fbpx

JAKIM Sokong Kempen Bantuan Kecemasan Rakyat Gaza

JAKIM Sokong Kempen Bantuan Kecemasan Rakyat Gaza

JAKIM Sokong Kempen Bantuan Kecemasan Rakyat Gaza

PUTRAJAYA, 28 Nov2012 — Kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Palestin tidak pernah dilupakan oleh rakyat Malaysia. Bahkan tragedi serangan ke atas Gaza telah membangkitkan rasa persaudaraan dan kesatuan rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama untuk membantu, di samping kesepakatan mereka untuk mengecam kejahatan rejim Zionis.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Dato’ Othman Mustapha dalam ucapan meraikan kunjungan hormat wakil HALUAN bersama dua orang wartawan TV Al-Aqsa ke pejabat beliau di sini melahirkan rasa kesal dengan apa yang telah dilakukan oleh tentera Zionis. “Kita amat prihatin dengan musibah ini, sehinggakan masjid-masjid di seluruh Kuala Lumpur dan Putrajaya diarah supaya mendirikan solat hajat dan membaca doa qunut nazilah agar kekejaman ini dihentikan segera dan Allah memberi mereka (rakyat Gaza) kekuatan,” kata beliau.

Dua wartawan tersebut, Yoesuf Ghaben dan Ibrahim Al-Zaeem, berada di Malaysia untuk menjayakan kempen Bantuan Kecemasan Palestin yang dianjurkan oleh HALUAN Malaysia. Pengalaman tragis mereka sebagai wartawan di mana dua orang rakan sekerja di TV Al-Aqsa telah terbunuh akibat serangan roket Zionis ketika menjalankan tugas, telah dapat mendedahkan realiti sebenar apa yang telah berlaku sepanjang lapan hari serangan ganas tersebut.

Dato’ Othman amat menghargai inisiatif yang dilaksanakan oleh HALUAN untuk memberi kefahaman serta membangkitkan kesedaran masyarakat di Malaysia dan seterusnya menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa serangan di Gaza. “Insya-Allah kita akan terus menjalin hubungan akrab dengan saudara kita di Palestin melalui NGO seperti HALUAN,” tegas beliau. Beliau juga menyatakan sokongan kepada kempen Bantuan Kecemasan Palestin ini dan menyeru supaya aktiviti berkaitan seperti ceramah di masjid dan surau diperhebatkan ke seluruh negara.

Masyarakat prihatin yang ingin turut menyumbang kepada rakyat Gaza melalui kempen ini boleh berbuat demikian melalui akaun “Tabung Palestin HALUAN” seperti berikut:

BIMB: 14-023-01-003429-2
Maybank: 5644 9020 8528