupakan Pengurus Projek HALUAN Fitrah untuk semua pusat JDK 2013.