fbpx

Rugi Siapa Tak Sertai JDK

Rugi Siapa Tak Sertai JDK

Rugi Siapa Tak Sertai JDK

jdk-rugi-01BANDAR BARU BANGI, 24 Dis 2013 — Bagaikan itik dengan air. Bagaikan aur dengan tebing. Asakan mental seharian bersama barisan penceramah semasa kursus tiga minggu Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja (JDK) 2013 khusus untuk para lepasan SPM kadangkala agak meletihkan minda peserta.

Maka riuh-rendah jadinya bilamana tiba sesi riadah Sukan dan Rekreasi di semua lima zon JDK di Kuala Terengganu, Ulu Langat, Sabah, Kuala Kangsar dan Pekan Nenas, di mana JDK kali ke-5 ini dijalankan secara serentak selama tiga minggu mulai 14 Januari lepas.

Peserta kursus zon utara di kem Batu Ampar Resort di Kuala Kangsar misalnya sempat berpesta durian, kebetulan kem mereka berada di dalam belantara yang disulami dusun durian dan buah-buahan lain. Sesi makan malam mereka disajikan dengan pulut bersantan dan durian segar. Selain itu, mereka juga berkesempatan bermandi sungai jernih air terjun yang berada betul-betul di bawah resort tempat mereka berkursus. Sambil mendengar ceramah dan beraktiviti berkumpulan, sambil mendengar deruan air yang tidak berhenti-henti seolah-olah menggamit mereka untuk menghayati nikmat kurniaan Illahi. Dewannya luas tapi tidak perlu alat pendingan hawa kerana suhu belantaranya cukup menyamankan. Ah, betapa untungnya mereka.

Peserta kursus zon tengah di Asli Adventure Base Camp, Hulu Langat pula selain bermandi sungai sepuasnya sambil berkayak sempat meredah bukit hutan hujan tropika untuk mencapai air terjun tinggi lagi nyaman di situ. Peserta zon timur pula sempat mendapat pengalaman berkayak secara berpasukan di Kuala Ibai yang menghala ke Laut China Selatan. Suatu aktiviti riadah yang sememangnya dinanti-nantikan oleh remaja putera dan puteri ini yang sentiasa ceria dan bertenaga. Tambahan pula peserta mendapat peluang menunggang kuda, suatu keistimewaan yang tidak terdapat di zon yang lain.

Peserta JDK juga sempat beriadah harian di sebelah petang selepas solat Asar. Mereka membuat aktiviti regangan dan selepas itu diagihkan secara berkumpulan untuk beraktiviti secara berkumpulan samada bermain bolasepak, futsal, volleyball, netball, ping pong ataupun berjoging beramai-ramai di luar pusat mereka berkampung. Aktiviti kecerdasan di luar bilik seminar ini membolehkan mereka berinteraksi secara lebih akrab lagi sesama peserta untuk memupuk jambatan ukhwah sambil membetulkan persepsi tentang kehidupan mereka di masa hadapan. Banyak yang telah mereka dapat kongsikan bersama.

Amat rugilah bagi mereka yang tidak menyertai JDK ini. Menyelami teras-teras ilmu duniawi dan ukhrawi daripada pengajar dan penceramah berpengalaman yang ramai bertumpu di zon-zon berkenaan secara sukarela, disertai aktiviti-aktiviti yang menguji kecerdasan minda dan fizikal semuanya berhasratkan keredhaan Allah SWT semata-mata.

Pastikan di tahun 2014 nanti, kongsikan perihal JDK dengan adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan SPM mereka. Rugi siapa tak datang.